Sejauh Mana Jurang Perpaduan Kaum Di Malaysia?

Sejauh Mana Jurang Perpaduan Kaum Di Malaysia? | IKRAM

Sudah menjadi kelaziman buat rakyat Malaysia kalau bersarapan mesti mencari roti canai hingga sanggup beratur panjang demi mendapatkan hidangan tersebut di warung mahupun gerai berdekatan di pagi hari.

Kita juga maklum bahawa roti canai sentiasa digemari dalam segenap masyarakat tidak kira kaum. Namun begitu, istilah roti canai pula kini sudah dimodenkan dengan roti canai terbang, roti canai pisang dan roti canai butter.

Anda boleh tanya sesiapa sahaja yang anda jumpa di Malaysia ini, siapa yang tidak pernah merasai nikmatnya makan roti canai? Pasti mereka mengatakan “Ya” lalu menganggukkan kepala tanda setuju, sedangkan kita semua maklum bahawa roti canai merupakan makanan tradisional masyarakat India di Malaysia.

Senario ini terpakai juga dalam konteks kita membahaskan soal makanan tradisional popular yang lain seperti nasi lemak, laksa, kuih bulan, dim sum dan putu mayam. Pasti terliur bukan? Itu baru bab makanan, belum kita buka topik perbincangan berkait dengan pakaian, perayaan, rutin harian dan sebagainya.

Tidak keterlaluan jika saya boleh ungkapkan bahawa amalan silang budaya ini sudah lama kita telusuri, mungkin sebelum kita menyambut kemerdekaan lagi pada tahun 1957.

Ingat lagi semasa kecil, kita berinteraksi dengan pelbagai kaum di sekolah sewaktu melakukan aktiviti di dalam kelas mahupun luar kelas. Melukis, mewarna, menulis dan bersukan pun bersama-sama dengan penuh riang dan ria.

Cuba anda senarai, pasti lebih banyak lagi bukan?

Bahkan baru-baru ini pesilat negara yang beragama Kristian dan berbangsa Murut iaitu Merrywati Manuil memakai tudung sewaktu bertanding di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh, Melaka. Beliau menyatakan, beliau selesa dan bertudung kerana menghormati warisan orang Melayu.

Sejarah juga banyak membuktikan, dalam mengharumkan nama negara, sama ada para atlet atau penyokong daripada kalangan masyarakat yang berbilang bangsa akan bersatu padu menggapai matlamat yang sama.

Namun mengapa agaknya masih terdengar suara-suara isu perkauman yang berkumandang apabila dalam situasi yang berbeza? Pada persepsi masyarakat, masih ada jurang dalam kesepaduan sosial atau social cohesion yang perlu selesaikan.

Hakikat Yang Disyukuri

Hidup dalam kepelbagaian dan kemajmukan yang dianugerahkan Tuhan ini merupakan sebuah nikmat yang harus kita syukuri. Ia bukan soal untuk mencari siapa yang lebih dan siapa yang kurang, siapa yang baik dan siapa yang buruk, tetapi ia lebih bersifat saling menguatkan bersama.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” 

Ayat ini jelas mengatakan bahawa setiap kerencaman yang kita nikmati hari ini adalah untuk kita saling mengenali antara satu dengan yang lain.

Hakikat ini mengajar kita untuk saling memahami dan bertoleransi dengan setiap perbezaan yang dihadapi bersama. Melalui perbezaan, akan mendatangkan kekuatan di segenap ruang yang dilihat lemah.

Budaya yang diamalkan oleh pelbagai kaum minoriti mahupun majoriti yang ada di tanah air ini menjadi simbol penyatuan dan perpaduan buat rakyat Malaysia.

Bahkan, kita boleh menambah ilmu pengetahuan tentang sebab musabab akan sesuatu budaya yang diamalkan.

Sikap mengambil tahu ini memupuk diri kita untuk tidak berasa ego atau terancam dengan keberadaan kaum lain yang ada di sekitar kita.

Bertanya untuk mengambil tahu agar kita lebih terpandu, bukannya mengumpul sifat prasangka dan menghukum secara terus.

Ungkapan Tokoh

Sebagaimana menurut Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin dalam salah satu ucapan beliau:

Kepelbagaian boleh menawarkan inovasi dan penyelesaian masalah dengan mendorong setiap orang untuk melihat dari perspektif berbeza, Realitinya, rakyat Malaysia telah pun membuktikan keutuhan perpaduan nasional dalam mendepani cabaran negara sewaktu pandemik.”

“Secara analoginya, jika masyarakat boleh sama-sama boleh bersengkang mata, menunggu Dato’ Lee Chong Wei beraksi dalam perlawanan badmintonnya dan sama-sama bersorak gembira meraikan kemenangannya, kita juga boleh bersama-sama bersatu hati bergabung tenaga melalui kepelbagaian yang ada, menongkah cabaran membina negara. Walau kita berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin juga saya kongsikan petikan syarahan oleh Almarhum Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang membuatkan kita sebagai pembaca boleh berfikir soal kepelbagaian dan kerencaman budaya yang ada dalam negara kita.

“Budaya hidup bersama harus berpangkal daripada sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru, kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan.”

“Demikianlah hakikatnya, kepelbagaian (bahasa dan bangsa) adalah bahagian daripada ayat-ayat Allah dalam erti penyerahan hikmah ciptaan Tuhan dan penjelmaan keindahan nikmat kurnia-Nya. Andainya kepelbagaian diurus dan dikendalikan dengan bijaksana, ia akan menghasilkan kesalingan yang produktif atau saling memperkaya dan memperkasa.”

Apa yang kita boleh belajar melalui ungkapan ini adalah sikap seseorang memainkan peranan penting dalam membentuk budaya selamat antara kaum yang berbilang latar belakang ini. Jika tidak, kita akan sentiasa diserang dengan sikap merasakan kaumnya sahaja yang terbaik atau rasis.

Ajaran Islam mengajar kita untuk sentiasa kembali kepada fitrah nurani yang sangat menggalakkan interaksi meluas dengan insan lain di sekeliling kita. Kenal, fahami dan santuni mereka dengan nilai Islam yang sebenar.

Pendekatan seperti ini menjadikan suasana negara akan lebih aman dan harmoni lantas semangat perpaduan antara kaum dapat disemai.

Justifikasi Kajian Lapangan

Kementerian Perpaduan Malaysia telah melaksanakan kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) pada tahun 2018 bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian.

Skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) telah mengukur tahap perpaduan di Malaysia adalah sebanyak 0.567 daripada skala 1.0 di mana nilai ini menunjukkan kayu ukur kedudukan perpaduan yang baik.

IPNas telah dibangunkan bagi memantau tahap perpaduan dan keharmonian negara yang  menggambarkan keadaan hubungan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

Namun begitu, kajian seumpama ini wajar untuk dijalankan secara dwitahunan bagi memastikan tahapan perpaduan ini dapat dipertingkatkan dan solusi tuntas perlu diperkasakan.

Manakala kajian persepsi masyarakat terhadap nilai perpaduan juga telah dijalankan oleh Unit Kajian Dasar IKRAM (KADRI) di bawah Indeks Negara Rahmah (INR).

Indikator yang berkaitan nilai perpaduan yang diukur adalah ‘Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni’.

Skor indikator ini pada tahun 2021 adalah di tahap sederhana iaitu 6.93 berbanding skala 10, serta merupakan skor yang melebihi skor purata INR iaitu 6.09.

Oleh itu, daripada kajian yang telah dilakukan ini menunjukkan tahap perpaduan di Malaysia masih dalam keadaan yang stabil, namun masih terdapat ruang untuk menambah baik bagi mengurangkan jurang defisit sosial.

Kukuhkan Perpaduan

Justeru itu, IKRAM telah menyahut seruan dan semangat untuk mengukuhkan perpaduan demi menjamin keharmonian yang menyeluruh dalam segenap lapisan masyarakat majmuk di Malaysia.

Kerencaman kaum yang ada dalam negara kita harus dijadikan kekuatan serta simbol perpaduan kepada dunia. Seruan dan semangat akan kekal sebagai retorik sekiranya tiada pengamalan yang dilakukan di lapangan.

Maka, seorang pemimpin yang berwibawa sama ada tokoh masyarakat, cendekiawan, ahli politik dan golongan yang seangkatan dengannya haruslah memainkan peranan yang holistik bagi memastikan perpaduan dalam negara ini tercapai dan berada dalam keadaan yang memuaskan.

Bagi menggapai sebuah nikmat perpaduan, semua pihak harus bertanggungjawab dalam menggembleng usaha bagi mencapai matlamat tersebut.

Dari sekecil-kecil usaha sehingga sebesar-besar usaha wajar digerakkan. Iltizam yang dipegang erat itu harus diterjemahkan di lapangan untuk memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia boleh merasai kenikmatan ini.

Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 bagi menyatakan pelan induk kerajaan dalam memastikan tindak-tanduknya sentiasa memupuk komitmen pelbagai pihak yang berpengaruh.

Ini bagi memastikan program dan aktiviti yang dijalankan dapat memacu tahap perpaduan negara dengan lebih tinggi dan berkesan.

Pelan ini juga dirangka agar impaknya boleh diukur dari segi pencapaian, fokus kepada kumpulan sasar dan sentiasa relevan.

Apabila kita menelusuri teras strategik yang disentuh dalam Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 ini, ia dilihat signifikan dalam membina budaya dan norma keterbukaan, dan toleransi terhadap perbezaan agama dan bangsa, yang mana perkara ini menjadi kekuatan buat negara kita.

Saranan untuk membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan wajar ditingkatkan, ia tidak cukup hanya dengan retorik kata-kata di atas pentas semata-mata.

Semua pihak perlu untuk turun ke lapangan mahupun jalanan untuk memastikan saranan ini dapat dicapai dengan kadar yang optimum.

Malaysia harus menjadi negara maju, sejahtera dan terbilang dengan perpaduan semua pihak, bak kata pepatah Melayu, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

Profesor Dr Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia