Mendepani kita dewasa ini, negara terus berhadapan dengan pelbagai kemelut yang semakin meruncing dalam aspek politik kepartian yang sempit, jenayah korupsi, penyalahgunaan kuasa, ketirisan bajet, keadilan sosial yang meleset dan pengagihan kekayaan yang tidak adil.
Rakyat pula berhadapan dengan fenomena kemiskinan yang semakin mencengkam, jurang pendapatan yang bertambah meluas, kerosakan sosial dan akhlak yang semakin tenat, keruntuhan institusi-institusi keluarga yang semakin meningkat dan perpaduan rakyat yang kembali terancam.
Justeru, ia menuntut kita supaya melaksanakan tanggungjawab untuk mewujudkan pembaikan yang menyeluruh bagi memelihara manusia, nilai-nilai kemanusiaan, institusi-institusi kemasyarakatan dan persekitaran kehidupan dalam negara.
Menggerakkan usaha-usaha pembaikan tersebut memerlukan kerjasama semua pihak yang berazam, beriltizam untuk memperbaiki situasi negara dan mengangkat pelbagai kemelut yang sedang dihadapi serta memacu negara maju ke hadapan.
Oleh itu, perubahan ke arah situasi politik yang lebih baik, lebih sihat dan adil perlu dilakukan, yang akan mewujudkan ruang yang luas dan berkekalan bagi pembaikan perjalanan negara menuju negara rahmah untuk manusia dan alam semesta. Rakyat amat mendambakan satu perubahan ke arah mencapai kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.
Semoga tahun baru 2018 ini, menjadi harapan IKRAM supaya situasi negara ini mula mengalami anjakan paradigma dalam pemulihan situasi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain di samping mempertahankan keharmonian antara kaum dan agama.
“..Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Ra’d 13:11)
Bersama-samalah kita memacu perubahan ini demi kesejahteraan negara yang lebih baik, insya-Allah.
Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia