Membina Negara: Potensi Luar Biasa OKU Jayakannya

Apabila kejayaan dan ketidakupayaan dibicarakan, masyarakat sering terperangkap dalam satu naratif sempit iaitu orang kurang upaya (OKU) dilihat sebagai penerima bantuan, bukan penyumbang atau pembina negara. Mereka diraikan sebagai simbol ketabahan tetapi jarang diiktiraf sebagai sumber kepakaran, inovasi dan kepimpinan.

Naratif ini bukan sahaja tidak adil, malah mengaburkan punca sebenar ketidaksamaan yang dihadapi golongan OKU. Masalahnya bukan pada tubuh atau deria yang berbeza, tetapi pada pelaksanaan sistem sosial, ekonomi dan dasar awam yang masih kurang berfungsi secara inklusif atau melihat OKU sebagai insan berpotensi tinggi yang wajar diberi ruang saksama.

Ramai individu OKU secara berulang kali membuktikan bahawa kecacatan bukan penghalang kepada kecemerlangan. Stephen Hawking, seorang ahli fizik terkemuka dunia, menghasilkan teori-teori yang mengubah pemahaman manusia tentang alam semesta walaupun terikat dengan penyakit neuron motor.

Frida Kahlo, yang hidup dengan kesakitan fizikal kronik, melahirkan karya seni yang terus hidup sebagai simbol kekuatan identiti dan ekspresi manusia. Stevie Wonder mencipta muzik yang merentasi generasi tanpa bergantung kepada penglihatan, manakala Helen Keller muncul sebagai tokoh hak asasi dan pendidikan yang mempengaruhi dasar dan pemikiran dunia.

Malaysia sendiri mempunyai barisan golongan OKU yang membuktikan potensi luar biasa apabila peluang dibuka. Dato’ Mah Hassan Omar muncul sebagai peguam OKU pertama negara, Profesor Dr. Ismail Salleh memecah tembok akademik global sebagai pemegang PhD cacat penglihatan pertama dunia, Tuah Atan memainkan peranan penting dalam penggubalan Akta Orang Kurang Upaya 2008, Dr. Ruziah Ghazali, tokoh akademik dan penggerak kerja sosial manakala Azarin Razali, usahawan yang menghasilkan kerusi roda motor pertama tempatan.

Individu seperti Azhar Ibrahim, mekanik buta yang membina perniagaan sendiri dengan bergantung kepada kepekaan sentuhan dan pengalaman praktikal, Francis Anak Johen, tokoh advokasi hak OKU dan Kumaran a/l Marimuthun, usahawan OKU yang membina empayar perniagaan membuktikan bahawa inovasi sering lahir daripada keperluan dan adaptasi. Ada ramai lagi golongan OKU yang berjaya menempah kejayaan sendiri.

Kejayaan-kejayaan ini bukan kisah luar biasa atau keajaiban individu. Ia adalah bukti jelas bahawa apabila akses, sokongan dan pengiktirafan diberikan, OKU mampu menyumbang setara, malah melangkaui jangkaan. Persoalannya, berapa ramai lagi bakat OKU yang tidak pernah sampai ke tahap ini kerana terhalang oleh stigma, diskriminasi senyap dan kegagalan sistem?

Apabila keupayaan unik tidak diiktiraf 

Salah satu kesilapan besar masyarakat ialah menilai keupayaan manusia melalui kerangka yang terlalu seragam. Keupayaan sering ditakrifkan berdasarkan norma tubuh dan fungsi majoriti, seolah-olah hanya satu bentuk kecerdasan, produktiviti dan kecekapan yang boleh diterima. Hakikatnya, ramai individu OKU membangunkan kelebihan unik hasil adaptasi berterusan terhadap persekitaran yang tidak mesra.

Individu cacat penglihatan, misalnya sering membangunkan kepekaan sentuhan dan pendengaran yang tinggi, menjadikan mereka mahir dalam bidang tertentu seperti muzik, urutan terapi atau kerja mekanikal yang memerlukan ketelitian deria.

Individu dalam spektrum autisme pula seperti Temple Grandin, menunjukkan keupayaan fokus mendalam dan pemikiran sistematik yang menjadi aset besar dalam sains, kejuruteraan dan reka bentuk. Greta Thunberg secara terbuka menyatakan bahawa Asperger membantunya mengekalkan fokus moral dan konsistensi dalam perjuangan perubahan iklim, menjadikan suaranya sukar diabaikan oleh dunia.

Namun, kelebihan-kelebihan ini jarang dilihat sebagai aset dalam perancangan pendidikan, pengambilan pekerja atau pembangunan kerjaya. Sebaliknya, OKU sering dipaksa menyesuaikan diri dengan sistem yang tidak direka untuk mereka dan apabila gagal, kegagalan itu disandarkan kepada individu, bukan kepada struktur yang menindas secara halus.

Akta ada, tetapi hak masih rapuh 

Akta Orang Kurang Upaya 2008 menyediakan pengiktirafan rasmi terhadap OKU dan menyentuh aspek penting seperti pendidikan, pekerjaan, kemudahan awam dan penyertaan sosial. Namun, masalah utamanya ialah akta ini lebih bersifat deklarasi, bukan penguatkuasaan. Ia menyatakan apa yang sepatutnya berlaku, tetapi gagal menetapkan implikasi undang-undang apabila pelanggaran berlaku.

Dalam realiti harian, majikan masih boleh menolak calon OKU tanpa alasan munasabah, bangunan awam boleh kekal tidak mesra OKU dan institusi pendidikan boleh menafikan akses secara tersirat tanpa berdepan akibat undang-undang yang jelas. Akhirnya, OKU terperangkap dalam satu keadaan yang ironik iaitu diiktiraf secara rasmi, tetapi tidak dilindungi secara praktikal.

Apabila ihsan menggantikan hak

Salah satu kelemahan struktur dalam pendekatan sekarang ialah kecenderungan melihat OKU melalui lensa kebajikan, bukan hak asasi. OKU diraikan dalam kempen, sambutan dan poster tetapi dalam kehidupan sebenar, mereka masih bergantung kepada budi bicara.

Pendekatan ini tidak salah dari sudut nilai kemanusiaan, tetapi ia tidak mencukupi dari sudut keadilan. Hak tidak sepatutnya bergantung kepada simpati. Ia mesti dilindungi oleh undang-undang yang jelas dan boleh dikuatkuasakan.

Di negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Kanada, undang-undang antidiskriminasi menyediakan saluran keadilan melalui tribunal atau mahkamah khas, menjadikan diskriminasi bukan sekadar isu moral, tetapi kesalahan yang membawa akibat undang-undang walaupun masih banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan. Malaysia masih belum bergerak ke arah ini secara serius.

Pelaksanaan: Titik gagal yang berulang 

Isu OKU sering dibingkaikan sebagai masalah kesedaran masyarakat. Hakikatnya, kesedaran tanpa mekanisme pelaksanaan hanya menghasilkan ilusi kemajuan.

Sasaran satu peratus kuota pekerjaan OKU dalam perkhidmatan awam, misalnya, telah lama diumumkan, namun pencapaiannya masih jauh daripada memuaskan. Tanpa pemantauan, pelaporan dan akauntabiliti, dasar ini kekal sebagai komitmen di atas kertas.

Keadaan yang sama berlaku dalam aspek akses fizikal dan digital. Banyak bangunan kelihatan patuh piawaian secara luaran, tetapi gagal berfungsi untuk pengguna sebenar.

Di institusi pengajian tinggi, masih wujud kampus yang tidak direka secara inklusif, dan pelajar OKU pula dinasihatkan menukar kursus atau menghentikan pengajian atas alasan “ketidaksesuaian”, sedangkan kegagalan sebenar terletak pada sistem.

OKU dan masa depan negara 

Memperkasa orang kurang upaya (OKU) tidak boleh dilihat sebagai agenda pinggiran, sebaliknya merupakan satu pelaburan strategik jangka panjang. Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, sesebuah negara memerlukan kepelbagaian perspektif, ketahanan diri serta kreativiti yang tinggi.

Hakikatnya, ciri-ciri ini telah lama terbina dalam diri individu OKU melalui pengalaman hidup mereka yang menuntut kecekalan, kebolehsuaian dan keupayaan untuk bertahan dalam realiti yang sering kali tidak mesra terhadap perbezaan.

Usaha ke arah masyarakat inklusif memerlukan pendekatan rentas sektor yang menyeluruh, melibatkan kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pemaju, majikan dan penyedia perkhidmatan.

Pendekatan ini memerlukan peralihan yang jelas daripada kerangka kebajikan kepada kerangka berasaskan hak, serta daripada tindakan bersifat simbolik kepada pembaharuan yang bersifat sistemik dan mampan.

Penyesuaian yang diperlukan oleh OKU bukanlah suatu bentuk keistimewaan, sebaliknya merupakan prasyarat kepada keadilan.

Sepertimana seseorang memerlukan cermin mata atau fon kepala untuk berfungsi dengan lebih optimum, OKU juga memerlukan penyesuaian dari segi persekitaran dan kaedah kerja bagi membolehkan mereka mencapai standard yang sama.

Hal ini bukan tentang menurunkan piawaian, tetapi tentang membuka laluan yang adil agar setiap individu dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaiknya.

Sekiranya hasrat membina sebuah negara yang berdaya saing dan bermaruah benar-benar dipegang, persoalan sama ada OKU mampu menyumbang wajar dihentikan. Persoalan yang lebih jujur dan mendasar ialah sama ada sistem sedia ada cukup matang dan berani untuk menyediakan peluang yang sewajarnya kepada mereka.

Selagi bakat dan potensi OKU terus disekat oleh struktur yang tidak inklusif, kegagalan tersebut bukanlah kegagalan individu OKU, sebaliknya mencerminkan kegagalan masyarakat dalam menjamin keadilan dan kesaksamaan.

OKU tidak seharusnya dipaksa untuk terus-menerus memperjuangkan hak asas mereka, kerana dalam sebuah masyarakat yang adil, hak tidak perlu diminta, sebaliknya dilindungi dan dijamin.

Hj Badlishah Sham Baharin

Presiden 

Pertubuhan IKRAM Malaysia 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia