Forum “Malaysia Kita” Kupas Isu Perpaduan dan Fiqh Ta’ayush

Forum Perpaduan

LUMUT – Isu keharmonian dan kepelbagaian masyarakat Malaysia menjadi fokus utama forum bertajuk “Malaysia Kita: Bolehkah Kita Berbeza Tanpa Membenci?” yang berlangsung di Dewan Kuliah 1 & 2, UniKL MIMET di sini sempena sambutan Hari Malaysia.

Program anjuran IKRAM Manjung dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam UniKL MIMET, HARMONI, dan IKRAM Junior ini menghimpunkan tiga ahli panel yang mewakili latar belakang berbeza.

Mereka ialah Ustaz Muhammad Irfan Bahrin (Asatizah IKRAM Perak), Tn. Aminul Muhaimin Khairul Anwar El Syazali (Timbalan Yang Dipertua ABIM Negeri Perak), dan Dr. Wong Chong Yuen (Naib Pengerusi Perak Chinese Assembly Hall – PCAH), dikendalikan oleh Dr. Daniel Iqram Abd Halim.

Dalam ucapan pembukaan, Pengarah Program, Ir. Dr. Mohd Shah Rizal Samsudin, mengangkat konsep lita’arafu daripada Surah al-Hujurat ayat 13, menegaskan bahawa kepelbagaian adalah realiti Malaysia dan perpaduan tidak memerlukan persetujuan dalam semua perkara. 

Beliau menyeru masyarakat supaya saling mengenali, bermusyawarah dengan adab, serta mengutamakan titik persamaan berbanding kemenangan hujah, sambil mengingatkan bahawa perbezaan yang diurus dengan ilmu dan rasa hormat mampu menjadi kekuatan, bukan punca perpecahan.

Antara isu utama yang dibahaskan ialah konsep fiqh ta’ayush, iaitu kehidupan bersama dalam masyarakat majmuk tanpa menghilangkan identiti masing-masing. Ahli panel turut menjelaskan penggunaan istilah seperti “kafir harbi”, “kafir zimmi” dan “bughah” dalam konteks yang tepat, menekankan kepentingan memahami latar sejarah dan akademik istilah-istilah tersebut bagi mengelakkan salah faham dalam masyarakat.

Perbincangan turut merangkumi Sahifah Madinah, akhlak dalam hubungan sesama manusia, stereotaip antara kaum, diskriminasi, pendidikan, dasar bumiputera, representasi masyarakat Cina dalam sektor awam, serta persoalan rasa termilik terhadap negara.

Moderator forum pula menekankan keperluan menangani secara menyeluruh perasaan “rakyat kelas kedua” dalam kalangan kaum bukan Melayu dan bumiputera, dengan mencadangkan agar bantuan diberikan berasaskan kelas sosioekonomi berbanding etnik supaya ia benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Ahli panel turut menegaskan bahawa walaupun isu polisi perlu ditangani pihak kerajaan, rakyat jelata sepatutnya terus memupuk semangat integrasi dalam kehidupan seharian, memandangkan kekurangan interaksi antara kelompok boleh menyuburkan prasangka dan salah faham.

Secara keseluruhan, forum ini menegaskan bahawa keharmonian dalam kepelbagaian Malaysia boleh dicapai melalui dialog terbuka, pembinaan persefahaman yang kukuh, serta pengurusan perbezaan berasaskan rasa hormat demi kesejahteraan bersama.

Lihat: Foto Forum 

Tonton: Video Forum

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia