ISTANBUL – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menyertai Muktamar Antarabangsa Penyatuan Ummah (Al-Wahdah) yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2026 di Pulau Kebebasan dan Demokrasi, Istanbul, Turkiye.
Muktamar anjuran Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS) itu menghimpunkan kira-kira 250 ulama, pemikir dan pendakwah terpilih dari lebih 30 negara bagi membincangkan usaha memperkukuh kesatuan umat Islam dan membina kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran semasa.
IKRAM diwakili Presidennya, Hj. Badlishah Sham Baharin dan Naib Presiden, Ustaz Hj. Tajul Arifin Che Zakaria. Antara tokoh yang hadir ialah Presiden KUMS, Syeikh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi dan Menteri Wakaf Republik Arab Syria, Dr. Muhammad Abu al-Khair Shukri.
Kesatuan umat perlu diterjemahkan kepada tindakan
Dalam sesi perbincangan malam pertama muktamar, Hj. Badlishah Sham mengetengahkan pengalaman gerakan dakwah di Malaysia, khususnya kepentingan membina kerjasama antara organisasi Islam dan pertubuhan masyarakat sivil di peringkat lokaliti.

Beliau turut memberikan perhatian kepada pendekatan pembangunan masyarakat melalui model HIKAM (Himpunan Gerakan Islam Malaysia), selain keperluan memperkasakan pendidikan masyarakat sebagai agenda penting dalam usaha membina umat yang berilmu, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada perubahan sosial.
Penekanan turut diberikan kepada aspek pelaksanaan atau HOW, iaitu bagaimana kerjasama dapat digerakkan secara praktikal dengan mengambil kira pengalaman, kemampuan dan keperluan masyarakat setempat.
Mengurus perbezaan dan membina kesatuan praktikal
Sementara itu, Ustaz Tajul Arifin melalui artikel refleksinya berkaitan Muktamar al-Wahdah, menekankan bahawa cabaran terbesar umat Islam bukanlah kekurangan seruan kepada perpaduan, tetapi bagaimana kesatuan tersebut dapat diterjemahkan kepada tindakan bersama.
Menurut beliau, kepelbagaian pandangan, pendekatan dan organisasi merupakan realiti yang perlu diurus dengan hikmah, bukannya dijadikan alasan untuk terus berpecah.
Beliau turut menekankan kepentingan adab al-ikhtilaf, fiqh keutamaan dan kesediaan mengutamakan maslahat umat mengatasi kepentingan kelompok serta organisasi.
Kesatuan yang sebenar tidak semestinya menuntut semua pihak berada di bawah satu organisasi atau mempunyai pandangan yang seragam, sebaliknya memerlukan kesediaan bekerjasama dalam perkara yang disepakati.

Antara pendekatan yang diketengahkan ialah pembinaan jaringan kerjasama antara ulama, pendakwah, pertubuhan Islam dan pakar pelbagai bidang, di samping mewujudkan agenda tindakan bersama yang jelas serta boleh diukur keberhasilannya.
Daripada resolusi kepada gerak kerja berimpak
Kedua-dua penekanan tersebut memperlihatkan kepentingan menghubungkan gagasan kesatuan umat di peringkat antarabangsa dengan pengalaman sebenar gerakan dakwah dan pembangunan masyarakat.
Bagi IKRAM, usaha dakwah dan islah tidak semestinya bergerak atas nama satu organisasi semata-mata. Apa yang lebih utama ialah lahirnya lebih ramai individu, institusi dan jaringan yang mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.
Justeru, kesatuan umat perlu diperkukuh melalui pendidikan masyarakat, pembinaan kepercayaan, pengurusan perbezaan secara matang dan kerjasama strategik yang berterusan.
Penyertaan IKRAM dalam Muktamar al-Wahdah mencerminkan komitmen organisasi untuk terus menyumbang kepada agenda penyatuan umat berasaskan pendekatan dakwah, tarbiah, khidmat dan islah.

Kesatuan umat bukan sekadar menghimpunkan manusia dalam satu persidangan, tetapi menyatukan hati, menyelaraskan keutamaan dan menggerakkan tindakan bersama demi kesejahteraan umat.
Resolusi Muktamar al-Wahdah 2026
Dalam kenyataan penutup, muktamar ini menggariskan tujuh resolusi yang bertemakan “Kesatuan Ummah Pertengahan: Daripada Prinsip-prinsip Tetap kepada Piagam Perpaduan”.
Kenyataan itu dibacakan di laman bersejarah Masjid Agung Hagia Sophia, Istanbul di hadapan para peserta muktamar serta wakil media tempatan dan antarabangsa.
Pertama: Kesatuan Ummah dan Prinsip-prinsip Bersama
Kedua: Piagam Ummah Pertengahan dan Fiqh al Ikhtilaf antara Prinsip Tetap dengan Perkara Berubah
Ketiga: Tanggungjawab Bersama dan Penyatuan Peranan Institusi
Keempat: Kerjasama Politik, Kemanusiaan dan Ilmiah serta Pembelaan terhadap Isu-isu Ummah
Kelima: Mekanisme Praktikal dan Projek-projek Perpaduan
Keenam: Menterjemahkan Hasil Muktamar kepada Program dan Memantau Pelaksanaannya
Ketujuh: Membela Bangsa-bangsa yang Dizalimi dan Memelihara Perpaduan Negara

Muktamar al-Wahdah di Istanbul ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembinaan jaringan kerjasama antarabangsa yang lebih tersusun, berterusan dan berimpak pada masa depan, insya-Allah.




