Prof. Dr. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan panggilan Hamka pernah menukilkan bahawa,“Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri.”
Nukilan Hamka membawa kita merenung kembali tujuan hidup seorang manusia yang dikurniakan akal oleh Yang Maha Esa. Allah SWT memilih manusia untuk diberikan akal, bukan malaikat, bukan jin dan bukan mana-mana makhluk lain.
Hal ini bermakna, kurniaan akal sangat signifikan untuk manusia menjalani kehidupan sebagai hamba-Nya dan melunasi tanggungjawab sebagai khalifah-Nya.
Akal menjadikan seseorang lebih berperanan dan bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Itulah ketinggian kedudukan akal dalam diri manusia. Ia mengangkat martabat serta darjat seseorang.
Manusia dikurniakan akal sebagai satu keistimewaan yang membezakan mereka daripada makhluk lain. Dengan akal, manusia dapat memahami, merenung dan membuat keputusan berdasarkan ilmu, berpandukan wahyu.
Akal, walau secerdas mana pun, perlu dipandu oleh iman agar sampai kepada tujuan asal kehidupan. Ia adalah anugerah yang menjadikan manusia makhluk yang mulia dan bertanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
Allah SWT mengangkat martabat manusia dengan menjadikannya makhluk yang mulia, hatta berbanding malaikat sekalipun, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat berikut:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِيْٓ اٰدَمَ وَحَمَلْنٰهُمْ فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنٰهُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلٰى كَثِيْرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلًا ࣖ
“Sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di darat dan di laut. Kami anugerahkan pula kepada mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.” (Surah al-Israa’: 70)
Kemuliaan seiring tanggungjawab
Allah SWT telah memuliakan anak Adam dan mengurniakan mereka pelbagai kelebihan berbanding makhluk lain. Salah satunya ialah akal yang mampu mengangkat kemuliaan manusia. Sementelah, akal inilah yang menjadi alat kepada keupayaan manusia untuk mengenal Tuhan, menjalankan tanggungjawab dan mencipta peradaban.
Akal memberikan manusia kemampuan untuk memahami wahyu dan hukum-hukum Allah, membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan kesedaran serta penuh hikmah. Dengan akal juga, manusia dapat menuntut ilmu, mengembangkan teknologi dan membina tamadun yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kemuliaan manusia kerana akal juga terserlah dalam keupayaan mereka untuk menilai baik dan buruk, benar juga salah serta mengambil pengajaran daripada pengalaman. Dalam konteks ini, akal menjadi alat untuk manusia melaksanakan tanggungjawab moral dan sosial, selaras dengan prinsip Maqasid asy-Syariah yang menekankan penjagaan akal.
Kemuliaan akal ini disertai tanggungjawab yang besar. Akal perlu digunakan dengan bijak dan berpandukan nilai-nilai Islam agar tidak disalahgunakan untuk perkara yang memudaratkan. Jika akal tidak dipandu dengan wahyu, manusia berisiko melakukan kerosakan di muka bumi dan menimbulkan kemudaratan sama ada kepada diri sendiri atau orang lain.
Justeru, kemuliaan manusia kerana dikurniakan akal bukan sahaja terletak pada kebolehan berfikir, tetapi juga bagaimana akal digunakan untuk kebaikan dan untuk memenuhi tujuan hidup sebagai hamba Allah serta khalifah memakmurkan bumi.
Kedudukan akal dalam pentaklifan syarak
Akal mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam pentaklifan syarak. Berakal merupakan salah satu syarat utama untuk seseorang menerima tanggungjawab (taklif) dalam Islam. Tanpa akal yang waras, seseorang Muslim tidak akan dipertanggungjawabkan dengan kewajipan agama.
Jika masih ingat ketika mempelajari hukum-hukum fiqh, syarat wajib kepada kewajipan agama seperti solat, puasa dan lain-lain ialah berakal, termasuklah kewarasan, sedar dan peka serta sedar. Oleh itu, orang yang tidak sempurna akal seperti gila, mabuk atau pengsan dianggap sebagai kekurangan dalam syarat hukum.
Hadis Rasulullah SAW berikut dengan jelas menerangkan:
رُفِع القلمُ عن ثلاثةٍ: عن النّائمِ حتّى يستيقظَ وعن الغلامِ حتّى يحتلِمَ وعن المجنونِ حتّى يُفيقَ
“Telah diangkat pena daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga ia terjaga, daripada seorang kanak-kanak sehingga ia baligh dan daripada orang yang gila sehingga ia sedar.” (Hadis riwayat Abu Daud (4403) dan Ibn Hibban (142))
Makna “telah diangkat pena” dalam hadis tersebut ialah tidak dibebankan dengan taklif dan tidak dikenakan hukuman atau dosa terhadap apa yang dilakukan oleh mereka.
Memelihara akal matlamat agama
Allah SWT bukan sahaja mengurniakan akal kepada manusia, malah mewujudkan mekanisme untuk memelihara kesejahteraannya dan menjaga kewujudannya. Penjagaan akal terangkum dalam salah satu elemen yang dipelihara oleh syariah.
Sebagaimana yang diwacanakan dalam Maqasid asy-Syariah, penjagaan merujuk kepada usaha dan langkah untuk melindungi serta memelihara fungsi akal manusia agar dapat digunakan dengan baik dalam memenuhi tujuan hidup yang selaras dengan kehendak syariah.
Akal dianggap sebagai salah satu anugerah terbesar daripada Allah SWT, yang membolehkan manusia membezakan antara yang baik dan buruk serta membuat keputusan rasional berdasarkan panduan wahyu juga ilmu.
Dalam Maqasid asy-Syariah, penjagaan akal adalah antara lima perkara asas yang wajib dipelihara, dikenali sebagai ad-Daruriyat al-Khamsah, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Prinsip asas dalam menjaga akal termasuk melarang perkara yang boleh merosakkan fungsi akal, seperti pengambilan arak, dadah dan bahan memabukkan lain.
Usaha memupuk kecerdasan akal melalui ilmu amat dititikberatkan kerana ilmu membantu akal berfungsi dengan lebih baik. Selaras dengan wahyu pertama yang bermaksud “bacalah”, itulah bukti kukuh bahawa menjaga akal adalah agenda utama agama.
Akal perlu disuburkan dengan ilmu, dilatih untuk berfikir tentang perkara-perkara yang baik dan memberikan manfaat kepada diri serta orang lain. Ilmu adalah makanan kepada akal. Iman pula ialah vitamin penyuburnya. Tanpa ilmu dan iman, akal akan layu serta mungkin akan mati.
Penjagaan akal juga merangkumi perlindungan daripada penyelewengan seperti ideologi sesat dan pandangan bersifat ghuluw yang boleh menyesatkan manusia daripada kebenaran. Dalam konteks ini, pendidikan menjadi instrumen utama untuk membentuk akal dengan nilai moral, etika dan ilmu yang benar.
Oleh itu, kita lihat syariah menetapkan hukuman yang keras kepada sebarang tindakan yang merosakkan akal seperti pengambilan arak, demi memastikan kesejahteraan akal dan masyarakat secara keseluruhannya. Perkara-perkara yang boleh memudaratkan akal mestilah dijauhi oleh manusia yang sedar.
Langkah untuk menjaga akal
Manusia memainkan peranan penting dalam menjaga akal kerana akal adalah anugerah yang perlu dipelihara bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik untuk kemaslahatan individu dan masyarakat.
Islam melarang pengambilan arak, dadah dan bahan memabukkan lain yang boleh merosakkan fungsi akal. Larangan ini bertujuan untuk memastikan akal kekal sihat dan mampu berfungsi secara optimum. Oleh itu, manusia perlu menjauhi segala perkara yang boleh merosakkan akal seperti ketagihan terhadap alkohol, dadah atau bahan-bahan lain yang memudaratkan.
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, ilmu adalah makanan utama untuk akal. Dengan menuntut ilmu dan mengembangkan pengetahuan, manusia dapat memastikan akal terus berkembang serta dapat digunakan dengan bijak.
Usaha ini merangkumi pendidikan formal, membaca, berdiskusi dengan sihat, menghadiri majlis ilmu dan melibatkan diri dalam perbincangan yang membina minda. Dengan belajar, akal akan terlatih untuk berfikir secara kritis, rasional juga kreatif.
Dengan terus belajar dan berusaha memperbaiki diri, manusia dapat memastikan akal sentiasa aktif dan sihat untuk menghadapi cabaran semasa. Menuntut ilmu ialah proses sepanjang hayat.
Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada kelas-kelas pengajian, bahkan merangkumi pembelajaran kendiri sama ada dengan membaca mahupun pergaulan dan pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekitar kehidupan.
Jaga kesihatan mental seiring kesihatan fizikal
Pada zaman yang serba mencabar ini, kesihatan manusia bukan pada aspek fizikal sahaja, malah pada aspek mentalnya. Cabaran dan tuntutan hidup yang tinggi menjadikan kesihatan mental sebagai satu aspek yang perlu diberikan perhatian yang wajar.
Mental yang tidak sihat boleh memudaratkan diri seperti kesakitan yang ada pada fizikal manusia. Justeru, manusia perlu menguruskan tekanan, mendapatkan rehat yang cukup dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk memastikan akal berfungsi dengan baik. Tidak dinafikan, amalan solat, zikir dan doa dapat membantu menenangkan jiwa dan fikiran.
Jangan sekali-kali memandang enteng usaha-usaha berkaitan keilmuan dan pendidikan. Sebagai orang dewasa, tunjukkan kepada yang lebih muda bagaimana cara memelihara anugerah akal kepada kita.
Gunakan akalk untuk mengenal Allah, menyantuni manusia, memahami agama dan menjadi manusia berguna yang menyebarkan kebaikan kepada semua, di mana-mana sahaja.
“Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi,
Tiada had untuk belajar, melainkan nyawa sudah tiada lagi.”
Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open university Malaysia (OUM)