Perpaduan Bermula di Rumah: Hidupkan Makna Lita’arafu

Perpaduan Bermula di Rumah: Hidupkan Makna Lita’arafu | IKRAM

Pernahkah anda terfikir, “Apa sebenarnya yang menyatukan kita, rakyat Malaysia?”

Apabila tiba musim Sukan SEA atau Piala AFF, pasukan bola sepak negara, Sang Harimau Malaya nampaknya berjaya menyatukan rakyat Malaysia tidak kira bangsa.

Saat tiba pertandingan badminton antarabangsa, para jaguh badminton negara seperti Lee Chong Wei, Lee Zi Jia dan rakan-rakannya pula jadi tumpuan dan menjadi penyatu rakyat seluruh negara.  

Pada bulan kemerdekaan pula, lagu-lagu merdeka dan patriotik bersahutan dan menjadi laungan bersama, baik Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban, dan suku kaum lainnya.

Segarkan semula semangat perpaduan

Namun, kesatuan dan perpaduan itu seolah bermusim dan seketika sahaja. Dari masa ke semasa, perpaduan itu mulai goyah. Sebagai contoh, ketika musim pilihan raya berlangsung, segelintir ahli dan penyokong politik mempermainkan isu agama dan perkauman.

Terdapat juga video-video tular yang memperlihatkan diskriminasi terhadap sesebuah kaum. Tanpa mengambil kira asal, latar belakang mahaunpun masa video tersebut dirakam, ia telah disebarkan dengan tujuan memainkan sentimen tertentu dan berjaya melemahkan ikatan perpaduan di Malaysia.

Memahami hakikat ini, semangat perpaduan yang ada ini perlu sentiasa disegarkan semula dan saya yakin ia perlu bermula dari dalam rumah kita.

Islam menyeru perpaduan

Kesedaran ini perlu dimulakan dengan menanamkan fikrah dan keyakinan kepada ahli keluarga di rumah kita, bahawa perpaduan itu sangat dianjurkan dalam Islam.

Di sini, peranan para ibu dan ayah menjadi sangat penting dalam mendidik anak-anak. Paksinya tentulah Surah al-Hujurat ayat ke-13. 

Dalam ayat ini, Allah menyeru seluruh umat manusia, baik lelaki atau perempuan, yang asalnya dari suku dan bangsa yang pelbagai, bahawa kemuliaan seseorang itu terletak pada tahap ketakwaan dirinya.

Oleh itu, kita sewajarnya menanamkan kefahaman ini kepada anggota keluarga untuk menumpukan usaha meningkatkan kualiti dan kapasiti diri sendiri, walau sebanyak  mana pun dimensi perbezaan kita.

Menarik untuk diperhatikan juga dalam ayat ini, Allah menyatakan tujuan kita diciptakan berbeza satu dengan yang lain adalah  “Lita’arafu”, agar kita saling mengenal antara satu sama lain.

Hidupkan makna Lita’arafu

Bagaimana cara menghidupkan konsep Lita’arafu di rumah kita? Tentulah dengan cara menggalakkan ahli keluarga kita berkenal-kenalan dengan rakan dan jiran tetangga, termasuk yang berlainan agama dan bangsa dengan kita.

Sungguh ironi jika kita hidup bertahun-tahun di suatu kawasan, berjiran dengan orang Cina, India, Kadazan dan sebagainya, tapi namanya pun kita tidak pernah ambil tahu, berapa anaknya, dari mana dia berasal dan seterusnya. 

Di samping itu, ayuh kita sama-sama kenali agama, dan adat suku bangsa lain, perayaan mereka dan sambutan yang mereka rayakan. Dengan cara ini, kita akan lebih menghormati kepelbagaian yang ada dalam masyarakat kita.

Jangan lupa untuk proaktif memperkenalkan diri kita terlebih dahulu berserta nilai-nilai kebaikan agama kita dan sentiasa mempraktikkan akhlak mulia dalam pergaulan. Semoga dengan akhlak yang baik itu, jiran tetangga kita tertarik mengenali agama dan budaya kita.

Bukankah dalam mafhum sebuah hadis dinyatakan tujuan nabi diutus adalah “Li utammima makarimal akhlaq”, iaitu menyempurnakan akhlak yang mulia?

Petua tingkat perpaduan

Tahukah anda, selain Al-Hujurat ayat ke-13, ayat sebelumnya, ayat ke-12 juga mengajarkan kepada kita petua meningkatkan perpaduan yang boleh kita amalkan?

Petua pertama adalah “Ijtanibu kathiran minaz zhan”, elakkan daripada terlalu banyak bersangka negatif kepada orang lain. Yang kedua, “Wa la tajassasuu”, jauhi kebiasaan suka mencari kesalahan orang.

Lalu yang terakhir Allah berfirman “Wa la yaghtab ba’dhukum ba’dhan” yang bermaksud, jangan suka memburukkan orang lain di belakang mereka. Didiklah anak-anak kita dengan tiga petua ini, nescaya akan lebih erat perpaduan di antara kita.

Selain itu, galakkan ahli keluarga kita untuk berkongsi keharmonian dan perpaduan antara pelbagai kaum ini di media sosial. Sudah terlalu banyak kandungan (content) yang mengganggu keharmonian perpaduan di negara kita. 

Apa kata kita kongsi dan perbanyak kandungan yang memperlihatkan sisi-sisi persamaan yang ada di antara kita. Semoga lebih ramai orang yang mendapat manfaat daripada perkongsian positif tentang perpaduan di Facebook, Instagram, Tiktok, dan media sosial lainnya sehingga mereka juga berusaha untuk mengekalkan perpaduan yang kita impikan ini.

Pupuk perpaduan tanggungjawab semua

Setelah merenung panjang, saya yakin perpaduan itu hanya dapat dicapai dengan usaha yang berterusan dan sokongan semua komponen masyarakat. 

Ia mustahil dicapai hanya dengan program daripada kerajaan, sekolah dan entiti lain. Akan tetapi, ia perlu disokong dan selalu dipupuk semula oleh NGO dan rakyat yang proaktif, termasuk memulakan usaha ini dari skop yang paling kecil, iaitu di rumah kita sendiri.

Selaras dengan slogan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, besar harapan kita agar tekad perpaduan itu bermula dari rumah kita dan kitalah yang menjadi pelopornya. 

Sehingga pada akhirnya kita dapat penuhi harapan yang sudah lama kita idamkan, iaitu harapan agar Malaysia menjadi negara sejahtera yang madani, tentunya dengan makna yang sangat luas, yang terinspirasi dari Negara Madinah yang dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Akhir kata, Salam Perpaduan, Salam Harmoni dan Salam Rahmah untuk semua.

Selamat Hari Malaysia.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia