Fitnah era infodemik: Pentingnya asas disiplin ilmu

“Benda baik apa salahnya?” Itu kata-kata biasa yang boleh kita jumpa dalam media sosial ataupun dengar dalam kalangan masyarakat kita.

 

Contohnya, dalam grup Whatsapp keluarga pasti ada seorang dua yang gemar berkongsi segala macam tulisan, gambar, video atau audio. Apabila ditegur, pasti kalimat di atas menjadi senjata mempertahankan diri dan maklumat yang dikongsikan.

 

Tapi tahukah kita, bukan semua maklumat adalah ilmu? Maklumat ibarat daging mentah. Perlu dibasuh bersih, disiang, dipotong dan dimasak, kemudian barulah boleh dimakan.

 

Daging yang dimakan mentah memudaratkan. Begitu juga maklumat yang dipercaya bulat-bulat, pasti memudaratkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maklumat ialah pemberitahuan, butiran, data atau pengetahuan.

 

Untuk menjadi sebuah ilmu, setiap maklumat perlu disaring, dikaji dan dipertimbang dengan disiplin tertentu. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan ilmu sebagai suatu pengetahuan yang khusus, didasari oleh kajian dan mempunyai konteks serta makna.

 

Pun begitu, bukan semua ilmu bermanfaat. Ada ilmu yang bermanfaat dan ada yang sebaliknya. Dalam dua doa daripada dua hadis yang berasingan, Nabi SAW mengajar kita berdoa:

 

Allahumma inni as-aluka ‘ilman nafi’a (Ya Allah berikan aku ilmu yang bermanfaat).

 

Allahumm ainni a’uzubika min ‘ilmin laa yanfa’ (Ya Allah aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat).

 

“Alahhh, positif je la. Kalau kita positif, jadi positif la semua benda.”

 

Ini hujah kedua untuk menghalalkan kesemua maklumat tangkap muat yang disebarkan. Dalam Disiplin Ilmu, ada dua istilah penting dalam kaedah penentuan kebenaran dan ketepatan suatu perkara; ‘True Positive’ (Positif Sahih) dan ‘False Positive’ (Positif Palsu).

 

Bersikap pukul rata menganggap positif setiap maklumat atau khabar menyalahi tuntutan berhati-hati dalam menerima berita yang dituntut terhadap setiap orang beriman [Al-Hujurat: 6].

 

Positif Palsu tidak boleh dijadikan rujukan pegangan dan amalan. Contoh akibat berpegang dengan Positif Palsu ini, muncul golongan penyembah berhala, pelaku syirik serta bid’ah, dan pelampau.

 

Terbaru, di India ada sekelompok manusia melumur badan dengan najis dan air kencing lembu sebagai petua anggapan positif ia amalan meningkatkan sistem imun dan melawan virus Covid-19 (The Star, 11 Mei 2021). 

 

Kita sekarang bukan sahaja berada dalam ujian pandemik, tetapi lebih mencabar lagi kita di era infodemik; iaitu lambakan maklumat yang tidak tepat bahkan palsu yang tersebar secara pantas.

 

Orang awam perlu berhati-hati dan bijak memilih sumber maklumat. Pilih individu atau sumber yang berhujah dengan ilmu, disiplin, metodologi dan berautoriti. Jauhi individu atau sumber yang gemar mencanangkan cerita, petua, menyalahi disiplin ilmu dan tiada autoriti.

 

Dalam hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

 

“Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?” Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.”

 

Tokoh yang popular, banyak pengikut dan sering masuk TV atau radio bukan jaminan individu tersebut menyampaikan kebenaran. 

 

Jadilah orang awam yang bijaksana. Buat rujukan silang dengan sumber berautoriti yang mudah dicapai dalam Internet. Ramai profesional yang pakar dalam bidang masing-masing, mufti dan ahli akademik yang gemar berkongsi ilmu bermanfaat di media sosial sekarang. ‘Follow’ golongan macam ini.

 

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti, dan yang dimaksudkan dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” [Lihat Fath al-Qadir, 5/65]

 

“Ilmu Allah itu kan luas…”

 

Ini hujah ‘ultimate’ bagi para penyebar infodemik. Ya, ilmu Allah memang Maha Luas. Tapi kemampuan manusia terbatas dari segi fizikal, akal dan rohani. Sebab itu Allah utuskan para Nabi, Rasul dan turunkan Kitab.

 

Melalui Nabi, Rasul dan Kitab, Allah nak ajar kita ilmu perlu kepada rujukan [An-Nahl: 43], perlu ada struktur, perlu ada kaedah dan disiplin [Al-A’raf: 179] dalam bidang apa sekalipun.

 

Ilmu Allah memang Maha Luas. Tapi Allah melarang hamba-Nya berpegang dan beramal dengan sangkaan [Al-An’am: 116]. Setiap maklumat, dakwaan, petua serta sangkaan jika tidak diurus dan diproses dengan ilmu, kaedah serta disiplin yang diperlukan, manusia cenderung untuk melampaui batas.

 

Aizat Salahuddin
Freelancer R&D

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia