Ada ketika dalam hidup, kita terlalu ingin menang sehingga terlupa bahawa jalan menuju kemenangan tidak selalu melalui pertentangan.
Sirah membuktikan bahawa bulan Zulkaedah dan Zulhijah hadir setiap tahun untuk mengajar kita bagaimana kedamaian boleh membuka jalan dan bagaimana ibadah mampu menyempurnakan jiwa. Dua bulan ini datang setiap tahun tetapi jarang kita berhenti untuk benar-benar menghayatinya.
Zulkaedah: Kebijaksanaan memilih jalan damai
Zulkaedah mempunyai keistimewaan yang besar kerana ia termasuk dalam empat bulan haram yang dimuliakan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan… daripadanya empat bulan haram…” (Surah al-Taubah: 36)
Zulkaedah mengajar erti damai dan menahan diri sebagaimana ditunjukkan dalam sirah melalui peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian ini membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan hanya pada kemampuan berperang tetapi pada kebijaksanaan memilih jalan perdamaian demi maslahat yang lebih besar.
Detik penting yang memperlihatkan kebijaksanaan Rasulullah SAW adalah apabila wakil Quraisy iaitu Suhail bin Amr membantah penulisan “Muhammad Rasulullah” dalam dokumen perjanjian Hudaibiyah dan meminta digantikan dengan “Muhammad bin Abdullah.”
Walaupun perkara ini menyentuh identiti kerasulan baginda, Rasulullah SAW tetap menerima perubahan tersebut dengan penuh ketenangan kerana memahami bahawa pengiktirafan manusia tidak menambah atau mengurangkan hakikat kerasulan yang telah ditetapkan Allah SWT. Baginda kemudian meminta Ali bin Abi Talib r.a. untuk memadamkan lafaz “Rasulullah”.
Namun apabila Saidina Ali r.a. keberatan melakukannya kerana rasa hormat dan kecintaan, Rasulullah SAW sendiri memadamkannya dengan tangan baginda. Tindakan ini mencerminkan hikmah membezakan antara prinsip akidah yang tetap dengan pendekatan strategik yang fleksibel.
Di samping itu, baginda mengajar bahawa mempertahankan kebenaran tidak semestinya melalui ketegasan pada setiap simbol tetapi melalui kebijaksanaan mencapai maslahat yang lebih besar untuk masa depan Islam.
Perjanjian Hudaibiyah ternyata membawa kejayaan besar kepada umat Islam walaupun pada awalnya kelihatan tidak seimbang. Perjanjian ini mewujudkan suasana damai selama sepuluh tahun yang membuka ruang luas kepada penyebaran dakwah Islam tanpa gangguan peperangan.
Dalam tempoh keamanan tersebut, ramai tokoh Quraisy mula menerima Islam termasuk pemimpin seperti Khalid bin al-Walid dan Amr bin al-As, yang akhirnya memperkukuh kekuatan umat Islam.
Kejayaan terbesar perjanjian ini bukan hanya pada aspek politik tetapi pada perubahan strategik yang membawa kepada pembukaan Kota Makkah beberapa tahun kemudian. Ia membuktikan bahawa kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam memilih jalan damai telah menghasilkan kemenangan yang jauh lebih besar dan bermakna. Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.” (Surah al-Fath: 1)
Di sinilah kita belajar makna rahmah dan amanah dalam kehidupan. Tidak semua kemenangan itu kelihatan gagah. Ada kemenangan yang lahir daripada kesabaran, kebijaksanaan dan kepercayaan penuh kepada Allah SWT.
Dalam dunia hari ini yang cepat marah serta cepat menghukum, Zulkaedah mengajar kita untuk berhenti sejenak. Tidak semua perkara perlu dilawan. Ada masa, kita perlu memilih untuk tenang dan membina.
Zulhijah: Kepulangan kepada fitrah di Arafah
Jika Zulkaedah mendidik kita tentang damai, Zulhijah pula membawa kita pulang kepada makna pengabdian yang tulus. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, lalu tidak berkata kotor dan tidak melakukan maksiat, maka dia kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Haji bukan sekadar perjalanan fizikal. Ia adalah perjalanan pulang kepada fitrah. Kemuncaknya adalah di Padang Arafah, sebuah hamparan gersang yang menjadi saksi kepada “simulasi” Padang Mahsyar.
Di sini, setiap individu daripada pemimpin sehingga rakyat biasa berdiri sama rendah dalam balutan ihram putih, melakukan muhasabah total untuk mengenal diri (ma’rifatun nafsi) dan mengenal Tuhan (ma’rifatullah).
Di Arafah, Rasulullah SAW berdiri di hadapan puluhan ribu manusia menyampaikan khutbah yang bukan hanya untuk zaman itu tetapi untuk kita hari ini.
Disampaikan pada 9 Zulhjjah tahun ke-10 Hijrah (632 Masihi), khutbah yang dikenali sebagai Khutbah Wada’ bukan sekadar ucapan selamat tinggal. Ia merupakan deklarasi nilai mengenai keadilan, kesamarataan, hak asasi dan arah tuju masyarakat Islam yang dirumuskan oleh baginda SAW.
Membina manusia di antara dua titik
Sejarah merakamkan bahawa perjalanan membina manusia yang sempurna atau insan kamil terletak di antara dua fasa spiritual yang besar: Hudaibiyah dan Arafah. Hudaibiyah mengajar kita seni menahan diri dan diplomasi yang berjiwa besar, manakala Arafah menuntut kita menanggalkan segala ego demi kembali sujud kepada Allah SWT.
Di antara titik sabar dalam berstrategi dan titik tulus dalam beribadah inilah, watak manusia dibina. Dalam dunia hari ini yang sering kali cepat marah dan menghukum, ambillah pengajaran daripada kedua-dua bulan ini.
Zulkaedah dan Zulhjjah datang dan pergi setiap tahun. Namun mesejnya tidak pernah berubah. Kadangkala, kita tidak perlu menjadi kuat untuk menang tapi cukup menjadi bijaksana untuk memilih jalan yang benar.
Kadangkala kita tidak perlu pergi jauh tapi cukup kembali kepada Allah SWT dengan hati yang jujur. Mungkin, antara damai Hudaibiyah dan tangisan di Arafah, kita akan temui semula diri kita yang sebenar di sisi Allah SWT.
Ustazah Hasliza Talib
Pensyarah
Universiti Islam Selangor (UIS)




