Wanita IKRAM Malaysia Perkukuh Jaringan Keluarga di Asia Pasifik

Wanita IKRAM

JAKARTA – Wanita IKRAM Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam Persidangan Keluarga Asia Pasifik 2026 di sini melalui penglibatan sebagai ahli panel, pembentang dan peserta bersama wakil dari beberapa negara serantau.

Persidangan anjuran Pusat Belajar Keluarga Madani (PBKM) itu menghimpunkan peserta dari Indonesia, Malaysia, Thailand, Brunei, Singapura dan Sri Lanka bagi berkongsi pandangan, pengalaman serta pendekatan dalam usaha memperkukuh institusi keluarga dan menangani cabaran semasa keluarga di rantau Asia Pasifik.

Antara penglibatan utama Wanita IKRAM Malaysia ialah Dr. Wan Ramizah Wan Hassan yang diberi kepercayaan sebagai ahli panel dalam sesi bertajuk “Wanita dan Agama: Asas Nilai Ketahanan Keluarga”.

Dalam sesi tersebut, beliau menekankan bahawa ketahanan sesebuah keluarga tidak seharusnya diukur berdasarkan kemegahan material atau tingginya pendapatan semata-mata. Sebaliknya, kekuatan keluarga berakar pada keimanan, ketenangan jiwa, kasih sayang, ilmu, akhlak mulia serta tanggungjawab sosial.

Beliau turut mengetengahkan kepentingan peranan wanita dalam membina asas nilai keluarga, khususnya dalam membentuk suasana rumah tangga yang menjadi sumber ketenangan, pendidikan dan pembinaan akhlak generasi.

Sementara itu, Ketua Wanita IKRAM, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman turut menyumbang sebagai pembentang menerusi topik “Integrasi Nilai Keagamaan dalam Dasar Keluarga Negara dari Perspektif Malaysia”.

Pembentangan tersebut mengetengahkan perspektif Malaysia mengenai integrasi nilai-nilai keagamaan dalam pembentukan dasar berkaitan keluarga di peringkat negara, sekali gus memperluas perkongsian pengalaman dan pendekatan Malaysia dalam agenda pengukuhan institusi keluarga.

Setiausaha Wanita IKRAM, Puan Roselinee Mohammad Radzi, turut hadir sebagai peserta bagi mewakili Wanita IKRAM Malaysia dalam sesi perkongsian dan jaringan bersama para peserta dari negara-negara serantau.

Selain perkongsian ilmu, persidangan tersebut menjadi ruang untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara penggerak keluarga dari pelbagai negara serta membuka peluang pertukaran pengalaman dalam menangani isu dan cabaran keluarga dalam konteks masyarakat yang semakin kompleks.

Persidangan ditutup dengan Sesi Pleno Perumusan “Asia-Pacific Family Declaration 2026”, yang mengandungi komitmen bersama negara-negara anggota PBKM dalam usaha memperkukuh institusi keluarga di rantau Asia Pasifik.

Penyertaan Wanita IKRAM Malaysia dalam persidangan ini mencerminkan komitmen berterusannya untuk menyumbang kepada wacana berkaitan keluarga di peringkat serantau, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam usaha membina keluarga yang kukuh, sejahtera dan berteraskan nilai-nilai agama.

Sumber: FB Wanita IKRAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia