Sudah lebih 30 jam atau hampir dua hari, Malaysia tanpa Perdana Menteri dan kerajaan. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pun telah selesai dilaksanakan. Apakah perlu tunggu kesan celupan di jari hilang, baru negara akan mendapat pemimpinnya?
Tentunya, parlimen tergantung kerana tiada gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
PM10, Kerajaan Baharu
Dalam pada itu, DYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad menitahkan parti politik membuat perakuan gabungan politik untuk menubuhkan kerajaan baharu sebelum jam 2.00 petang hari ini.
Seri Paduka Baginda juga menitahkan agar gabungan parti politik yang dipersetujui mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.
Undi Popular
Laporan analisis undian meletakkan PH di hadapan dengan undi popular pada 34.1 peratus.
Pada tempat kedua pula ialah Perikatan Nasional dengan 31 peratus. Apabila digabungkan dengan GRS – yang dianggotai oleh parti PN dan sekutunya di Sabah – jumlahnya menjadi 32.2 peratus.
Seterusnya, BN pula menduduki tempat ketiga dengan 25.2 peratus undi popular dan GPS pula memperoleh 4.32 peratus undi popular di peringkat kebangsaan.
Bagaimanapun, dalam konteks Sabah, Sarawak, peratus undi popular GPS ialah 30.2 peratus, manakala peratus undi popular GRS pula ialah 8.1 peratus.
Warisan yang berpangkalan di Sabah memperoleh 11.8 peratus undi popular di Sabah dan Sarawak, dan 1.8 peratus undi popular di peringkat nasional. Di Semenanjung Malaysia, ia menerima 0.1 peratus undi.
Sementara itu, parti Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Gerakan Tanah Air yang diterajuinya kalah dengan teruk – ia hanya memperoleh 0.7 undi popular di seluruh negara.
15.5 juta Keluar Mengundi
Terdahulu, jumlah keluar mengundi pada PRU-15 adalah sekitar 73 peratus – hampir 15.5 juta pengundi mengambil bahagian. Bersamaan 3.2 juta lebih banyak pengundi berbanding mereka yang mengundi pada PRU 2018.
Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 72 kerusi, masing-masing memperoleh kerusi terbanyak dan kedua terbanyak, namun masih gagal membentuk kerajaan baharu.
Semoga selepas jam 2.00 petang hari ini, segala jawapan itu akan terjawab, demi Malaysia yang lebih baik, insya-Allah.