Kita hidup pada zaman yang sangat terbuka. Semua orang boleh bercakap, menulis dan memberikan pandangan. Namun ironinya, ketika ruang untuk bersuara semakin luas, ruang dalam hati untuk menerima perbezaan seolah-olah semakin sempit.
Sesetengah orang pada hari ini mudah tersinggung apabila pandangan tidak diterima. Sikap cepat melabel orang yang tidak sependapat menjadikan satu perbezaan kecil berkembang menjadi pertelingkahan yang panjang. Barangkali sudah tiba masanya kita kembali melihat kisah-kisah masa lalu dan belajar daripada pengalaman orang-orang sebelum kita.
Dalam ruang ilmu fiqh, perbezaan pandangan adalah lumrah, malah satu perkara boleh mempunyai lebih daripada dua atau tiga pandangan. Hal ini demikian kerana ilmu fiqh itu sendiri berasaskan pandangan fuqaha yang berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah.
Manusia secara tabiinya bebas mempunyai pandangan yang tidak sama. Literasi fiqh silam merekodkan bahawa fuqaha berselisih pandangan dalam banyak hal-hal furu’. Namun perbezaan itu tidak menghalang mereka belajar, menghormati dan mengiktiraf keilmuan satu sama lain.
Tidak semua perbezaan perlu diseragamkan
Imam Malik mengajar kita bagaimana keterbukaan bermula dengan sebuah kefahaman. Kefahaman yang dimaksudkan adalah bahawa tidak semua perbezaan perlu dihapuskan.
Dalam perkara yang mempunyai ruang ijtihad, kepelbagaian pandangan boleh menjadi sebahagian daripada keluasan tradisi ilmu Islam. Dalam erti kata lain, perbezaan pandangan telah memperkaya literasi ilmu itu sendiri.
Melalui karya agung beliau, al-Muwatta’ yang menghimpunkan hadis dan perbahasan fiqh, Imam Malik menjelaskan secara tidak langsung tentang keterbukaan dalam memberikan pandangan. Menelusuri sejarah perkembangan karya tersebut, terdapat kisah tentang hasrat pemerintah untuk menjadikan al-Muwatta’ sebagai pegangan yang diseragamkan kepada masyarakat Islam.
Imam Malik tidak cenderung kepada pemaksaan seperti itu. Imam Malik mempunyai ilmu yang tinggi dan karya yang hebat, tetapi beliau tidak melihat kehebatan itu sebagai alasan untuk mengatakan semua orang mesti mengikut pandangan beliau.
Tidak takut mengubah pandangan
Kisah Imam asy-Syafii mungkin lebih menarik untuk kita melakukan refleksi. Ketika berada di Iraq, beliau mempunyai sejumlah pandangan fiqh yang kemudiannya dikenali sebagai qaul qadim. Apabila berpindah ke Mesir, beliau menilai semula sebahagian pandangannya dan lahirlah apa yang dikenali sebagai qaul jadid.
Kajian mengenai perubahan tersebut menunjukkan antara faktornya ialah penemuan dalil yang lebih kuat, penelitian yang berterusan dan keperluan semasa yang berorientasikan maslahah. Inilah keberanian intelektual yang diteladankan oleh Imam asy-Syafii.
Imam asy-Syafii dan Imam Ahmad: Guru dan murid yang saling menghormati
Hubungan Imam asy-Syafii dengan Imam Ahmad bin Hanbal juga memberikan pelajaran yang praktikal kepada kita. Imam Ahmad pernah belajar daripada Imam asy-Syafii ketika beliau berada di Iraq dan menjadi antara tokoh yang meriwayatkan pandangan awal asy-Syafii.
Namun Imam Ahmad kemudiannya berkembang sebagai seorang imam besar dengan metodologi dan mazhabnya sendiri. Menariknya, hubungan ilmu tidak menjadikan mereka pesaing yang perlu menjatuhkan satu sama lain.
Riwayat ulama merekodkan pujian Imam asy-Syafii terhadap keluasan ilmu, kefaqihan dan kewarakan Imam Ahmad. Dalam arah yang lain, Imam Ahmad juga memberikan penghormatan yang tinggi kepada Imam asy-Syafii dan mengakui manfaat ilmu yang dipelajarinya daripada beliau.
Mereka mengajar kita sesuatu yang semakin mahal pada hari ini iaitu mengiktiraf kehebatan orang lain tidak akan mengurangkan kehebatan kita. Kita boleh berbeza pendekatan tetapi tetap menghormati. Seorang murid boleh berkembang melampaui apa yang dipelajarinya daripada guru, dan seorang guru tidak perlu berasa terancam apabila muridnya mempunyai pemikiran sendiri.
Belajar mendengar sebelum menghukum
Kita perlu mengembalikan budaya mendengar untuk memahami, bukan mendengar semata-mata untuk menjawab. Barangkali perkembangan teknologi yang pantas menjadikan kita semakin tidak keruan menunggu akan sesuatu, hinggakan apabila mendengar sesuatu maklumat, kita mudah membuat kesimpulan tanpa memeriksa lanjut.
Kita segera memberikan komen tanpa mengetahui keseluruhan konteks. Lebih membimbangkan apabila kita mula memberikan label kepada seseorang hanya kerana satu pandangannya berbeza daripada kita.
Melihat kepada senario perbezaan pandangan dalam konteks fiqh, tidak semua perkara mempunyai kedudukan yang sama. Ada prinsip agama yang jelas dan perlu dipertahankan. Namun terdapat juga banyak persoalan kehidupan dan persoalan ijtihad yang memberikan ruang kepada perbezaan pandangan.
Imam Malik memberikan pelajaran yang sangat penting apabila beliau tidak melihat pandangannya sendiri sebagai sesuatu yang perlu dipaksakan kepada seluruh umat. Imam asy-Syafii pula menunjukkan bahawa seorang ilmuwan boleh menilai semula pandangannya apabila memperoleh dalil dan kefahaman yang lebih kuat.
Kematangan ilmu dan keberanian intelektual inilah yang perlu kita hidupkan. Kita perlu belajar membezakan antara “berbeza dengan prinsip” dan “berbeza dengan pendapat saya.”
Kadangkala yang kita pertahankan dengan begitu keras bukan agama, tetapi tafsiran kita sendiri terhadap sesuatu perkara. Apabila kita menyedari perbezaan ini, kita akan lebih berhati-hati sebelum menghukum orang lain.
Terbuka itu bijaksana
Akhirnya, keterbukaan bukan bererti kehilangan prinsip, tetapi kebijaksanaan mengurus perbezaan dengan ilmu dan adab. Warisan ulama silam mengingatkan kita bahawa semakin tinggi ilmu, semakin luas seharusnya jiwa.
Pergi ke taman memetik melati,
Harum mewangi di waktu pagi;
Berbeza pandangan usah membenci,
Ilmu meninggi, lapangkan hati.
Semoga kita belajar berbeza tanpa bermusuh.
Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




