Konflik Asia Barat: Apa Strategi Bertahan Malaysia?

krisis global

Apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan Operation Epic Fury pada 28 Februari 2026, dunia menyaksikan permulaan satu konflik bersenjata yang bukan sekadar peperangan biasa. 

Konflik di Asia Barat ini pada terasnya adalah perebutan kuasa tenaga global, yang membawa implikasi serius terhadap keselamatan, ekonomi dan kestabilan sosial negara-negara yang jauh dari medan perang itu sendiri, termasuk Malaysia.

Hakikatnya, konflik ini tidak akan benar-benar berakhir hanya dengan gencatan senjata, tetapi hanya apabila rantaian bekalan tenaga dipulihkan dan harga kembali stabil.

Malaysia tidak terlepas daripada risiko limpahan krisis ini. Sama ada melalui harga tenaga yang melonjak, gangguan laluan perkapalan, ketidaktentuan kewangan, inflasi, risiko siber, mahupun perpecahan sistem global — impaknya nyata dan perlu ditangani secara strategik, bijak dan bersepadu.

Memahami krisis, bukan sekadar perang

Kesilapan pertama yang perlu dielakkan ialah memahami konflik ini semata-mata sebagai krisis ketenteraan. Hakikatnya, ia adalah krisis tenaga yang dibungkus dalam konflik bersenjata. Selagi Selat Hormuz – urat nadi pengaliran minyak dan gas global – tergugat, selagi itulah dunia terdedah kepada kejutan bekalan yang serius.

Dan inilah bezanya dengan perang biasa: krisis tenaga tidak tamat apabila serangan berhenti atau gencatan senjata dicapai. Ia hanya benar-benar tamat setelah bekalan dipulihkan sepenuhnya dan harga distabilkan.

Hal ini bermakna tempoh pemulihan boleh jauh lebih panjang daripada tempoh konflik itu sendiri. Malaysia perlu bersedia untuk bertahan bukan hanya semasa letupan perang, tetapi sepanjang fasa pascakonflik yang berlarutan.

Rasional di sebalik pemotongan had

Pengumuman Perdana Menteri Malaysia (PMX) untuk menurunkan had pembelian RON95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan bukan semata-mata langkah pemotongan subsidi seperti yang difahami sesetengah pihak.

Ia adalah langkah pengurusan bekalan tenaga dalam negara yang proaktif, sebagai tindak balas langsung kepada terputusnya rantaian bekalan melalui Selat Hormuz.

Pada kiraan kasar, langkah ini mampu memelihara sekitar 165 juta liter minyak sebulan, di samping menjimatkan sekitar RM300 juta subsidi – sekali gus memberikan ruang fiskal tambahan yang kritikal bagi kerajaan untuk menampung tekanan ekonomi yang lebih besar. 

Harga minyak mentah global sendiri telah melonjak hampir 53% sejak konflik bermula, namun kerajaan buat masa ini masih menyerap sebahagian besar tekanan inflasi ini bagi pihak rakyat.

Bagi 10% pengguna yang terjejas secara langsung oleh penurunan had ini, kebimbangan mereka adalah wajar dan perlu diambil serius. Namun perlu difahami bahawa pilihan sebenar bukan antara 200 atau 300 liter – pilihan sebenar adalah antara menguruskan bekalan secara terancang sekarang, atau menghadapi tekanan yang jauh lebih besar dan tidak terkawal kemudian.

Langkah-langkah strategik yang diperlukan

  1. Pengurusan tenaga yang bijak dan bersasar

Selain pengurangan had pembelian bahan api, polisi Bekerja Dari Rumah (BDR) yang diumumkan kerajaan Malaysia merupakan mekanisme sokongan untuk mengurus permintaan kepada bekalan tenaga secara lebih menyeluruh.

Walau bagaimanapun, bagi sektor swasta, polisi BDR wajar kekal sebagai galakan fleksibel sahaja – bukan mandat wajib – bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas secara signifikan.

Kerajaan wajar memperkukuh rizab tenaga dan makanan sebagai persediaan menghadapi kejutan bekalan yang berterusan. Perkara ini termasuk keperluan untuk mengaktifkan diplomasi ekonomi melalui ASEAN bagi melindungi laluan perdagangan dan kestabilan mata wang serantau.

  1. Kestabilan harga barangan keperluan dan kos logistik

Langkah seterusnya, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kestabilan harga barangan keperluan asas dan kos logistik.

Walaupun penyelesaian yang bakal dilaksanakan mungkin kurang popular di mata sebahagian rakyat, langkah-langkah ini amat diperlukan bagi mengelakkan kos perniagaan dan kos sara hidup meningkat terlalu mendadak – yang boleh membawa kepada tekanan sosial yang lebih serius.

Dalam hal ini, pelaksanaan polisi subsidi yang bersasar perlu dilaksanakan khususnya bagi mengurangkan kesan ke atas golongan B40, selari dengan cadangan untuk mewujudkan polisi ekonomi daya tahan negara (national resilience economic policy) yang menekankan perbelanjaan berhemah, kesederhanaan serta penghapusan pembaziran, ketirisan akibat rasuah dan salah guna kuasa.

  1. Pembinaan ketahanan nasional bersepadu

Krisis ini juga menuntut pendekatan keseluruhan masyarakat (whole-of-society) – bukan hanya tindakan kerajaan semata-mata. Malaysia perlu membina strategi ketahanan nasional yang merangkumi sektor tenaga, kewangan, rantaian bekalan, keselamatan siber dan infrastruktur kritikal secara serentak.

Kerajaan perlu bertindak secara strategik, manakala masyarakat sivil dan NGO perlu memainkan peranan sebagai penstabil sosial, pemberi maklumat benar dan pengukuh perpaduan nasional. Dalam konteks ini, pihak NGO wajar menubuhkan jawatankuasa respons krisis di peringkat nasional dan negeri untuk memantau kesan konflik ke atas komuniti tempatan.

  1. Komunikasi krisis dan pencegahan maklumat palsu

Kerajaan perlu menyediakan pelan komunikasi krisis kebangsaan yang mantap bagi menangani maklumat palsu – yang boleh mencetuskan ketegangan etnik atau agama dalam situasi tekanan seperti ini.

Rakyat Malaysia pula perlu memikul tanggungjawab untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih tentang konflik. Kestabilan sosial adalah sebahagian daripada kestabilan ekonomi – ia tidak boleh dipisahkan.

Gambaran pasaran dan tempoh bertahan

Satu fakta penting yang perlu menjadi sandaran optimisme terkawal: harga minyak untuk penghantaran akhir 2026 kini diniagakan jauh lebih rendah daripada harga semasa. Keadaan ini menandakan bahawa pasaran global menjangkakan konflik ini bersifat sementara. Malaysia tidak perlu menghadapi krisis ini seolah-olah ia akan berlanjutan selama-lamanya.

Yang diperlukan ialah strategi bertahan dalam tempoh kritikal ini – mengurus dengan cekap, berbelanja dengan berhemah, dan memastikan masyarakat kekal bersatu padu. Ketahanan nasional tidak hanya dibina melalui dasar kerajaan, tetapi juga melalui kepercayaan, perpaduan dan kesediaan di setiap peringkat masyarakat.

Bersatu padu strategi terbaik

Dalam dunia yang semakin tidak menentu ini, Malaysia memiliki kekuatan yang tidak ternilai – kepelbagaian masyarakat yang telah terbukti mampu bertahan melalui pelbagai ujian sejarah.

Krisis di Asia Barat bukan sesuatu yang Malaysia pilih untuk hadapi, tetapi ia adalah realiti yang mesti diuruskan dengan kepala yang dingin, hati yang tabah dan tindakan yang terancang.

Pendekatan bersepadu yang menggabungkan strategi ekonomi, sosial dan keselamatan adalah kunci untuk memastikan negara kekal stabil dan sejahtera.

Semoga Malaysia dilindungi daripada segala fitnah dan bahaya. Marilah kita mengutamakan keamanan dan keadilan – demi kesejahteraan bersama seluruh rakyat Malaysia.

Haji Badlishah Sham Baharin

Presiden

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia