Setiap kali Ramadan menghampiri penghujungnya, hati seorang mukmin diliputi perasaan yang bercampur-baur.
Ada rasa syukur kerana diberi peluang menikmati bulan yang penuh keberkatan ini, tetapi pada masa yang sama hadir juga rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan suasana spiritual yang begitu indah. Ramadan menjadi tetamu istimewa yang datang membawa rahmat, kemudian pergi meninggalkan pelbagai kenangan dan pengalaman manis.
Namun persoalan yang lebih penting ialah bagaimana seorang Muslim melepaskan Ramadan dengan hati yang reda.
Reda bukan bermaksud tidak menghargai Ramadan atau berasa biasa sahaja apabila ia berakhir. Sebaliknya, reda bermaksud menerima pemergiannya dengan penuh kesedaran bahawa Ramadan telah melaksanakan peranannya sebagai madrasah rohani, dan tugas kita seterusnya ialah meneruskan nilai-nilai yang dipelajari sepanjang bulan tersebut.
Madrasah Ramadan telah menyediakan sebuah landskap kebaikan dan amalan dengan suasana sekeliling yang sangat memberi ruang untuk beramal. Rutin selama sebulan ini seharusnya dibawa ke sebelas bulan yang berbaki.
Melepaskan Ramadan pergi memerlukan persediaan fizikal, mental dan emosi. Antara tanda pertama seseorang benar-benar meredai pemergian Ramadan ialah rasa syukur yang mendalam kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan melalui bulan tersebut dengan pengisian ibadah dan amal.
Tidak semua Muslim mendapat peluang yang sama. Ada yang sakit sepanjang Ramadan sehingga tidak mampu beribadah dengan sempurna. Ada juga yang telah meninggal dunia sebelum sempat bertemu Ramadan yang dinanti.
Oleh itu, peluang untuk berpuasa, membaca al-Quran, bersolat tarawih dan memperbanyak sedekah merupakan nikmat besar yang patut disyukuri.
Harapan semoga amalan diterima
Tidak salah seorang mukmin berasa gusar terhadap penerimaan amalannya. Perasaan ini bukan tanda kelemahan atau tidak yakin, tetapi tanda keimanan yang hidup dalam hati.
Perasaan ini akan menerbitkan pergantungan harapan yang kuat kepada Allah SWT, lantas doa dipanjat moga-moga segala amal dan ibadah diterima oleh-Nya. Seseorang yang benar-benar menghargai Ramadan tidak akan berasa puas dengan amal yang dilakukan, sebaliknya sentiasa berdoa agar Allah menerima ibadahnya.
Para sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang sangat indah dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa mereka berdoa selama berbulan-bulan selepas Ramadan agar amalan mereka diterima oleh Allah SWT.
Berhari raya tanda kesyukuran
Apabila Ramadan berakhir, umat Islam akan menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan setelah melalui latihan spiritual sepanjang sebulan. Namun dalam masyarakat, kadangkala muncul dua sikap yang berbeza.
Ada sebahagian orang yang berasa terlalu sedih dengan pemergian Ramadan sehingga enggan menyambut hari raya, seolah-olah kegembiraan tidak wajar ditunjukkan. Dalam masa yang sama, ada pula yang terlalu teruja kepada sambutan lebaran sehingga seakan-akan melupakan nilai tarbiah Ramadan.
Islam sebenarnya mengajar keseimbangan antara kedua-duanya. Aidilfitri adalah hari kegembiraan yang disyariatkan. Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umat Islam bergembira pada hari raya sebagai tanda syukur kepada Allah setelah menyempurnakan ibadah puasa. Pada masa yang sama, kegembiraan itu tidak bermaksud melupakan nilai spiritual yang dipelajari sepanjang Ramadan.
Para sahabat Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dalam menyambut peralihan ini. Mereka menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan, tetapi dalam masa yang sama hati mereka tetap dipenuhi rasa takut dan harapan terhadap penerimaan amal.
Mereka tidak tenggelam dalam kegembiraan semata-mata, tetapi juga tidak menolak kegembiraan yang dibenarkan oleh syariat. Berbaju baru, ziarah-menziarahi dan saling mengucapkan tahniah atas kejayaan menjalani Ramadan adalah amalan mulia ketika berhari raya. Umat Islam perlu berasa bangga dengan kejayaan ini, namun dalam suasana yang dibenarkan syarak dan penuh rasa hormat.
Ramadan bukan destinasi
Tanda seseorang meredai pemergian Ramadan ialah keazaman untuk mengekalkan amalan baik selepas Ramadan. Ramadan sebenarnya bukan destinasi terakhir ibadah, tetapi latihan untuk kehidupan sepanjang tahun.
Jika seseorang hanya rajin membaca al-Quran, bersedekah dan melakukan solat malam ketika Ramadan sahaja, kemudian meninggalkannya selepas itu, maka tarbiah Ramadan belum benar-benar meresap dalam kehidupannya.
Sebaliknya, orang yang benar-benar menghargai Ramadan akan berusaha mengekalkan amalan tersebut walaupun dalam kadar yang lebih sederhana. Konsistensi inilah yang menjadi tanda bahawa Ramadan telah memberi kesan yang sebenar kepada hati.
Mukmin yang berjaya menyantuni Ramadan akan sentiasa merindui bulan barakah ini. Bahkan ia merupakan tanda seseorang meredai pemergian Ramadan.
Ramadan mempunyai suasana yang sangat istimewa. Masjid lebih hidup, al-Quran lebih kerap dibaca dan hati manusia lebih mudah tersentuh dengan kebaikan. Apabila Ramadan berakhir, orang yang benar-benar merasai kemanisan iman akan merindui suasana ini. Kerinduan ini sebenarnya adalah tanda bahawa hati telah merasai nilai sebenar Ramadan.
Perlu diingat bahawa tanda penting seseorang meredai pemergian Ramadan ialah doa dan harapan untuk bertemu dengannya pada tahun hadapan. Tiada siapa dapat memastikan dia akan hidup sehingga Ramadan yang akan datang.
Kesedaran ini menjadikan setiap Ramadan sangat berharga. Oleh itu, seorang mukmin akan terus berdoa agar Allah menerima segala amal yang telah dilakukan dan memberi peluang untuk bertemu Ramadan lagi pada masa hadapan.
Teruskan hidup dengan roh Ramadan
Hakikatnya, Ramadan mungkin pergi, tetapi tarbiahnya tidak sepatutnya berakhir bersama pemergiannya. Jika selepas Ramadan kita menjadi lebih dekat dengan Allah, lebih peka terhadap penderitaan manusia lain dan lebih istiqamah dalam melakukan kebaikan, itulah tanda bahawa Ramadan telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan kita.
Justeru, melepaskan Ramadan dengan reda bermaksud menerima pemergiannya dengan hati yang tenang sambil membawa bersama segala hikmah yang dipelajari. Ramadan pergi sebagai tetamu yang mulia, tetapi nilai-nilai yang dibawanya perlu terus hidup dalam diri kita sepanjang tahun.
Semoga Ramadan yang berlalu menjadi titik perubahan dalam kehidupan kita, dan semoga, jika Allah mengizinkan, kita akan menyambut Ramadan yang akan datang sebagai insan yang lebih matang dalam iman dan lebih bersedia menjadi hamba yang lebih bertakwa.
Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




