Ramadan, Rekonsiliasi dan Pengurusan Konflik Keluarga

“Bumi mana yang tak ditimpa hujan dan laut mana yang tak berombak” adalah peribahasa lama yang benar-benar menggambarkan hakikat yang berlaku dalam sesebuah keluarga. 

Peribahasa ini membawa maksud setiap ahli keluarga melakukan kesilapan dan usaha untuk mendapatkan kebahagiaan rumah tangga itu tetap menghadapi ujian dan pancaroba.  

Acap kali ujian besar bagi keluarga ialah natijah daripada pergeseran: kecil hati, salah faham, iri hati, sikap berkira, tidak bertolak ansur dan mementingkan diri sendiri. Keadaan-keadaan ini boleh menyebabkan situasi tidak bertegur sapa, bermasam muka dan umumnya  hilang kemesraan.  

Amat menyedihkan jika keadaan ini berterusan dari hari ke minggu, minggu ke bulan dan bulan ke tahun. Sinar gemerlapan keluarga boleh beransur-ansur menjadi malap dan akhirnya gelap.  Pada saat itu keluarga menjadi hambar dan tidak mampu berfungsi dengan sebaiknya.

Ketika umat Islam di seluruh dunia sedang mempersiapkan diri untuk memasuki gerbang Ramadan, manfaatkanlah juga saat ini untuk mengusahakan rekonsiliasi atau perdamaian sesama ahli keluarga. 

Usaha ini amat dituntut dalam Islam dan bayangkan pahala dan ganjarannya apabila ia diteruskan dalam bulan Ramadan. 

Selain menjalani ibadah puasa, umat Islam secara peribadi boleh melakukan refleksi dan memperbaiki diri untuk menjadi seorang yang lebih baik bagi dirinya dan juga keluarga.

Uruslah pergeseran dan konflik sesama ahli keluarga terdekat mahupun yang jauh dengan penuh hikmah. Jangan kita tunggu permohonan maaf atau usaha daripada pihak lain. Kitalah yang perlu memulakan langkah yang pertama. 

Apa sahaja kesilapan dan keterlanjuran yang telah berlaku semuanya boleh dimaafkan.  Sedangkan hukuman Qisas bagi kesalahan membunuh pun Allah SWT membolehkan kemaafan dengan syarat-syarat tertentu (al-Baqarah: 178).  

Selain daripada hal-hal berkaitan hati, hutang juga merupakan satu sumber konflik dalam keluarga.  Justeru menjelang bulan Ramadan, kita berdoa kepada Allah SWT mengurniakan rezeki yang berkat kepada yang berhutang dan kita ingatkan dengan cara yang baik untuk mereka melunaskannya. 

Buat keluarga yang jauh, pemberian hadiah adalah salah satu cara rekonsiliasi yang baik.  Ambillah pengajaran daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Saling memberi hadiah sesama kamu, nescaya kamu akan saling berkasih sayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan adanya pelbagai perkhidmatan kurier hari ini, manfaatkanlah ia untuk menghantar sedikit hadiah tanda ingatan, sebagai contoh sehelai kain pelikat atau kain batik, sekotak kuih kering atau kurma atau apa sahaja yang termampu.  Dengan cara itu, jiwa boleh menjadi tenang dan kekusutan boleh terungkai. 

Ucapan-ucapan baik menjelang Ramadan juga boleh dikongsikan dengan ahli-ahli keluarga yang jauh dan dekat.  Kini keluarga boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang ada untuk menghasilkan poster ucapan termasuk video.  Ucapan-ucapan pengganti diri ini sedikit sebanyak dapat melonggarkan simpulan konflik yang mungkin telah lama wujud.  

Bagi keluarga yang tinggal berdekatan, berkumpul dan berbincanglah mengenai aktiviti-aktiviti bersama sepanjang bulan Ramadan.  Antaranya termasuklah berbuka, bersahur, tadabur al-Quran, solat termasuk tarawih, taujihat, mendengar curahan hati setiap ahli keluarga dan saling memaafkan antara satu dengan yang lain.  

Bagi yang berkemampuan dan berkelapangan, dianjurkan untuk menziarahi ahli-ahli keluarga serta bersama-sama menjalankan ibadah iftar dan lain-lain yang berkaitan termasuk bermaaf-maafan. 

Dengan amalan berziarah ahli-ahli keluarga, kita akan dapat mengenali dan memahami susah senang kehidupan saudara-mara. Yang susah dibantu dan yang senang kita raikan.   

Rekonsiliasi dalam keluarga dapat membantu memulihkan konflik dan rungutan masa lalu serta menghasilkan ikatan yang diperkukuh dan rasa kebersamaan dalam kalangan ahli keluarga. 

Ia juga dapat mewujudkan persekitaran yang positif dan harmoni dalam keluarga, memupuk kasih sayang serta membangkitkan rasa hormat dan kerjasama dalam kalangan ahlinya.

Apabila konflik diselesaikan dan hubungan didamaikan dalam keluarga, kanak-kanak dapat belajar menghargai penyelesaian konflik dan kemaafan serta kepentingan mengekalkan hubungan yang sihat.

Secara keseluruhannya, rekonsiliasi keluarga adalah penting untuk mewujudkan persekitaran bahagia yang dapat menyokong dan memupuk individu untuk terus maju dan berkembang bersama dalam kasih sayang dan persefahaman.

Ia adalah proses berterusan yang memerlukan usaha, kesabaran dan kesanggupan daripada semua ahli keluarga untuk menyelesaikan konflik dan membina semula hubungan demi kebaikan yang lebih besar bagi unit keluarga. 

Ramadan pula adalah masa yang sangat baik untuk menjayakannya.

Rozalli Hashim
Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Kluster Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia