Mukhayyam Negeri Sembilan: Nostalgia di Batu Maloi

mukhn9-5

Program mukhayyam ini bermula pada hari Jumaat 6 Mei 2011 dengan pengisian ceramah oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor di Masjid At-Taqwa Kampung Paroi dan qiamullail. Usai solat Subuh berjemaah, rombongan peserta bergerak ke Batu Maloi. Khemah penginapan didirikan sebaik sahaja peserta sampai di tapak perkhemahan.

Taklimat awal program dan pembahagian kumpulan telah dikendalikan oleh kem komandan iaitu saudara Mahzan. Acara dimulakan dengan sesi taaruf sebelum aktiviti explorace berlangsung sehingga waktu Zuhur. Para peserta juga mengambil peluang ini untuk beramah mesra dengan masyarakat yang menetap berhampiran dengan tapak program berlangsung.

mukhn9-1 mukhn9-2.jpg

Pada sebelah petang pula telah diadakan aktiviti membina rakit. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan dikehendaki membina rakit dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jelas sekali bibit-bibit ukhuwwah telah mulai mekar di antara peserta sepanjang aktiviti ini berlangsung.

mukhn9-3

Semangat kerjasama sebagai satu pasukan dipupuk dengan lebih dalam melalui acara seterusnya iaitu polo air. Ternyata perlawanan antara pasukan begitu sengit dan menarik sekali namun perlawanan akhir bagi polo air hanya akan diadakan pada keesokkan harinya memandang peserta perlu mempersiapkan diri untuk solat Maghrib. Alunan mathurat secara berjemaah dan tazkirah oleh saudara Jamil Ibrahim selepas solat Maghrib telah memecah kesunyian malam.

mukhn9-pidato

Aktiviti pada sebelah malam pula lebih santai selepas seharian dipenuhi dengan aktiviti fizikal. Selesai makan malam dan solat Isyak, pertandingan ‘pidato spontan’ telah diadakan bertujuan untuk melihat kemampuan para peserta berucap secara spontan dihadapan khalayak umum. Setiap peserta diadili oleh juri profesional. Sesi ini berjaya mencungkil bakat terpendam peserta yang pasti berguna untuk amal dakwah kepada masyarakat umum.  Program berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan sesi semakan hafazan ayat al-Quran dan hadith terpilih.

mukhn9-jog

Peserta memulakan hari kedua mukhayyam dengan qiamullail seawal 4.30 pagi sebelum menunaikan solat subuh dan bacaan mathurat berjemaah. Sesi riadah jasmani yang dikendalikan oleh saudara Wahiduddin sejurus bacaan mathurat dengan berlari kira-kira 4km dianggap sebagai persediaan sebelum aktiviti yang lebih lasak lagi iaitu meneroka keindahan gua Batu Maloi.

Peserta dapat menikmati kesegaran udara desa disamping menikmati keindahan suasana kampung di awal pagi. Selesai riadah, sarapan pagi telah tersedia untuk dinikmati. Taklimat bagi aktiviti meneroka gua Batu Maloi oleh penunjuk arah dimulakan kira-kira jam 8.30 pagi dan peserta memulakan perjalanan tepat jam 9 pagi.

mukhn9-6

Ternyata laluan yang terpaksa ditempuhi oleh peserta sepanjang menelusuri laluan berair gua amat sukar dan sangat mencabar. Keadaan flora dan fauna yang masih terpelihara menyebabkan peserta mukhayyam tidak henti-henti berzikir memuji kebesaran Tuhan si-Pencipta.

mukhn9-7

Perjalanan ke dalam gua bertambah sukar dan gelap disamping arus deras yang benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal para peserta untuk melepasinya. Namun dengan semangat persaudaraan yang dipupuk melalui beberapa aktiviti sebelum ini telah berjaya diterjemahkan ketika mana ia sangat diperlukan. Benarlah hadith yang membawa maksud iaitu setiap muslim itu diibaratkan sebagai satu jasad, setiap peserta saling bekerjasama dalam memastikan kesemua anggota ekspedisi berjaya melepasi setiap halangan yang mendatang. Cabaran gua Batu Maloi berakhir pada jam 1 petang. Acara akhir pertandingan polo air berlangsung sebelum upacara penutup mengambil tempat.

Upacara penutup telah disempurnakan oleh YDP IKRAM Negeri Sembilan Prof. Madya Dr Badlishah Sham Baharin. Pembinaan kesefahaman yang utuh dan keakraban yang teguh dalam diri setiap peserta perlu agar interaksi sesama ahli dalam merencana aktiviti dakwah kepada masyarakat di Negeri Sembilan lebih berkesan. Menurut Prof. Madya Dr Badlishah “Kita perlu menjadi umat yang mencipta sejarah bukan menjadi sebahagian daripada sejarah. Sejarah tidak mungkin tercipta tanpa ukhuwwah yang kuat antara kita”. Beliau amat mengharapkan peserta mukhayyam kali ini memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenalan antara satu sama lain.

“Para pemuda merupakan permata yang akan menyinari masyarakat dengan sinar Islam. Maka dengan itu adalah sangat perlu untuk kita meningkatkan lagi kualiti diri para pemuda masa kini disamping bimbingan dan tunjuk ajar yang berterusan daripada golongan senior” ujar beliau. Beliau menegaskan kualiti pemuda yang tinggi merupakan natijah berjayanya perhimpunan jutaan rakyat Mesir di Dataran Tahrir. “Inilah kualiti ahli IKRAM yang ingin kita bina” tambah beliau lagi.

Agenda mukhayyam kali ini berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai sebelum peserta berkemas dan berangkat pulang. Semoga sejarah yang tercipta ini menjadi pemangkin kepada terciptanya sejarah yang lebih hebat.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia