Pasca-PRN: Semarakkan Perpaduan, Bukan Kebencian

Pasca-PRN: Semarakkan Perpaduan, Bukan Kebencian | IKRAM

Kali ini negara kita telah melalui proses Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang panjang, bermula dari PRN Sabah (2020), PRU15 pada 2022, hinggalah PRN enam negeri baru-baru ini.

Proses ini sudah pasti menggunakan tenaga yang banyak dan kerap, serta mengakibatkan kos pengurusan pilihan raya yang amat tinggi kerana kebanyakan PRN diadakan secara berasingan dengan PRU.

Kini semuanya telah selesai dan tiba masanya untuk merapatkan saf membina negeri dan negara yang tanggungjawabnya bukan hanya di bahu kerajaan, bahkan juga di bahu seluruh rakyat Malaysia.

Tanggungjawab ahli-ahli politik yang menang di peringkat DUN dan Parlimen amat besar dan berat, antaranya memberikan khidmat menyantuni rakyat di kawasan, menjadi suara rakyat di sidang dewan, serta memberikan solusi terhadap segala permasalahan di negeri dan negara.

Jika ahli-ahli politik ini sedar dengan peranan penting dan luas yang perlu dimainkan, saya kira mereka akan beri tumpuan utama terhadap pembangunan negara ke arah yang lebih baik. 

Justeru, mereka tidak akan ada masa untuk merancang dan berusaha untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Cukuplah dengan kemelut politik yang berlaku pada 2020. 

Untuk membina negeri dan negara ini amat susah, namun untuk meruntuhkannya amat mudah. Panaskan saja isu perkauman, maka perpaduan antara kaum akan runtuh. Sensasikan saja isu Islam terancam, maka keharmonian antara penganut agama akan runtuh.

Negara kita ini sarat dengan pelbagai permasalahan yang membelenggu rakyat. Ini menjadi tanggungjawab kerajaan, ADUN, Ahli Parlimen dan masyarakat sivil untuk bersama-sama memikirkan solusi yang terbaik bagi menyelesaikan setiap permasalahan tersebut.

Negara kita tidak memerlukan isu-isu dan sentimen tidak perlu yang disensasikan untuk tujuan meraih pengaruh politik. Tindakan sedemikian hanya akan melarikan fokus untuk membina  negara dengan lebih baik.

Sentimen 3R

Begitu juga isu-isu kaum, agama dan raja (3R) yang dimainkan ketika PRU dan PRN lalu telah mengheret rakyat ke kancah ketidakharmonian bukan sahaja antara kaum, bahkan sesama kaum yang berlainan ideologi politik.

Pada 15 Ogos lalu, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) yang disertai Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) telah mengeluarkan kenyataan menzahirkan kekecewaan dengan situasi ini.

HGIM juga bimbang jika isu 3R tidak dibanteras, ia boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Oleh itu, HGIM menyeru semua pihak terutama ahli-ahli politik agar berhenti memainkan sentimen 3R dan usaha menjatuhkan kerajaan persekutuan, sebaliknya memberi fokus untuk memulihkan negeri dan negara dari pelbagai sudut.

Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu menghayati dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah Islam yang menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Pendekatan ini juga menolak segala bentuk amalan fitnah, mengkafirkan sesama orang Islam, menggunakan kata-kata kesat serta sebarang bentuk ekstremisme dan radikalisme yang merosakkan keharmonian dan mengeruhkan perpaduan rakyat Malaysia.

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (ummatan wasata), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)…” (Al-Baqarah: 143)

Dengan mendukung nilai-nilai wasatiyyah Islam menolak ekstremisme dan berganding bahu memperjuangkan keharmonian serta kemajuan negara, Malaysia mampu menjadi negara yang cemerlang lagi berdaya saing.

Nilai-nilai yang indah ini seharusnya diterjemahkan dalam konteks masyarakat dan negara kita dalam bentuk pendekatan terbaik yang mampu memberi solusi kepada pelbagai permasalahan masyarakat, antaranya mendorong kepada keadilan sosial yang tidak meminggirkan mana-mana segmen masyarakat dalam pembangunan walaupun daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang.

Bagi membina negara yang lebih baik, antara perkara-perkara yang perlu ditangani ialah pembasmian kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan, menghentikan sentimen kebencian dan mempromosi perpaduan, serta proaktif membanteras jenayah rasuah.

Semarakkan perpaduan

Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan pada bulan Ogos dan September ini, ia adalah masa yang tepat untuk kita meredakan kepanasan suhu politik tanah air ini dengan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dengan kerjasama lebih 30 NGO, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) tidak ketinggalan untuk menganjurkan pelbagai program menarik sempena sambutan kali ini untuk tahun ketiga bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan cintakan negara.

Antara program tersebut ialah penyebaran video pendek perkongsian tentang perpaduan oleh Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, mempromosi lagu ‘Selamanya Malaysia’, forum Bicara Bina Negara, program peringkat negeri yang dianjurkan oleh semua IKRAM Negeri dan kemuncaknya Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) pada 16 September ini.

“Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai satu bangsa dan sebagai satu negara.” (Tunku Abdul Rahman)

Ayuh bersama kita semarakkan perpaduan dan keharmonian, bukan kebencian dan hamburan cacian.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia