Perangi ‘Musuh’ Kewangan: Isu Riba dalam e-Dompet

Perangi ‘Musuh’ Kewangan: Isu Riba dalam e-Dompet | IKRAM

Isu boikot dan perang menjadi isu hangat yang memberikan kesan kepada rantaian ekonomi, sosial juga kelestarian dunia. Terdapat pelbagai sebab dan faktor yang mendorong kepada timbulnya kedua-dua isu tersebut.

Dalam bicara kewangan Islam, istilah boikot dan perang boleh dipertimbangkan dalam penyampaian literasi kewangan Islam bertujuan menekankan perihal bersabit dengan larangan-larangan secara mutlak yang digariskan dalam al-Quran dan hadis berkaitan transaksi muamalat. 

Baru-baru ini, kerajaan telah memberikan inisiatif kewangan dalam bentuk e-dompet kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan. 

Namun, penggunaan inisiatif tersebut terhad dan menghalang individu yang berkelayakan untuk menunaikan wang yang diterima hingga mewujudkan perkhidmatan pertukaran wang daripada e-dompet dengan bayaran tertentu. 

Ramai juga individu yang terpengaruh tidak menghiraukan kerugian, sebaliknya mengayakan kelompok tertentu dengan mudah walaupun berlaku kesalahan dari sudut undang-undang.

Jika diteliti dari sudut fiqh, tindakan yang telah dilakukan oleh individu tersebut untuk mendapatkan tunai melalui kaedah-kaedah pertukaran telah melibatkan secara jelas transaksi yang dilarang dalam Islam iaitu riba. 

Ancaman dan hukuman terhadap kesalahan riba telah jelas disebutkan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Antaranya firman Allah SWT pada ayat 275 surah al-Baqarah: 

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan daripada Tuhannya lalu terus berhenti (daripada mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan), dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Jauhilah tujuh kesalahan besar. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah kesalahan itu?’ Baginda menjawab: ‘Mensyirikkan Allah SWT, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali kerana kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada pertempuran serta menuduh wanita suci dan beriman berzina tanpa disedarinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Memandangkan hukuman dan ancaman yang berat lagi menggerunkan sebagaimana yang telah disimpulkan oleh ramai ulama serta dizahirkan dengan jelas dalam al-Quran dan hadis, menjadi kewajipan bagi setiap individu untuk mempelajari fiqh berkaitan transaksi kewangan yang betul, seterusnya memerangi segala bentuk transaksi yang melibatkan unsur-unsur riba tersebut.

Fiqh pertukaran melibatkan item ribawi

Berbalik kepada senario yang berlaku, unsur riba wujud apabila berlaku pertukaran entiti yang sama (entiti tersebut termasuk dalam kalangan item ribawi) tetapi tidak sama timbangannya atau kuantitinya. Riba jenis ini dikenali dengan riba al-Fadl bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit yang bermaksud:

“Tukarkanlah emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam dengan kuantiti yang sama dan dari tangan ke tangan (secara tunai) semasa pertukaran itu dibuat. Tetapi jika terdapat perbezaan dari segi jenis (bukan barang sejenis), maka tukarkanlah ia mengikut kesukaan kamu, tetapi hendaklah ditukar dari tangan ke tangan (secara tunai).”

Berdasarkan kepada hadis di atas, Imam asy-Syafie telah menyimpulkan bahawa barangan ribawi wujud dalam sebarang bentuk nilai mata wang dan makanan.

Mengikut fiqh pertukaran, bagi mengelakkan berlakunya riba dalam transaksi, sesuatu itu mestilah ditukar dengan kadar yang sama dan wajib berlaku secara “lani” (on the spot). 

Walau bagaimanapun, jika pertukaran barang ribawi daripada kategori yang sama (mata wang dengan mata wang) tetapi berbeza jenis seperti Ringgit Malaysia dengan Riyal Arab Saudi, tidak disyaratkan kadar yang sama namun wajib secara “lani”.

Perlu diingat, dalam transaksi muamalat unsur reda-meredai tidak menghalalkan transaksi yang berpaksikan kepada sesuatu yang haram.

Jika disingkap daripada kaca mata sejarah, riba al-Fadl turut dikenali dengan riba al-Jahiliyah kerana penglibatan masyarakat jahiliah dengan sistem pertukaran yang tidak adil.

Pengharaman transaksi ini bertujuan untuk menghapuskan kemungkinan penindasan dan ketidakadilan yang berleluasa dalam masyarakat tersebut. 

Selain daripada aktiviti pertukaran item ribawi tanpa kadar yang sama, perhatian turut diberikan kepada kaedah pengendalian sama ada secara tunai atau bertangguh.

Jika item ribawi tersebut daripada jenis berbeza tetapi dikendalikan secara bertangguh, natijahnya juga adalah riba dan dikenali dengan riba an-Nasa’. 

Nasihat kepada orang yang beriman

Sebagai seorang Muslim yang telah dibekalkan dengan panduan daripada al-Quran dan al-Hadis, menjadi kewajipan kepada semua untuk mendapatkan sumber pendapatan yang halal dan menjauhkan segala urusan serta keterlibatan yang haram.

Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, hikmah pengharaman riba adalah demi menjaga kemaslahatan manusia daripada sudut akhlak, kemasyarakatan dan ekonomi. 

Selain itu, Imam al-Razi dalam tafsirnya telah menyimpulkan riba sebagai:

1. Amalan riba seperti mengambil harta manusia lain tanpa ada gantinya.

2. Usaha daripada riba telah mengehadkan amalan bekerja dalam kalangan individu kerana pihak terlibat tidak bekerja sepertimana pekerjaan yang biasa.

3. Terputusnya semangat untuk membuat kebaikan disebabkan jika seseorang terpaksa membuat pinjaman, dia terpaksa membayar tambahan daripada pinjaman yang dibuat.

4. Memberi ruang kepada orang-orang kaya menindas orang yang miskin melalui pinjaman berasaskan riba.

Terdapat pelbagai transaksi dalam kewangan yang perlu diberikan perhatian oleh setiap individu Muslim dalam kehidupan.

Justeru, pastikan anda yang mempunyai akaun perbankan untuk urusan gaji, perpindahan duit dan pembiayaan keperluan seperti perumahan, kenderaan dan urusan peribadi menggunakan perkhidmatan perbankan Islam.

Hal yang serupa perlu dilakukan dalam transaksi berbentuk perlindungan. Elakkan insurans tetapi langganlah takaful. Kedua-duanya membawa kepada objektif yang sama tetapi proses yang berbeza. 

Elakkan daripada terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan kewangan tanpa mengambil pendekatan semak dan periksa setiap urusan kewangan yang akan melibatkan transaksi supaya tidak terjebak dengan larangan yang telah dimuktamadkan oleh wahyu. 

Tidak rugi kita memerangi semua ‘musuh’ kewangan ini dari awal sebelum Allah SWT dan Rasulullah SAW memerangi kita di akhirat kelak. 

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan, 
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia