Sebagai seorang ayah yang mempunyai anak perempuan berumur 14 tahun dan tinggal di asrama, berita kematian adik Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, di Papar, Sabah, menampar hati saya dengan rasa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Saya membayangkan, bagaimana jika itu anak saya? Anak yang saya peluk setiap kali dia pulang bercuti, anak yang saya doakan setiap malam sebelum tidur, anak yang saya hantar ke asrama dengan harapan dia belajar dalam suasana selamat dan terkawal. Lalu, apabila mendengar berita ini, hati saya remuk.
Sebagai seorang Muslim, saya tahu bahawa menjaga nyawa adalah satu amanah agung daripada Allah. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan:
“…barang siapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara nyawa seluruh manusia…” (Surah al-Mā’idah, 5:32).
Nyawa anak-anak kita bukan sekadar statistik atau berita. Mereka adalah dunia dan masa depan kita. Kehilangan mereka dalam keadaan misteri dan menyakitkan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal dan hati.
Kepada Kumpulan #JusticeForZara: Tenangkan Emosi, Kekalkan Rasional
Saya amat menghormati semangat, air mata dan tenaga yang dicurahkan oleh mereka yang bersama gerakan #JusticeForZara. Saya faham, mungkin ramai antara mereka terlalu terkesan. Ada yang membayangkan anak sendiri di tempat Zara. Ada yang merasakan kesakitan keluarga ini seolah-olah milik mereka juga.
Tetapi saya ingin mengajak kita semua, khususnya mereka yang memperjuangkan keadilan ini untuk mengekalkan rasional di tengah gelombang emosi.
- Hormat proses siasatan rasmi
Sebagai seorang ayah, saya hanya mahu satu perkara, kebenaran untuk anak ini. Bukit Aman kini telah mengambil alih kes ini dengan pasukan khas yang terbaik. Ini bukan masa untuk kita membuat andaian atau menekan mereka dengan kata-kata di media sosial.
Biar mereka bekerja dengan tenang kerana setiap langkah mereka adalah untuk mencari jawapan yang kita semua mahukan. Jika kita tergesa-gesa, kita mungkin merosakkan bukti dan peluang untuk kebenaran itu muncul.
- Beri ruang kepada peguam dan polis
Saya tahu hati ini memberontak untuk tahu “apa yang berlaku” sekarang juga. Tapi sebagai seorang bapa, saya juga faham, ada proses yang mesti dilalui. Peguam sedang berusaha, polis sedang menyiasat, autopsi telah dilakukan di hadapan saksi.
Kita perlu percaya bahawa mereka akan membawa fakta ke hadapan mahkamah. Jangan mendahului mereka dengan spekulasi. Ingatlah, setiap perkataan yang kita sebarkan tanpa bukti boleh menjadi beban yang melambatkan keadilan untuk Zara.
- Jaga integriti maklumat
Saya merayu… hentikan penyebaran gambar, nama atau tuduhan terhadap individu yang belum disahkan terlibat. Fitnah bukan sahaja dosa besar di sisi Allah, malah ia boleh menghancurkan nyawa orang yang tidak bersalah.
MCMC telah mengambil tindakan terhadap mereka yang memuat naik kandungan palsu dan sensitif. Ia bukan perkara kecil kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebagai seorang ayah, saya tidak sanggup melihat mana-mana keluarga lain hancur kerana tuduhan yang belum pasti. Hari ini keluarga saya berduka, jangan biarkan keluarga lain menjadi mangsa seterusnya hanya kerana kita terlalu cepat percaya pada khabar angin.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila dia menceritakan semua yang dia dengar.” (HR Muslim).
Kita tidak mahu perjuangan untuk keadilan berubah menjadi medan fitnah. Kita mahu kebenaran yang suci, bukan kebenaran yang dicemari oleh kebohongan.
- Kesan terhadap masyarakat.
Kematian seorang anak seperti Zara menyentuh hati seluruh negara. Saya melihat bagaimana orang ramai turun ke jalan menuntut keadilan sebagai menandakan tanda kasih dan solidariti.
Tetapi jika kemarahan ini tidak dijaga, ia boleh bertukar menjadi ketegangan yang memecah-belahkan masyarakat. Apa yang kita mahu bukan sekadar kemarahan, tetapi keadilan yang murni yang lahir daripada fakta, bukan andaian.
Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu.”
Ayat ini bukan sekadar panduan, tetapi amaran kasih sayang daripada Allah. Kita mahu keadilan untuk Zara, dan keadilan itu mesti datang dengan cara yang Allah reda.
Harapan kepada KPM dan Semua Pihak
Kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, saya rayu agar kes ini menjadi titik perubahan. Kejadian tragis di sekolah asrama bukanlah perkara baharu. Ia telah berlaku terlalu lama dan terlalu kerap.
Langkah yang saya cadangkan:
- Perketat SOP keselamatan dan kawalan asrama. Setiap pelajar mesti berada di bawah pemantauan yang rapi.
- Sistem aduan buli yang efektif dan terlindung. Pelajar mesti rasa selamat untuk melapor. Ini tidak bermakna saya membuat tuduhan kes Zara akibat buli, saya masih menghormati siasatan yang sedang dijalankan.
- Kerjasama dengan NGO yang mempunyai pengalaman dalam pendidikan berteraskan nilai Islam, pembinaan karakter pelajar dan pengukuhan institusi keluarga.
IKRAM telah membangunkan jaringan Sekolah MUSLEH yang menyepadukan akademik dengan tarbiah Islam. Selain itu, melalui kelab remaja IKRAMTeens, IKRAM membentuk kepimpinan dan sahsiah anak muda. Terbaru dengan kerjasama JAKIM, IKRAM memupuk keluarga yang kukuh demi melahirkan generasi Qawwam masa depan yang berakhlak dan bertanggungjawab.
Kesimpulan
Sebagai seorang ayah, saya merasai setiap degupan kesedihan ini. Kita semua mahukan keadilan untuk Zara tetapi keadilan itu mesti ditempuh melalui jalan yang benar.
Kita mesti bersatu, bukan berpecah. Kita mesti tegas menolak kezaliman, tetapi juga tegas menolak fitnah. Dan yang paling penting, kita mesti pastikan nyawa anak-anak lain tidak lagi melayang dalam suasana yang sepatutnya melindungi mereka.
Semoga Allah SWT merahmati arwah Zara, menguatkan keluarganya dan membuka pintu kebenaran. Dan semoga tragedi ini menjadi titik mula kepada sistem pendidikan dan keselamatan pelajar yang lebih terjamin di negara kita.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia