Akal Fikiran: Krisis, Sikap Fanatik & Tip Menjaganya

Akal Fikiran

Ketika manusia hebat mencipta teknologi, membina dunia maya tanpa sempadan dan mencipta kecerdasan buatan yang mampu menandingi daya fikir sendiri, ramai yang terjebak gagal mentadbir akal dan jiwa. Akal yang sepatutnya menjadi pemimpin kepada hati kini terpenjara dalam kebingungan dan kekosongan makna.

Di media sosial, ribuan fikiran berserabut mencari makna, namun tenggelam dalam lautan suara yang bising dan menyesakkan. Emosi menjadi komoditi tontonan, kemurungan dijadikan jenaka dan kekerasan dirayakan dengan butang like”. 

Inilah wajah sebenar zaman yang pintar mencipta alat berfikir tetapi semakin tumpul dalam mengurus fikiran; zaman yang laju berlari ke depan, namun lupa jalan pulang ke dalam diri.

Akal mengangkat martabat insan 

Dalam maqasid syariah, menjaga akal (ḥifẓ al-‘aql) adalah satu daripada lima tujuan agung syariah. Akal ialah anugerah Ilahi yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Ia merupakan asas kepada taklif, ibadah dan pembinaan peradaban.

Kata Imam al-Ghazali, “Akal ialah cahaya dalam hati yang membimbing manusia kepada kebenaran.” Maka, akal bukan sekadar organ berfikir, tetapi sumber hikmah dan neraca pertimbangan antara yang hak dan batil.

Akal disebut dalam al-Quran sebanyak 49 kali, kebanyakannya dalam bentuk perintah berfikir: ta‘qilun atau ya‘qilun. Ia menandakan bahawa Islam menuntut manusia berfikir secara aktif dan beramal dengan ilmu.

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berakal.” (Surah al-Baqarah: 164)

Ketika akal dikhianati: Ibrah daripada realiti semasa 

Dunia sedang menyaksikan krisis akal dalam pelbagai wajah yang menyayat hati. Di satu sudut, kita melihat tragedi kemanusiaan yang menggoncang nurani. Pembunuhan ngeri yang melibatkan ahli keluarga sendiri, anak menetak bapa, suami membunuh isteri, bahkan rakan menamatkan nyawa rakan sendiri hanya kerana pertikaian kecil.

Peristiwa-peristiwa ini bukan sekadar kisah jenayah, tetapi tanda bahawa akal telah kehilangan nilai. Nafsu dan emosi mengambil alih pertimbangan, menjadikan manusia bertindak di luar batas kewarasan. Apabila akal tidak lagi tunduk kepada iman, ia berubah menjadi alat kezaliman, bukan penimbang keadilan.

Pada masa yang sama, dunia moden dilanda gelombang kemurungan dan keputusasaan yang semakin menakutkan. Kadar depression dan anxiety makin meningkat. Dunia yang serba cepat ini mempercepat teknologi tetapi memperlahankan jiwa.

Akal yang dibiarkan tertekan tanpa bimbingan rohani akhirnya hilang makna hidup, tenggelam dalam kekosongan emosi dan kehilangan arah. Media sosial pula memperhebat derita ini dengan membentuk realiti palsu yang menipu jiwa, hingga manusia menilai diri dengan jumlah like dan bukan nilai iman.

Selain itu, ada satu lagi racun halus yang sedang merosakkan akal umat iaitu taʿaṣṣub (fanatik melampau) terhadap pandangan, kumpulan atau ideologi sendiri hingga menutup ruang hikmah dan adab. Akal yang terikat dengan fanatisisme kehilangan kebebasan untuk menilai secara adil, bahkan sanggup menghina, menista dan memfitnah atas nama kebenaran yang sempit. Inilah paradoks zaman ini.

Manusia berjuang kononnya demi agama tetapi menggunakan akal untuk mencerca, bukan berhujah; untuk menolak, bukan memahami. Hakikatnya, Islam tidak menuntut ketaatan buta tetapi mengajak kepada akal yang terbimbing oleh ilmu dan kasih sayang.

Sejarah telah pun memberi pengajaran yang mahal tentang bahaya taʿaṣṣub ini. Golongan Khawarij yang muncul pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib r.a. adalah contoh nyata bagaimana akal yang dipisahkan daripada hikmah dan rahmat boleh membawa bencana besar kepada umat.

Mereka rajin beribadah, tekun membaca al-Quran tetapi memahami ayat-ayat Allah SWT secara sempit dan literal, tanpa bimbingan ilmu serta pertimbangan adil. Dengan kefahaman yang sempit itu, mereka berani mengkafirkan sesama Muslim dan menghalalkan darah orang beriman.

Rasulullah SAW telah memperingatkan tentang mereka: “Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkongan mereka.” 

Inilah akibat apabila akal kehilangan keseimbangan antara ilmu dan adab lalu menjadikan agama alat untuk menghukum, bukan menyelamatkan.

Menjaga akal menurut tuntunan Islam

Islam tidak membiarkan manusia berfikir tanpa panduan. Syariat telah menetapkan garis sempadan yang jelas agar akal sentiasa sihat, bersih dan berpaksikan wahyu. Pertama, Islam menegaskan kewajipan menjauhi segala yang memabukkan sama ada arak, dadah atau apa jua yang menutup fungsi fikir dan menenggelamkan kesedaran.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah keji daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Ma’idah: 90)

Larangan ini bukan hanya soal hukum tetapi perlindungan terhadap fungsi akal. Segala bentuk hiburan melampau, ideologi sesat atau ketagihan digital yang melumpuhkan kemampuan menilai semuanya termasuk dalam racun yang menghancurkan keupayaan akal untuk membezakan hak dan batil.

Kedua, Islam mengangkat darjat ilmu dan penyebarannya sebagai benteng utama penjagaan akal. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.” (Riwayat Ibnu Majah)

Baginda bukan sekadar mengajar tetapi membina tamadun berasaskan ilmu. Dalam peristiwa Perang Badar, Baginda SAW membebaskan tawanan dengan syarat mereka mengajar anak-anak Muslim membaca dan menulis.

Ia satu langkah simbolik bahawa ilmu lebih tinggi nilainya daripada emas dan kuasa. Ilmu ialah bahan bakar kepada akal, tanpanya akal akan gelap dan mudah dipengaruhi hawa nafsu serta dakyah palsu.

Yang ketiga, Islam juga menekankan keperluan menjaga keseimbangan mental dan emosi kerana akal yang tenang lahir daripada jiwa yang tenteram. Kehidupan yang seimbang antara kerja, ibadah dan rehat adalah perlu untuk menjaga kesihatan minda dan spiritual. Zikir, doa dan muhasabah bukan sekadar ritual rutin tetapi terapi yang menenangkan fikiran, menyucikan jiwa dan memperkukuh kekuatan akal menghadapi tekanan dunia moden.

Di sinilah Islam memuliakan manusia bukan hanya sebagai makhluk yang berfikir tetapi sebagai insan yang berfikir dengan hati yang bersih dan terhubung dengan Penciptanya.

Menjaga akal adalah jihad tanpa pedang tetapi dengan pena, ilmu dan hikmah. Akal ialah kunci; apabila ia rosak,maka agama terpinggir, nyawa dipermainkan, keturunan direndahkan dan harta disalahgunakan.

Oleh itu, mempertahankan akal bermakna mempertahankan maruah kemanusiaan. Umat Islam mesti terus menyalakan obor pemikiran yang jernih agar masyarakat tidak hanyut dalam kabus globalisasi yang memadamkan nur iman.

Sesungguhnya, akal yang tunduk kepada wahyu akan melahirkan insan rabbani, insan yang berfikir dengan iman, bertindak dengan hikmah dan hidup dengan makna. Jagalah akalmu, kerana di sanalah letaknya sinar peradaban.

Ustazah Hasliza Talib
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia