Berpada menyayangi, bersederhana membenci

Lumrah sebagai seorang manusia yang penuh dengan kelemahan dan kekhilafan, ada perkara yang kita benci dan ada perkara yang kita sayang.

 

Malah, manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan ini mengandungi beribu perasaan dalam diri sendiri. Satu roh menanggung dan menyimpan beribu perasaan yang menjadi fitrah bagi kita semua.

 

Bezanya manusia dengan makhluk yang lain adalah anugerah akal yang tidak ternilai harganya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Tin ayat 4 yang bermaksud: 

 

“Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.”

 

Dengan sebaik-baik bentuk penciptaan ini, manusia mampu menzahirkan rasa kasih sayang, benci, marah dan sebagainya dengan lebih sempurna.

 

Jika kita sedang berkasih sayang, apa sahaja yang buruk dan negatif mampu merubah menjadi cantik dan positif.

 

Sebaliknya, jika kita membenci sesuatu perkara, apa sahaja yang baik dan positif mampu berubah menjadi buruk dan tidak elok. Demikianlah manusia dengan berbagai-bagai warna-warni perasaan.

 

Sifat marah, sayang, benci dan lain-lainnya bukanlah suatu kelemahan bagi seseorang manusia, sebaliknya suatu kehormatan untuk kita mengekspresikan rasa dan pandangan kita terhadap sesuatu perkara.

 

Islam tidak pernah melarang fitrah kita yang dicipta dengan sikap kasih, sayang, benci, marah dan lain-lain. Bahkan, Islam telah mengajar kita untuk bersikap benci, sayang dan marah hanya kerana Allah SWT.

 

Kita membenci sesuatu perkara kerana Allah dan kita kasih dan sayang sesuatu perkara juga kerana Allah. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud:

 

“Ada tiga perkara sesiapa sahaja yang memilikinya nescaya ia akan merasakan manisnya iman: (1) Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling ia cintai daripada kedua-duanya, (2) Mencintai seseorang kerana Allah semata, (3) Benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api.”

 

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan oleh Imam Ahmad, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah dan engkau membenci juga kerana Allah.”

 

Berdasarkan dua hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa Islam tidak melarang kita daripada menzahirkan rasa sayang dan benci kerana ianya adalah fitrah dan lumrah bagi setiap diri manusia.

 

Cumanya, Islam menuntut agar kita meletakkan kasih sayang dan benci kita adalah kerana Allah SWT. Kita mesti meletakkan dalam diri kita untuk berkasih sayang kerana Allah dan membenci juga kerana Allah.

 

Dalam maksud yang lain, kita kasih terhadap seseorang adalah kerana kebaikan yang ada pada dirinya, bukan kerana keistimewaan pangkat atau kedudukan yang dimilikinya.

 

Begitu juga sebaliknya, kita benci terhadap seseorang adalah kerana kita benci maksiat yang dilakukannya dan bukan kerana dirinya sendiri. Perkara inilah yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan kita seharian.

 

Dalam situasi hari ini, telah menggambarkan kepada kita bagaimana ramai yang memutuskan silaturahim antara adik beradik, sesama kawan, jiran dan sahabat handal hanya kerana dipandu oleh emosi membenci yang sungguh melampau.

 

Ada yang tidak bertegur sapa hingga berkurun keturunan, ada yang hingga membawa kepada pembunuhan. Malah, pada zaman serba canggih ini, ada yang membenci hingga mengambil sikap ‘block’ di saluran Whatsapp, Facebook dan lain-lain. Ini semua telah mengheret manusia ke lembah penghinaan dan mengundang kemurkaan-Nya.

 

Begitu juga sebahagian kita yang cinta dan kasih kepada seseorang, hingga membuatkan mata hati kita buta kepada kebenaran. Menjelmalah benih ketaksuban dan fanatik terhadap seseorang yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perbalahan.

 

Ada yang mengasihani isteri dan anak-anak, hingga sanggup melakukan apa sahaja mengikut kemahuan si isteri dan anak sedangkan kehendak Allah memerintahkan supaya menjaga aurat isteri dan anaknya tidak diendahkan.

 

Malah, ada yang sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk orang yang tersayang hingga mengundang kepada pembaziran.

 

Sikap melampau dalam membenci dan melebih dalam berkasih sayang ini telah mengingatkan kita akan sebuah hadis sahih dalam kitab al-Adabul Mufrad, riwayat Imam Bukhari, pesanan Umar al-Khattab RA, apabila beliau berkata kepada seseorang tentang rasa cinta dan benci yang maksudnya:

 

“Hai Aslam, jangan jadikan cintamu sebagai beban dan jangan sampai bencimu membuat binasa.” Aku bertanya:  “Bagaimana hal itu boleh terjadi?” Beliau mengatakan: “Jika engkau mencintai janganlah berlebihan seperti seorang anak kecil mencintai sesuatu. Dan jika engkau membenci, janganlah berlebihan hingga engkau suka mencelakai sahabatmu dan membinasakannya.”

 

Demikianlah Islam yang telah mengajar umatnya agar sentiasa melakukan sesuatu adalah kerana Allah, yakni mencintai dan membenci sesuatu perkara adalah atas dasar agama, kerana Allah, dan bukan sebaliknya didasari oleh sifat egois, taksub dan emosi yang melampau.

 

Adakah kita lupa, pada zaman Nabi SAW, terdapat seorang lelaki yang bernama Abdullah dihadapkan di hadapan Nabi untuk disebat kerana meminum arak? Kisah ini diceritakan dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Bukhari, daripada Umar al-Khattab RA, beliau berkata :

 

“Sesungguhnya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang bernama Abdullah. Dia digelar sebagai himar dan menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Nabi pernah menyebatnya disebabkan dia peminum arak. Maka suatu hari dia dihadapkan ke hadapan Nabi lalu baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang lelaki pun berkata, “Ya Allah laknatlah dia.” Berulang kali dia melakukan hal yang sama. Maka Nabi SAW bersabda: “Janganlah kalian melaknatnya. Demi Allah tidak aku ketahui melainkan dia ini mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

 

Demikianlah agama melarang kita daripada bersikap melampau dan berlebihan dalam soal membenci dan menyayangi akan sesuatu perkara. Marilah kita memupuk dalam diri kita akan sikap kematangan dan waras dalam mencintai dan membenci sesuatu. 

 

Alangkah baiknya dunia ini jika kita fahami dan selami perbatasan dalam benci dan sayang ini. Inilah juga sebahagian rahmat Allah terhadap sikap benci dan sayang. Semoga Allah merahmati kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis

Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia