Bahaya Online Game Dan Cabaran Ibu Bapa

Kemajuan dunia hari ini ditandai dengan pembangunan pesat teknologi digital yang mencetus penciptaan telefon pintar (smartphone).

Produk perindustrian moden yang menggabungkan ciri-ciri telefon bimbit (mobile phone) dengan fungsi perkomputeran (computing functions) hari ini sangat canggih dan mudah diperoleh hingga tiada sesiapa yang terlepas daripada memilikinya, termasuklah mereka yang berada di pedalaman. 

Hampir setiap bulan, ada saja kemudahan dan aksesori baharu diperkenalkan hingga mencetus kegilaan peminat-peminat peranti digital.

Seiring dengan penghasilan produk yang canggih dan mampu milik, usia setiap peranti juga menjadi semakin singkat menyebabkan sampah digital berlonggok semakin banyak setiap hari.

Jika diabai masalah-masalah sampingan yang mungkin timbul akibat ekosistem baharu yang mengelilingi manusia hari ini seperti sampah digital dan masalah penglihatan, telefon pintar masih memiliki manfaat yang banyak menyebabkan kewujudannya dalam kalangan kita wajar dijustifikasi.

Tetapi ada beberapa perkara yang sukar untuk dikompromi. Sama ada kesan itu adalah langsung ataupun tidak langsung, itu tidak penting.

Yang penting, impaknya sangat besar kepada manusia, lantas berisiko mengakibatkan ancaman nyawa atau tekanan mental yang sukar dikawal jika sudah terjadi.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah mempunyai keluarga dan anak kecil, sikap sambil lewa terhadap ancaman digital dan bahaya dunia siber hari ini hanya akan mengundang akibat yang memilukan pada kemudian hari.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan sampai sudah terhantuk, baru hendak menengadah.

Ketagihan Online Game

Antara yang perkara yang sangat dirisaukan hari ini ialah penularan masalah ketagihan online game. Bukan sahaja anak-anak yang terjebak dengan masalah ini, bahkan tidak kurang juga ibu bapa.

Disebabkan para ibu bapa muda berusia antara 25 hingga 40 tahun hari ini (Gen Y) membesar seiring dengan kemunculan Internet dan dunia maya, maka rata-rata mereka mempunyai pengalaman bermain permainan digital.

Siapa tidak kenal Super Mario, Street Fighter II, Resident Evil, Pokemon dan Digimon? Semua jenis permainan video ini pernah menjadi kegilaan pada tahun 90an.

Hari ini sesuai dengan kemajuan teknologi telefon pintar, bermacam-macam permainan video baharu diperkenalkan, khususnya yang menghubungkan pemain dari serata dunia melalui media maya contohnya PUBG, Minecraft, Fortnite.

Sambil bermain boleh berbual, berkenalan dan bertukar-tukar tip, apatah lagi jika orang yang baru dikenali itu menunjukkan kemahiran yang sangat baik. Bukankah menarik untuk mengenali mereka lebih lanjut supaya boleh belajar sesuatu yang bermanfaat bagi mengembangkan skil pertandingan? 

Tetapi suatu hal yang penting perlu ditanya di sini, apakah kesan online game kepada ibu bapa dan anak-anak? Tidakkah persoalan ini perlu diutarakan agar boleh difikir bersama?

Ketagihan online game kepada ibu bapa antaranya boleh mengakibatkan terleka daripada melaksanakan kewajipan keluarga, meninggalkan tugasan rumah tangga dan lupa peranan mendidik anak-anak.

Ayah yang ketagihan permainan maya in cenderung mengutamakan aktiviti bersama kawan-kawan berbanding keluarga sendiri. Duit sanggup dihabiskan, malah prestasi kerja juga mungkin merosot akibat asyik dengan keseronokan berhibur di hadapan skrin. 

Ibu yang leka bermain online game sedikit demi sedikit akan terlupa tugasan rumah tangga selain kehilangan waktu dan perhatian kepada anak-anak.

Keadaan ini berisiko menyebabkan masalah yang lebih serius pula dengan pasangan seperti pertengkaran dan perceraian. Anak-anak yang hilang perhatian akan membawa diri dan menjadi semakin sukar dikawal.

Seterusnya anak-anak yang masih kecil dan belum matang itu juga akan menjadi mangsa dunia maya. Bermula dengan video kanak-kanak di YouTube, sedikit demi sedikit mereka belajar bermain online game dan melayari Internet tanpa kawalan.

Banyak kesan sampingan boleh berlaku disebabkan terlalu lama menghadap skrin, antara yang paling serius apabila tabiat itu mula menggugat kemahiran sosial anak-anak dan mengurangkan kepekaan mereka kepada dunia sekeliling.

Mereka juga akan menjadi semakin sensitif dan agresif, mudah mengamuk sekiranya tidak mendapat gajet.

Bahaya Online Game

Online game mungkin nampak tiada bezanya dengan game biasa. Oleh sebab itu, perhatian remaja kepada online game semakin rancak terutamanya sepanjang tempoh lockdown sejak dua tahun yang lalu.

Perasaan ini juga mungkin pernah dirasakan oleh ibu Breck Bednar, remaja UK berusia 14 tahun yang terbunuh akibat online grooming sebelum menyedari perubahan ketara pada sikap anaknya.

Breck Bednar dikatakan mula menunjukkan perubahan sikap akibat terpengaruh dengan Lewis Daynes, seorang online groomer, sejak December 2013 sehingga akhirnya menyebabkan kematian beliau di rumah flat Daynes pada 17 Februari 2014. 

Walaupun ibu Bednar mula menyedari perubahan sikap anaknya beberapa bulan sebelum itu, namun keadaan sudah terlambat dan Bednar akhirnya menjadi mangsa keganasan seksual remaja 19 tahun yang bermasalah disebabkan perceraian ibu bapa.

Contoh lain yang menunjukkan online game lebih bahaya ialah Pokemon Go yang menjadi topik hangat beberapa tahun lalu.

Menurut sebuah jurnal yang berjudul Death by Pokemon Go, Mara Faccio dan John McConnell dari Universiti Purdue, populariti Pokemon Go di Tippecanoe County, Indiana dalam tempoh 148 hari setelah dilancarkan telah meningkatkan jumlah kemalangan hingga 286 kes.

Daripada jumlah itu, 134 kes berlaku berhampiran ‘Pokestop’, iaitu tempat yang menjadi tumpuan pemain-pemain Pokemon Go untuk mengutip item maya seperti Pokemon egg, Poke ball, potion dan sebagainya.

Begitu bahaya risiko online game kerana ia meletakkan keghairahan remaja khususnya yang masih belum cukup matang untuk mengejar tahap maya di lapangan realiti. 

Dunia maya meskipun seakan-akan dunia realiti dari segi luaran dan pandangan seimbas, tetapi hakikat dunia realiti jauh berbeza.

Dunia realiti lebih rencam dan memerlukan sikap hati-hati yang lebih bagi mengelakkan marabahaya yang mungkin datang dari segenap aspek; mungkin dari kesibukan manusia atau pertembungan keinginan dan nafsu serakah yang kadang-kadang mungkin menjadi sadistik.

Cabaran Ibu Bapa

Satu perkara yang perlu kita akui hari ini, tiada cara untuk menghalang anak-anak daripada terlibat dengan online game, sama ada kita sebagai ibu bapa akan menjadi lebih keras dan ‘kejam’ atau anak-anak menjadi lebih degil dan sukar dikawal.

Hakikat ini perlu difahami sebaiknya kerana kedua-dua keadaan itu bukanlah suatu yang baik untuk keharmonian rumah tangga mahupun pengalaman anak-anak. 

Sudah tentu sebagai insan yang sedang belajar mengenali dunia realiti, mereka perlu diberikan pendedahan sama ada dalam dunia maya atau sebenar.

Namun pendedahan itu mestilah dalam ruangan yang tidak mendatangkan bahaya membabitkan kecederaan tidak terkawal atau ancaman nyawa. Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Tidak boleh mencederakan (orang lain) dan tidak boleh saling mencederakan.” (HR Malik, Al-Muwatta’)

Sehubungan itu, sepertimana ibu bapa diwajibkan terbabit dalam proses pendedahan pada dunia fizikal, begitu juga mereka perlu terbabit dalam proses pendedahan kepada dunia maya. 

Dalam dua-dua keadaan, satu perkara yang wajar kita sebagai ibu bapa sentiasa muhasabah, adakah kita mampu berkomunikasi secara telus, terbuka, penuh kepercayaan dan tenang dengan anak-anak?

Ini kerana komunikasi yang baik dan telus itulah yang akan menjamin keselamatan mereka. Sama-sama kita fikirkan.

Dr Amer Hudhaifah Hamzah

Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh

Kluster Masyarakat Progresif

Pertubuhan IKRAM Malaysia

   

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia