SITIAWAN – Ujian Kenaikan Pangkat (UKP) Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRSM) 2026 telah berlangsung pada 2-5 Jun lalu, yang disertai oleh 673 peserta di D’Amir Chalet, Kampung Baharu di sini.
UKP disertai oleh peserta Kursus Sarjan, Staf Sarjan dan Pegawai Waran 2 KRSM, yang dimulakan dengan kawad pembukaan dan taklimat umum oleh Ketua Kem Komandan, Mejar KRS Mohd Zubir Mohd Shahar.

Sepanjang program, para peserta menjalani pelbagai ujian dan latihan mengikut kursus masing-masing meliputi Kawad, BaSeD, MeTra, Micro Teaching, Orienteering, Ikatan, Bantu Mula, Berkayak, Berakit, High Rope, Memanah Tradisional dan Map Reading, Street Dakwah dan Solo Camp.
Selain menguji kemahiran teknikal dan kepimpinan, UKP turut memberi penekanan kepada aspek ketahanan diri, kerja berpasukan, pengurusan, protokol serta pembangunan sahsiah melalui sesi refleksi dan konstruk KRSM.

Di samping itu, pelbagai aktiviti lapangan telah dijalankan di beberapa lokasi termasuk Teluk Batik bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh kepada para peserta.
Program ini melabuhkan tirainya dengan aktiviti “roboh pangkalan” dan Majlis Penutupan UKP 2026, yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, En. Mohd. Hafiz Abd. Hamid, yang turut menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada para peserta.

Selari dengan program Ujian Kenaikan Pangkat, seramai 37 peserta menyertai Kursus Pentauliahan Pangkat Pegawai Pengurusan (KPPP) KRSM 2026 pada 3-5 Jun lalu, yang turut diadakan di sini.
Program UKP dan KPPP KRSM bertujuan untuk memantapkan kemahiran, tahap kefahaman dan penguasaan bakal pegawai dan anggota KRSM pada tahap yang sewajarnya, merapatkan ukhuwah dan meningkatkan semangat berpasukan yang utuh.

Dengan pelaksanaan program ini, ia seterusnya diharap dapat membantu pihak sekolah merancang pelbagai agenda dan aktiviti yang boleh membawa kepada pencapaian objektif sekolah dan rangkaian MUSLEH.
Syabas dan tahniah atas kecemerlangan semua peserta, jurulatih, fasilitator serta urus setia yang telah menjayakan program UKP dan KPPP KRSM kali ini.




