Kemerdekaan sesebuah negara tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan kebebasan daripada penjajahan fizikal. Setelah puluhan tahun menikmati kemerdekaan, kita berhadapan dengan satu persoalan baharu yang semakin penting: Adakah kita benar-benar merdeka dalam era digital?
Kita mungkin tidak lagi dijajah secara fizikal, tetapi tanpa disedari, pemikiran, emosi, pilihan dan tindakan kita boleh dipengaruhi oleh algoritma, media sosial, budaya tular, kecerdasan buatan (AI), maklumat palsu serta kandungan digital yang kita hadapi setiap hari.
Makna yang lebih meluas
Dalam konteks ini, kemerdekaan pada abad ke-21 perlu diberikan makna yang lebih luas. Merdeka pada era digital bermaksud mempunyai kebebasan dan keupayaan untuk berfikir, menilai dan membuat keputusan secara bijaksana tanpa menjadi tawanan teknologi atau manipulasi maklumat.
Persoalan ini turut bermain di fikiran saya ketika mengendalikan sesi ulasan buku Mencipta Keunikan, Mencapai Keajaiban karya Brig. Gen. (K) Tan Sri Dato’ Paduka Prof. Dr. Fng Ah Seng JP, Prof. Adjung UPNM di Wisma BERNAMA.
Falsafah “Minda Anda Menentukan Masa Depan Anda” membuka ruang untuk kita melihat makna kemerdekaan dalam konteks generasi hari ini iaitu merdeka untuk berfikir, berani mencipta keunikan, mempunyai keyakinan terhadap kemampuan diri dan menggunakan kebebasan itu untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Generasi terdahulu berhadapan dengan penjajahan yang dapat dilihat. Generasi hari ini pula berhadapan dengan bentuk pengaruh yang kadangkala jauh lebih sukar disedari.
Telefon pintar berada di tangan kita hampir sepanjang masa. Kita memilih apa yang hendak ditonton, tetapi pada masa yang sama, algoritma turut menentukan apa yang dipaparkan kepada kita.
Apabila kita berulang kali melihat kandungan yang sependapat dengan kita, kita boleh terperangkap dalam echo chamber atau ruang gema, keadaan apabila pandangan yang sama sentiasa diulang sehingga kita mula menganggap pandangan tersebut sebagai satu-satunya kebenaran.
Kemerdekaan digital?
Dalam era digital, kuasa membentuk agenda tidak lagi berada pada media tradisional semata-mata. Platform digital, algoritma, pencipta kandungan dan pengguna sendiri turut menentukan perkara yang mendapat perhatian masyarakat.
Maka, kemerdekaan digital bukan bererti bebas mengatakan atau berkongsi apa sahaja. Kemerdekaan digital menuntut kebijaksanaan memilih apa yang kita baca, percaya dan sebarkan.
Pemikiran Paulo Freire mengenai critical consciousness atau kesedaran kritis sangat relevan dalam konteks ini. Pendidikan seharusnya membentuk individu yang mampu membaca bukan sahaja perkataan, tetapi juga memahami realiti dunia di sekelilingnya. Generasi muda tidak seharusnya menjadi penerima maklumat secara pasif.
Apabila membaca sesuatu berita, tanyakan: Siapa yang menghasilkannya? Apakah sumbernya? Adakah fakta dipisahkan daripada pendapat? Adakah tajuk tersebut sengaja membangkitkan kemarahan atau ketakutan? Mengapa kandungan ini muncul berulang kali pada paparan saya?
Keupayaan mengemukakan soalan-soalan seperti ini merupakan sebahagian daripada kemerdekaan minda. Dalam era digital, orang yang mempunyai banyak maklumat belum tentu memiliki ilmu.
Orang yang memiliki ilmu pula belum tentu mempunyai kebijaksanaan. Teknologi memberikan kita kepantasan, manakala pendidikan, nilai dan pengalaman memberikan kita pertimbangan serta kebijaksanaan.
Peluang luar biasa
Kemunculan AI pula membawa peluang yang luar biasa kepada generasi muda. AI boleh membantu mencari maklumat, menganalisis data, mempelajari bahasa, menghasilkan idea dan meningkatkan produktiviti. Namun, persoalan yang perlu ditanya bukan sama ada kita harus menggunakan AI atau tidak. Persoalannya ialah, siapakah yang mengawal siapa?
Jika setiap tugasan diserahkan kepada AI tanpa usaha memahami, menganalisis dan menilai hasilnya, teknologi yang sepatutnya memperkasakan manusia akhirnya boleh melemahkan kemampuan manusia untuk berfikir.
Kerangka Taksonomi Bloom mengingatkan bahawa pendidikan perlu bergerak daripada sekadar mengingat dan memahami kepada mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.
Justeru, generasi muda perlu menggunakan AI bukan sebagai pengganti pemikiran, tetapi sebagai alat untuk memperluas pemikiran. Gunakan teknologi untuk mencipta. Jangan biarkan teknologi menentukan siapa diri kita.
Di sinilah mesej Mencipta Keunikan, Mencapai Keajaiban menjadi semakin signifikan. Media sosial sering mendorong kecenderungan untuk membandingkan diri dengan orang lain. Anak muda melihat kejayaan, gaya hidup, kerjaya dan pencapaian orang lain melalui skrin, lalu merasakan bahawa mereka juga perlu mengikut jalan yang sama untuk dianggap berjaya.
Nilai diri
Namun, nilai diri tidak seharusnya ditentukan oleh pengiktirafan di alam maya. Kepada generasi muda, jangan biarkan jumlah likes, followers, tontonan atau komen menentukan nilai diri. Keunikan sebenar lahir apabila kita mengenali kekuatan diri, membina kemampuan dan berani menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.
Merdeka pada era digital juga berkait rapat dengan bahasa dan identiti. Internet membuka ruang komunikasi tanpa sempadan. Generasi muda Malaysia boleh berinteraksi dengan masyarakat dunia dalam sekelip mata. Ini merupakan peluang besar, tetapi keterbukaan global tidak seharusnya menyebabkan kita kehilangan akar identiti sendiri.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mempunyai peranan penting dalam membina identiti dan kesatuan nasional. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain merupakan aset untuk mengakses ilmu serta membina jaringan antarabangsa. Generasi yang yakin dengan identitinya mampu berdiri kukuh di tanah sendiri sambil membuka jendela seluas-luasnya kepada dunia.
Bahasa juga perlu digunakan secara bertanggungjawab di ruang digital. Kata-kata boleh menyatukan, tetapi kata-kata juga boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan. Kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghina.
Tidak seharusnya membina persepsi
Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya. Dalam dunia fizikal, kita hidup bersama. Namun, dalam dunia digital, algoritma berpotensi mengasingkan kita mengikut minat, pandangan dan kecenderungan masing-masing.
Sebab itu generasi muda tidak seharusnya membina persepsi terhadap sesuatu kaum, agama atau komuniti hanya berdasarkan satu video TikTok, satu hantaran Facebook atau satu komen yang tular.
Kenali manusia sebelum menghukum kelompoknya. Perbezaan tidak semestinya membawa perpecahan. Sebaliknya, perbezaan yang diurus dengan ilmu, empati dan rasa hormat boleh menjadi kekuatan dalam membina sebuah negara yang lebih matang dan bersatu.
Apabila setiap orang boleh menjadi penyampai maklumat, masyarakat semakin memerlukan kewartawanan yang berteraskan fakta, semakan dan etika. Media mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk menjadi yang terpantas, tetapi juga untuk menjadi tepat, adil dan bertanggungjawab.
Begitu juga pengguna media sosial. Setiap kali kita menekan butang share, kita sebenarnya turut memainkan peranan sebagai penyebar maklumat. Maka, prinsipnya mudah: semak sebelum sebar, fikir sebelum komen dan fahami sebelum menghukum.
Patriotisme generasi merdeka digital
Patriotisme generasi digital tidak semestinya hanya ditunjukkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Patriotisme juga bermaksud tidak menyebarkan fitnah, menolak kebencian, mempertahankan kebenaran, menghormati kepelbagaian, menggunakan teknologi secara beretika serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Jika dahulu perjuangannya ialah membebaskan tanah air daripada penjajahan, hari ini perjuangannya termasuk membebaskan minda daripada kejahilan, maklumat palsu, manipulasi, prasangka, ketakutan dan ketergantungan melampau kepada teknologi.
Kita telah merdeka sebagai sebuah negara. Kini, cabaran kita adalah memastikan kita terus merdeka dalam pemikiran, merdeka dalam membuat pilihan dan merdeka dalam menentukan masa depan sendiri pada era digital.
Kepada generasi muda, jadilah generasi merdeka digital. Gunakan AI, tetapi jangan serahkan kemampuan berfikir kepadanya. Gunakan media sosial, tetapi jangan serahkan harga diri kepada jumlah likes. Ikuti perkembangan dunia, tetapi jangan kehilangan identiti. Berani bersuara, tetapi jangan kehilangan adab. Berbeza pandangan, tetapi jangan kehilangan rasa hormat.
Lebih penting, jadilah generasi yang bukan sahaja bertanya, “Apakah yang negara boleh berikan kepada saya?”, tetapi turut bertanya, “Apakah yang boleh saya sumbangkan kepada negara?”
Merdeka pada era digital akhirnya bukan sekadar tentang kebebasan menggunakan teknologi. Ia adalah tentang kebijaksanaan menguasai teknologi tanpa kehilangan kemanusiaan, identiti, nilai dan kemampuan untuk berfikir sendiri. Itulah kemerdekaan yang perlu kita pertahankan.
Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara &
Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS




