Pasca-PRU15: Usah Semarak Api Fitnah Dan Kebencian

Pasca-PRU15: Usah Semarak Api Fitnah Dan Kebencian | IKRAM

Pilihan Raya Uumum ke-15 (PRU15) telah berlangsung pada 19 November yang lalu. Rakyat Malaysia telah keluar seawal 8.00 pagi bagi membuang undi masing-masing.

Namun, sehingga ke hari ini, negara kita masih belum melantik Perdana Menteri, kerana tiada satu pun gabungan parti yang bertanding mendapat undi majoriti untuk parlimen. Rundingan demi rundingan diadakan, namun tiada kata sepakat yang diperolehi sehingga ke hari ini. 

Namun, bukan itu yang ingin kita ingin bincangkan. Peluang memilih calon wakil rakyat saban kali menyaksikan pelbagai agenda dan naratif dibawa oleh setiap parti untuk memancing undi daripada rakyat Malaysia.

Masing-masing mahu wakil daripada parti masing-masing terpilih sebagai wakil yang memerintah negara dan negeri. Apa yang sangat ketara pada kempen pilihan raya (pasca-PRU15) pada kali ini adalah, api fitnah dan kebencian antara kaum ditiup dengan kencang sekali.

Ini bukan perkara baharu dalam landskap politik negara, namun mungkin kerana hadirnya aplikasi TikTok mutakhir ini menjadikan perkara ini lebih tersebar luas. 

Kita bangga melihat ramai anak muda mengambil bahagian dan cakna dengan isu politik semasa, tetapi kempen yang bagaimanakah yang menjadi pilihan mereka itu yang kita runsingkan. 

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan etnik. Hakikat itu perlu kita terima.

Kita telah hidup bersama dengan harmoni sejak puluhan tahun. Kita hidup dengan aman sebagai sebuah komuniti yang besar, bantu membantu dan berganding bahu dalam pelbagai juzuk kehidupan.

Amat tidak munasabah sekali bagi meraih undi yang datang lima tahun sekali, kita menggadaikan nikmat kebersamaan yang kita kecapi sejak berzaman.  

Dalam acara sukan umpamanya, kita mampu untuk bersorak bersama, memberi semangat sebagai suatu pasukan, menyarung jersi yang sama dan mengejar bola yang sama di tengah padang.

Kita menyanjung bangsa lain kerana ketangkasan mereka untuk memenangi pingat umpamanya.

Mengapa pula dalam urusan memilih pemimpin, mencari wakil kepada rakyat, kita tega untuk memperjudikan kesatuan kaum demi memenangkan wakil yang kita mahu pilih?

Mengapa kita perlu bersatu dalam sesetengah hal dan berpecah dalam hal yang lain pula?

Jika kita fikir semula, apakah ini salah satu daripada ajaran Islam yang kita anuti? Islam tidak pernah mengajar umatnya berpecah belah, meniupkan api kebencian dan memporak-perandakan masyarakat dengan hasutan jahat.

Hari ini, dengan adanya media sosial yang dengan mudah boleh ditonton di telefon-telefon pintar, sungguh marak dan cepat api kebencian tersebar.

Tidak cukup dengan itu, ia menjadi indikator kepada pengundi muda untuk memilih pemimpin. Alangkah sedihnya andai perkara ini didoktrinkan kepada generasi hari ini. Bayangkan apa akan jadi kepada negara ini kelak. 

Mahukah kita warisi negara ini kepada generasi akan datang dengan kebencian dan fitnah yang melata? Mahukah masing-masing saling berprasangka antara satu sama lain dan saling menghambur api kebencian?

Bagaimanakah agaknya perpaduan akan kita kecapi jika sedari mula lagi kita memilih perpecahan sebagai suatu titik tolak untuk mengangkat pemimpin?

Lebih parah lagi, ada segolongan agamawan menjadikan syurga dan neraka sebagai timbangan bagi mereka yang tidak sehaluan dengan parti masing-masing. 

Alangkah kucar-kacirnya akhlak kita hari ini. Dalam setandan pisang, sudah tentu tidak semua yang busuk. Namun menyemarakkan api kebencian, menghembus stigma negatif dan menakut-nakutkan rakyat bukanlah cara politik yang sihat dan matang. 

Dalam buku Kamar-Kamar Budi tulisan Hasrizal Abdul Jamil ada menyebut bahawa, “Kita berhubung dengan Allah melalui ibadah dengan kualiti ikhlas, manakala membina hubungan dengan manusia melalui muamalat dengan kualiti akhlak.” 

Begitulah pentingnya akhlak dalam kita bermuamalah dan bermuayasyah (bergaul) sesama manusia.

Rasulullah SAW sendiri diutuskan oleh Allah ke muka bumi ini adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia dan Aisyah r.a. sendiri pernah menyebut bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran. (HR Muslim, No. 746)

Perkara seperti ini akan terus berlaku jika kita tidak mengambil inisiatif untuk memperbaikinya. Didiklah anak-anak untuk sentiasa mengesahkan dahulu sebarang berita yang diterima sebelum menyebarkan kepada orang lain.

Budaya untuk menyemak kesahihan sesuatu perkara sama ada benar atau tidak, belum menjadi budaya dalam kalangan kita. Lebih mudah untuk kita percaya dan terima tanpa kita berusaha untuk mencari sumber yang tepat.

Ibu bapa perlu banyakkan berbincang dan memandu generasi muda. Biarpun maklumat di hujung jari, namun kita jangan hanyut dengan naratif yang negatif. Budaya menakut-nakutkan juga tidak sejahtera untuk kesihatan mental kita.

Hentikan budaya menyebarkan fitnah dan kebencian. Anak-anak kita perlu dididik untuk berjiwa besar serta mampu untuk menyesuaikan diri hidup dalam negara pelbagai budaya dan adat ini. Setiap kaum perlu dimanfaatkan kekuatan mereka.  

Marilah kita menjadi umat yang terbaik dan sering mengajak manusia untuk berbuat makruf serta menghindari perkara mungkar seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:

”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang munkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung.”

Roselinee Mohammad Radzi
Setiausaha Wanita IKRAM Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia