Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengambil maklum bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan telah pun dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada bulan Julai 2024 yang lepas.
Isu utama yang mencetuskan perbahasan hangat adalah perkara yang berkaitan dengan perbezaan aliran akidah yang kompleks dan sensitif yang wajar ditangani dengan penuh hikmah demi menjaga kesatuan ummah.
HIKAM berpandangan bahawa perbincangan mengenai isu-isu berkaitan aliran akidah tidak sepatutnya dilakukan di ruang awam, kerana ia berpotensi menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Perdebatan awam yang tidak terkawal dalam hal-hal kepercayaan Islam boleh mengakibatkan sikap fanatik, menyempitkan pemikiran dan menghalang kemajuan ummah. Pertelingkahan terbuka juga menimbulkan kesangsian dan persepsi negatif masyarakat belum Islam terhadap agama rahmah kita.
Oleh itu, kami menyeru agar isu sebegini dibincangkan secara ilmiah dan tertib dalam platform tertutup yang melibatkan para ulama, pakar akidah daripada pelbagai aliran dan juga pakar lain yang berkaitan.
Dengan pendekatan ini, diharapkan jalan penyelesaian yang harmoni dan berkesan dapat dicapai demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.
Ketika sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, HIKAM mengajak umat Islam daripada setiap lapisan masyarakat untuk menahan diri daripada perdebatan yang tidak produktif dan boleh memecah-belahkan masyarakat.
Sebaliknya, marilah kita menyatukan tenaga dan memperkukuhkan saf dalam usaha ke arah membina Malaysia yang lebih makmur, bersatu padu dan sejahtera, serta menyebarkan risalah Islam kepada seluruh masyarakat.
Semoga Allah SWT merahmati dan memandu kita semua ke arah perpaduan yang utuh, membawa kebaikan dan keharmonian kepada umat Islam di Malaysia.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Presiden Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
Dato’ Hj Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden WADAH
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden IKRAM
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden ABIM
Dr. Hj Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN