Hari Malaysia: Semangat Perpaduan Membina Masa Depan

Perpaduan kaum

Hari Malaysia adalah hari untuk kita mengingati sebuah janji besar, bahawa rakyat yang berbeza negeri, wilayah, kaum, agama, bahasa dan budaya telah memilih untuk berjalan bersama-sama di bawah satu bumbung bernama Malaysia.

Setelah lebih enam dekad pembentukan negara, kita wajar bertanya kepada diri, adakah kita semakin rapat sebagai sebuah bangsa, atau semakin mudah dipisahkan oleh sentimen politik?

Terlalu lama politik negara dibelenggu pertikaian tentang siapa yang paling berhak memiliki Malaysia. Ada yang mahu dilihat paling Melayu, paling Cina, paling India, paling Sabah, paling Sarawak, paling Islamik atau paling patriotik. Ia seolah-olah kecintaan kepada negara hanya dapat dibuktikan dengan mempertikaikan kesetiaan orang lain.

Hakikatnya, Malaysia bukan milik satu kaum, satu agama, satu wilayah, satu parti atau satu generasi. Malaysia ialah amanah dan tanggungjawab bersama. Di bumi inilah kita dilahirkan, mencari rezeki, membina keluarga dan menanam impian. Di sinilah anak-anak kita sedang membesar. Di tanah inilah juga cucu-cicit kita kelak akan mencari kehidupan.

Maka, persoalan politik yang lebih penting bukan lagi, “Siapakah yang paling berhak memiliki Malaysia?” Sebaliknya, kita perlu bertanya, “Malaysia bagaimanakah yang mahu kita wariskan kepada generasi seterusnya?”

Inilah naratif baharu yang mesti kita bina bersama-sama.

Rakyat hidup dengan bermaruah 

Kita mahukan Malaysia yang ekonominya bukan semata-mata berkembang dalam laporan, tetapi membolehkan rakyat hidup dengan bermaruah. Pertumbuhan ekonomi tidak membawa makna jika ibu bapa masih perlu memilih antara membeli makanan dengan membayar bil, anak muda bekerja keras tetapi tidak mampu memiliki rumah, dan warga emas menghabiskan usia dalam keresahan.

Ekonomi bermaruah bermaksud setiap pekerjaan dihargai. Petani, nelayan, pemandu, penjaja, guru, jururawat, pekerja kilang dan usahawan kecil mesti merasakan bahawa sumbangan mereka penting kepada negara. Kekayaan tidak seharusnya hanya berlegar dalam kalangan kelompok tertentu, sementara rakyat biasa terus dihimpit kos kehidupan.

Apabila periuk nasi rakyat menjadi keutamaan, politik akan kembali kepada tujuan asalnya iaitu berkhidmat, bukan bermusuhan.

Kita juga mahu mewariskan sebuah negara yang memberikan pendidikan berkualiti kepada setiap anak. Seorang anak di pedalaman Sabah atau Sarawak mesti mempunyai impian yang sama besarnya dengan anak di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Anak daripada keluarga miskin tidak boleh dihukum oleh keadaan hidup yang tidak pernah dipilihnya.

Mencipta kebersamaan 

Sekolah seharusnya menjadi tempat anak-anak mempelajari ilmu dan mengenali manusia yang berbeza daripadanya. Di situlah mereka dididik bahawa perbezaan warna kulit, bahasa ibunda dan agama bukan ancaman. Pendidikan mesti melahirkan generasi yang mampu berfikir, bertanya, mencipta dan bekerjasama, bukan generasi yang mudah diperalatkan oleh kebencian.

Dalam dunia yang semakin dikuasai kecerdasan buatan (AI), Malaysia turut memerlukan teknologi yang beretika. Teknologi boleh memperluas pendidikan, mempercepat urusan dan membuka peluang ekonomi. Namun, teknologi juga boleh menghasilkan fitnah, penipuan, berita palsu dan video rekaan yang mengadu domba masyarakat.

Sebelum menekan butang “kongsi”, tanyalah kepada diri, adakah maklumat ini benar? Siapakah yang mendapat keuntungan apabila rakyat bergaduh? Jangan biarkan jari kita menjadi alat kepada pihak yang mahu membakar negara. Barangkali, kita merasakan hanya berkongsi satu hantaran, sedangkan kesannya boleh meruntuhkan hubungan yang dibina selama puluhan tahun.

Keselamatan yang perlu kita peduli 

Malaysia juga perlu bersatu dalam menjamin keselamatan makanan. Tanah subur jangan dibiarkan terbengkalai, petani jangan dipandang sebelah mata dan isu bekalan makanan jangan hanya dibincangkan ketika berlaku krisis. Menghargai petani, penternak dan nelayan bukan sekadar mengenang jasa mereka. Negara perlu memberikan teknologi, pembiayaan, pasaran serta perlindungan yang adil.

Menjamin makanan untuk rakyat ialah sebahagian daripada menjaga maruah dan kedaulatan negara.

Begitu juga dengan kelestarian alam. Kita tidak boleh melaungkan kecintaan kepada Malaysia sambil membiarkan sungainya tercemar, hutannya dimusnahkan dan bukitnya ditarah sesuka hati. Kemajuan yang merosakkan alam bukan kemajuan, tetapi hutang bencana yang akan ditanggung oleh anak cucu kita.

Banjir, gelombang haba dan pencemaran tidak mengenali kaum atau parti. Apabila bencana melanda, rumah penyokong kerajaan dan pembangkang sama-sama boleh tenggelam. Udara tercemar turut disedut oleh semua orang. Alam mengingatkan kita bahawa banyak cabaran negara hanya dapat dihadapi apabila rakyat memilih untuk berdiri bersama-sama.

Peliharalah kesejahteraan ini 

Namun, marilah kita bertanya kepada diri, apakah yang akan terjadi jika Malaysia tidak lagi sejahtera?

Apakah yang akan terjadi jika kebencian dibiarkan tumbuh dari hari ke hari, jika jiran mula mencurigai jiran, sahabat memusuhi sahabat dan anak-anak diajar melihat kaum lain sebagai ancaman? Apakah yang akan terjadi jika fitnah lebih dipercayai daripada fakta, kemarahan lebih diraikan daripada kebijaksanaan dan kuasa politik dianggap lebih penting daripada nyawa serta masa depan rakyat?

Ketika keamanan hilang, bukan ahli politik sahaja yang menanggung akibatnya. Rakyat biasalah yang paling awal merasai kesakitannya. Kedai terpaksa ditutup, pekerjaan hilang, sekolah menjadi sepi dan keluarga hidup dalam ketakutan. Ibu bapa bimbang melepaskan anak keluar rumah. Anak kecil pula membesar dengan luka yang mungkin dibawanya sepanjang kehidupan.

Mahukah kita melihat semua itu berlaku? Nauzubillah.

Mahukah tragedi hitam yang pernah meninggalkan parut dalam sejarah negara menyinggah kembali? Mahukah anak-anak kita menanggung harga daripada kebencian yang kita biarkan hari ini? Mahukah mereka mewarisi sebuah Malaysia yang penuh kecurigaan hanya kerana kita gagal menjaga kata-kata, mengawal emosi dan menghormati perbezaan?

Sudah tentu tidak.

Hargailah keamanan ini 

Kita tidak perlu menunggu negara berada di ambang perpecahan untuk belajar menghargai keamanan. Jangan hanya memahami nilai perpaduan selepas kehilangannya. Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan sesuatu yang terjadi dengan sendirinya. Ia dibina melalui kesabaran, pengorbanan, toleransi dan kesediaan generasi terdahulu untuk duduk bersama walaupun berbeza.

Kini, amanah itu berada di tangan kita.

Kita boleh berbeza pandangan tanpa menjadi musuh. Menyokong parti yang berlainan tidak bermaksud kita perlu memutuskan persahabatan, menghina keluarga atau mempertikaikan kecintaan seseorang terhadap negara.

Demokrasi memang memerlukan perbezaan. Namun, perbezaan tanpa adab akan melahirkan permusuhan, manakala perbezaan yang diurus dengan matang akan menghasilkan prinsip semak dan imbang.

Pemimpin pula perlu berhenti menjadikan ketakutan sebagai modal politik. Jangan menakutkan satu kaum dengan kaum yang lain. Jangan menggunakan agama untuk menghukum mereka yang berbeza pandangan. Jangan menjadikan Sabah dan Sarawak penting hanya ketika pilihan raya. Kedua-dua wilayah itu bukan pelengkap kepada cerita Malaysia, tetapi tiang utama pembentukan negara ini.

Kesatuan berasaskan keadilan 

Semangat Hari Malaysia menuntut kesatuan yang berasaskan keadilan. Perpaduan bukan bermaksud rakyat mesti berdiam diri terhadap kezaliman. Perpaduan juga bukan memaksa semua orang menyokong parti atau berfikir dengan cara yang sama. Kesatuan sebenar lahir apabila setiap rakyat merasakan suaranya didengar, maruahnya dihormati dan masa depannya turut diperjuangkan.

Rakyat mesti berani menolak pemimpin yang hidup dengan menyemai kebencian. Nilailah pemimpin melalui integriti, kecekapan, rekod perkhidmatan dan keberanian menyelesaikan masalah. Jangan kita lantang menentang rasuah apabila pelakunya daripada pihak lawan, tetapi mencari alasan apabila ia melibatkan tokoh yang disokong. Negara tidak dapat dibina dengan piawaian moral yang berubah mengikut warna bendera.

Kita juga perlu kembali mengenali antara satu sama lain. Tegurlah jiran yang berlainan kaum. Hadirilah rumah terbuka dan gotong-royong. Dengarlah pengalaman masyarakat di Sabah dan Sarawak. Fahamilah keresahan penduduk kampung, pekerja bandar, golongan muda dan masyarakat rentan. Banyak prasangka hidup kerana kita menghukum manusia dari jauh tanpa pernah duduk semeja dengannya.

Malaysia tidak kekurangan perbezaan. Yang semakin berkurangan ialah ruang untuk kita saling mendengar.

Mulakan dari diri kita 

Naratif masa depan Malaysia harus bermula dengan perkataan “kita.” Bukan hanya bertanya apa yang kerajaan boleh lakukan, tetapi apakah yang boleh kita sumbangkan? Adakah tutur kata kita mendamaikan atau mengapi-apikan? Adakah perkongsian kita menyebarkan ilmu atau fitnah? Adakah pilihan politik kita berdasarkan dasar dan integriti, atau semata-mata kebencian?

Marilah sama-sama bayangkan anak-anak kita dua puluh atau tiga puluh tahun dari sekarang. Apabila mereka membuka lembaran sejarah, apakah yang mahu kita tinggalkan untuk dibaca?

Biarlah mereka mengenang generasi kita sebagai generasi yang memilih perdamaian ketika kebencian cuba dinyalakan, yang mempertahankan persaudaraan ketika politik cuba memisahkan dan yang menyelamatkan masa depan negara ketika kepentingan sempit cuba menguasainya.

Sempena Hari Malaysia, marilah kita berhenti bertanya siapa yang paling berhak memiliki negara ini. Mulailah bertanya apakah yang boleh kita lakukan untuk menjaganya.

Jika Malaysia terluka, kita semua akan merasai kesakitannya. Jika Malaysia hilang kedamaian, anak-anak kitalah yang terpaksa membayar harganya. Namun, jika Malaysia terus aman, adil dan sejahtera, nikmatnya akan diwarisi oleh seluruh generasi.

Ayuh, Malaysia bukan hanya tanah tempat kita berdiri. Malaysia ialah rumah yang melindungi keluarga kita, harapan anak-anak dan amanah yang wajib kita pelihara, bersama-sama. Berbeza bukan alasan untuk berpecah; mencintai Malaysia adalah sebab terbesar untuk kita terus bersatu!

Selamat Hari Malaysia.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia