Selang beberapa hari lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kesibukan dan kemeriahan membuat persiapan raya, janganlah lupa untuk menunaikan kewajiban zakat fitrah. Ia terbuka untuk ditunaikan sepanjang bulan Ramadan hingga sebelum solat sunat hari raya.
Zakat fitrah merupakan kewajiban untuk setiap umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syarat tertentu. Ia dilaksanakan pada bulan Ramadan bertujuan untuk membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.
Biasanya kita akan membayar zakat fitrah secara bersemuka kepada amil yang dilantik oleh Pejabat Pengurusan Zakat. Pembayaran akan dibuat sama ada di masjid, surau atau tempat pungutan zakat yang telah ditetapkan.
Seiring dengan langkah kerajaan ke arah transformasi digital, kaedah pembayaran zakat fitrah turut menerima tempiasnya. Kini terdapat pelbagai aplikasi yang menawarkan kemudahan untuk pembayaran zakat fitrah secara dalam talian. Salah satu daripada aplikasi tersebut ialah aplikasi Tulus.
Apa itu aplikasi Tulus?
Tulus merupakan satu aplikasi teknologi kewangan sosial Islamik yang menyediakan ruang kepada umat Islam untuk melaksanakan transaksi seperti zakat, sedekah, infak, wakaf dan korban akikah secara dalam talian.
Ia memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat pembayaran tanpa mengira masa dan lokasi mereka. Ia merupakan platform yang menggabungkan semua organisasi Islamik.
Setakat artikel ini ditulis, Tulus telah menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat kepada lebih daripada 10 buah negeri di Malaysia iaitu Wilayah Persekutuan (termasuk WP Labuan), Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan juga Perlis.
Aplikasi Tulus ini boleh dimua tturun dengan mudah di Google Play Store dan juga Apple App Store. Jika anda kekurangan ruang pada telepon pintar, terdapat versi web Tulus yang boleh diakses di alamat URL seperti berikut – https://app.tulus.my/login.
Cara menggunakan aplikasi Tulus
Untuk menggunakan aplikasi Tulus, pertamanya anda perlu memuat turun sama ada melalui Google PlayStore atau Apple AppStore dan memasang aplikasi pada telefon pintar. Ia disediakan secara percuma.
Seterusnya anda perlu mendaftar akaun aplikasi Tulus. Anda mempunyai pilihan untuk mendaftar akaun menggunakan akaun Gmail sedia ada. Ini lebih memudahkan kerana anda boleh melangkau pengisian maklumat peribadi disebabkan ia akan diambil terus dari sumber data Gmail.
Selesai pendaftaran akaun, anda perlu log masuk ke aplikasi Tulus. Seterusnya akan tertera menu pilihan perkhidmatan yang disediakan oleh Tulus.
Untuk membayar zakat fitrah, anda perlu pilih menu Zakat, kemudian pilih Organisasi Zakat yang berkenaan, kemudian pilih Jenis Zakat (Bilangan senarai jenis zakat ini bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Organisasi Zakat berkenaan, ia tidak sama untuk setiap organisasi).
Jika hendak membayar zakat fitrah, maka pilihlah Zakat Fitrah daripada senarai tersebut. Kemudian anda perlu mengisi sedikit maklumat seperti Jumlah Tanggungan dan Nilai Fitrah (Kadar fitrah juga tidak sama dan ia ditetapkan mengikut negeri masing-masing). Setelah itu, akan dipaparkan Lafaz Niat Pembayaran Zakat Fitrah.
Seterusnya anda akan dibawa ke Skrin Pembayaran di mana kaedah pembayaran yang boleh dipilih juga berbeza mengikut Organisasi Zakat, tetapi kebanyakannya menyediakan saluran pembayaran secara FPX (Financial Process Exchange adalah sebuah perkhidmatan pembayaran online menggunakan akaun perbankan Internet anda. Hal ini mudah, sesuai dan selamat).
Akhir sekali anda akan menerima bukti pembayaran melalui e-mel yang telah didaftar tadi. Bukti Pembayaran ini penting jika anda ingin menyimpannya sebagai rekod untuk proses pengecualian cukai oleh pihak LHDN. Tapi anda tidak perlu risau kerana ia juga boleh dicapai pada bila-bila masa melalui aplikasi Tulus.
Berikut adalah langkah-langkah yang telah saya ringkaskan untuk menggunakan aplikasi Tulus dalam urusan pembayaran zakat:
-
Muat Turun Aplikasi Tulus: Pertama, muat turun aplikasi Tulus daripada Google Play Store (untuk peranti Android) atau App Store (untuk peranti iOS).
-
Daftar atau Log Masuk: Buka aplikasi Tulus dan daftar akaun baru jika anda belum mempunyai akaun. Jika sudah mempunyai akaun, log masuk dengan maklumat pengenalan diri yang betul.
-
Pilih Jenis Zakat: Setelah log masuk, pilih jenis zakat yang ingin anda bayar (contohnya, zakat fitrah, zakat harta, dan sebagainya).
-
Masukkan Maklumat Zakat: Isi maklumat yang diperlukan, seperti jumlah tanggungan dan nilai zakat serta butiran lain yang berkaitan.
-
Pilih Kaedah Pembayaran: Pilih kaedah pembayaran yang sesuai, seperti kad kredit, kad debit, atau pemindahan bank.
-
Sahkan Pembayaran: Semak semula butiran pembayaran dan sahkan transaksi.
-
Selesai!: Anda telah berjaya membayar zakat melalui aplikasi Tulus. Bukti pembayaran akan dihantar ke email anda.
Perkhidmatan yang ditawarkan aplikasi Tulus
Aplikasi Tulus mempunyai beberapa fungsi utama yang memudahkan pengguna dalam urusan pembayaran zakat, sedekah, infak, wakaf , korban dan akikah secara dalam talian. Antaranya ialah:
-
Pembayaran Zakat
Pengguna boleh menggunakan aplikasi Tulus untuk mengira dan membayar zakat dengan mudah. Aplikasi ini memastikan pembayaran zakat mematuhi prinsip syariah.
Selain daripada zakat fitrah, terdapat juga kemudahan pembayaran untuk zakat-zakat jenis lain seperti zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat wang simpanan, zakat binatang ternakan, zakat perniagaan, zakat emas & perak, zakat saham, zakat KWSP, zakat rikaz & galian dan zakat harta.
-
Sedekah dan Infak
Tulus membolehkan pengguna memberikan sedekah dan infak kepada yang memerlukan. Pengguna boleh memilih jenis sedekah dan jumlah yang ingin diberikan.
Fungsi ini merangkumi pemberian sedekah kepada majlis agama islam negeri, masjid, surau, rumah anak yatim, NGO Islami, sekolah dan projek khas.
Selain sedekah, infak juga boleh dilaksanakan kepada organisasi yang berdaftar dalam aplikasi ini seperti Yayasan Islam Darul Ehsan, Rumah Infaq, Iltizam, Projek Amal Sumbangan Makanan dan Dapur Malindo.
-
Wakaf
Pengguna boleh menyumbang untuk wakaf melalui aplikasi ini. Wakaf membantu membangunkan projek-projek kebajikan seperti masjid, sekolah, dan hospital.
Contoh organisasi yang terdapat dalam Tulus untuk menyumbang kepada dana wakaf ialah Wakaf Pulau Pinang, Wakaf PPZ MAIWP, Perbadanan Wakaf Selangor, AWQAF Holding Berhad, Tabung Baitulmal Sarawak, Tabung Wakaf Rakyat Johor, Wakaf Tunai MAIDAM, Wakaf Tunai MARSAH, Wakaf Al-Quds, Amanah Wakaf UiTM Sabah, Yayasan Restu dan Pusat Wakaf Rahmah.
Antara contoh jenis wakaf yang ditawarkan ialah wakaf perumahan, wakaf pengajian tinggi, wakaf kesihatan, wakaf al-Quran, wakaf kitab buku agama, wakaf pendidikan, wakaf pertanian kontan dan wakaf strategik.
-
Korban dan Akikah
Tulus juga memudahkan pengguna untuk menunaikan korban dan akikah. Pengguna boleh memilih sama ada korban atau akikah tersebut hendak dilaksanakan di dalam negara atau di Mekah. Antara organisasi yang berdaftar di Tulus untuk penyediaan perkhidmatan ini ialah Aqiqah4u, Aqiqah Centre dan Ikhlas.
-
Pengurusan Maklumat
Tulus memudahkan pengguna menguruskan maklumat peribadi dan transaksi mereka. Pengguna boleh melihat sejarah pembayaran dan mengemaskini maklumat dengan mudah. Bukti pembayaran juga boleh dicapai pada bila-bila masa.
Kelebihan Aplikasi Tulus
Aplikasi Tulus mempunyai beberapa kelebihan yang menjadikannya pilihan yang baik untuk urusan pembayaran zakat, sedekah, infak,wakaf dan korban dan akikah secara dalam talian:
-
Proses Pembayaran yang Pantas dan Real-Time
Tulus membolehkan pengguna membuat pembayaran dan menerima maklumat pembayaran secara real-time dan telus. Pengguna boleh melakukan bayaran di mana-mana sahaja pada bila-bila masa dengan hanya menggunakan hujung jari.
-
Pelbagai Pembayaran dalam Satu Masa
Aplikasi Tulus menyediakan pelbagai jenis pembayaran dalam satu platform. Pengguna boleh menguruskan zakat, wakaf, infak dan sedekah dengan mudah tanpa perlu berpindah antara aplikasi yang berbeza.
-
Fokus pada Muamalah Islami
Tulus adalah aplikasi fintech Islami yang memastikan semua transaksi mematuhi prinsip syariah. Pengguna dapat beramal dengan yakin, mengetahui bahawa pembayaran mereka adalah sah dan selamat.
Pilihan yang baik
Jika anda sedang mencari cara yang mudah dan selamat untuk beramal, aplikasi Tulus adalah antara pilihan yang baik. Harapan kepada aplikasi ini ialah mereka dapat menambahkan lagi perkhidmatan lain contohnya khairat kematian, takaful dan seumpamanya.
Juga diharapkan lebih banyak kerjasama strategik yang dijalinkan dengan organisasi Islami (contohnya majlis agama Islam negeri, masjid, surau dan NGO) dan Penyedia Perkhidmatan Pembayaran (contoh e-Wallet selain Touch ‘n Go).
Diharapkan aplikasi ini dapat menyumbang ke arah memperkasa ekonomi umat dan memupuk gaya hidup digital dalam kalangan umat Islam.
Ts Mohd Fitri Edros merupakan Ketua Bahagian Infrastruktur ICT di Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).