Tip persediaan diri menyambut Ramadan

Ahlan wa sahlan Ya Ramadan. Pejam celik pejam celik, tinggal menghitung hari saja lagi kita bakal menyambut kedatangan bulan yang suci ini.

 

Rasa seperti baru sahaja kita menyambutnya tahun lepas. Begitulah putaran waktu akhir zaman, terasa begitu cepat berjalan.

 

Oleh itu, apa yang telah kita persiapkan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan ini? 

 

Bukan hanya rohani, tapi jasmani iaitu fizikal kita juga penting untuk kita persiapkan supaya rasa lebih ‘fit’ sepanjang berpuasa nanti, terutamanya kepada mereka yang pernah mengalami penyakit gastrik.

 

Tip pemakanan

 

Memandangkan saya juga salah seorang pengidap penyakit tersebut, maka saya akan kongsikan sedikit petua dan pengalaman saya dalam menangani masalah gastrik tersebut.

 

Yang pertama sekali, tinggalkan makanan yang menyumbang kepada masalah gastrik seperti yang dinyatakan oleh Dr. Rizin Kusop yang berasal dari Sabah.

 

Menerusi saluran YouTube, beliau menjelaskan ada lima makanan yang memperburukkan lagi sakit gastrik iaitu susu dan segala jenis produk tenusu, kopi, makanan dan minuman yang masam-masam, makanan pedas dan makanan yang berlemak tepu.

 

Jadi tinggalkan dahulu kelima-lima jenis makanan dan minuman ini selama seminggu atau lebih. Ini untuk mengembalikan semula keselesaan perut kita.

 

Selain itu, saya tambahkan dengan gula putih dan produk yang mengandungi gluten. Sebabnya, kedua-dua bahan ini akan menyebabkan keradangan badan kita terutama perut sekiranya diambil dalam jumlah yang kerap.

 

Untuk pesakit gastrik, gula putih boleh digantikan dengan gula tebu organik, gula kelapa, gula molases, tapi ingat! Walaupun ia organik bukan bermakna anda boleh mengambilnya secara berlebihan.

 

Sesuatu yang berlebihan itu adalah membawa mudarat dan Allah tidak menyukai makan dan minum secara melampaui batas. Bersederhanalah sebab sederhana itu membawa kepada ketakwaan.

 

Pengalaman sendiri

 

Menurut pengalaman saya, selepas saya meninggalkan semua makanan dan minuman yang dinyatakan tersebut, alhamdulillah saya beransur pulih dan mampu berpuasa seperti sediakala, malah berasa lebih cergas dan tidak mudah letih sepanjang berpuasa.

 

Saya lebih banyak meminum air kosong atau mineral, makan buah-buahan dan sayur-sayuran pelbagai jenis.

 

Di samping itu, apabila tiba waktu berbuka, sebaiknya makan buah kurma dahulu dan banyakkan minum air kosong. Jika tiada kurma, boleh gantikan dengan buah-buahan segar seperti pisang, betik dan lain sebagainya.

 

Elakkan terus memakan makanan yang berat dan terlalu kenyang. Ini kerana biasanya ia akan menyebabkan perut sebu, kembung dan berasa tidak selesa terutamanya kita individu yang mempunyai penyakit gastrik. Sejam kemudian, bolehlah mulai memakan makanan yang berat seperti nasi dan lauk-pauk lainnya.

 

Demikian beberapa tip yang dapat penulis bahagikan sesuai dengan pengalaman penulis sendiri dan berjaya mendapat hasil yang memuaskan sebelum tibanya bulan Ramadan. 

 

Alhamdulillah, penulis pun dapat menjalani ibadah puasa nanti dengan mental dan fizikal yang sihat. Saya yakin sesiapa pun pasti menginginkan hal yang sama iaitu diberi kesihatan oleh Allah Taala supaya dapat beribadah dengan lebih baik, lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia.

 

Ganti puasa lepas

 

Seterusnya, jangan lupa untuk menggantikan puasa yang pernah ditinggalkan pada tahun lepas. Apakah dibolehkan untuk mengganti puasa pada bulan Syaaban memandangkan waktunya begitu dekat dengan bulan Ramadan? Tentu saja boleh.

 

Ummul Mukminin Aisyah RA biasa menggantikan puasa beliau pada bulan Syaaban. Hadis ini diceritakan dalam kitab Sahih Bukhari.

 

Aisyah berkata, “Aku mempunyai tanggungan hutang puasa Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan melayani Nabi Muhammad SAW.”

 

Jadi tiada alasan untuk menunda lagi penggantian puasa, tambahan pula berpuasa pada bulan Syaaban itu dapat melatih diri lebih awal sebelum memasuki gerbang Ramadan.

 

Tip rohani, keluarga

 

Selain daripada itu, persiapkan rohani kita dengan ilmu, rajinlah menghadiri kuliah dan aktiviti keilmuan lain, sama ada secara langsung hadir di lokasi atau secara dalam talian. 

 

Dengan demikian, ia akan menaikkan lagi semangat dan iman kita dalam menuju bulan Ramadan.

 

Pada zaman serba moden ini, semua boleh dijangkau oleh tangan kita termasuklah aktiviti ceramah agama atau aktiviti keilmuan lain. Semua terpulang kepada kita sama ada mahu atau tidak.

 

Kepada mereka yang mempunyai anak, ajarilah anak-anak anda tentang ibadah puasa; apa sahaja rukun-rukunnya, ganjaran apa yang Allah beri bagi mereka yang ikhlas berpuasa. 

 

Jangan secara drastik menyuruh anak berpuasa sehari penuh, sebaliknya dimulai dengan puasa setengah hari. Apabila mereka berjaya melepasi puasa sampai ke tengah hari, maka bersorak gembiralah untuk mereka.

 

Boleh juga dengan memberikan mereka hadiah tapi hendaklah anda menerangkan kepada anak bahawa ganjaran daripada Allah itu lebih menarik.

 

Hendaklah mereka ikhlas dalam berpuasa, bukan cuma mengharap hadiah semata. Insya-Allah, anak akan semakin bersemangat dan bersedia untuk berpuasa penuh.

 

Para ibu bapa perlulah memberikan makanan dan minuman yang bernutrisi untuk anak-anak berbuka agar setelah itu mereka lebih bertenaga, tidak cepat penat, lebih cergas. Begitu juga dengan menu sahur.

 

Mudah-mudahan persediaan yang kita lakukan ini bernilai pahala di sisi Allah dan menjadikan diri kita lebih khusyuk dalam beribadah pada bulan yang mulia. 

 

“Ya Allah, sampaikanlah kami pada bulan Ramadan, kurniakanlah kami hati yang ikhlas mengerjakan ibadat kepada-Mu, terimalah segala amal kebaikan kami.” Amin Allahumma amin.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia