Zakat Fitrah: Penyucian Setelah Sebulan Berpuasa

Zakat Fitrah: Penyucian Setelah Sebulan Berpuasa | IKRAM

Zakat secara bahasa bermaksud an-namaa’ (tumbuh), az-ziyadah (bertambah), as-solah (pembaikan), menjernihkan sesuatu dan sesuatu yang dikeluarkan daripada pemilik untuk menyucikan dirinya.

Fitri pula berasal daripada kata iftar, yang bermaksud berbuka (tidak berpuasa). Zakat disandarkan pada kata fitri kerana fitri (tidak berpuasa lagi) adalah sebab dikeluarkannya zakat tersebut.

Terdapat ulama yang mengatakan zakat ini juga dengan sebutan ‘fitrah’, yang bermaksud fitrah atau naluri.

Imam an-Nawawi mengatakan bahawa untuk harta yang dikeluarkan sebagai zakat fitri disebut dengan ‘fitrah’ dan istilah ini digunakan oleh para pakar fiqh.

Sedangkan menurut istilah, zakat fitri (fitrah) bermaksud zakat yang diwajibkan kerana berkaitan dengan waktu iftar (tidak berpuasa lagi) pada bulan Ramadan.

Hikmah disyariatkan zakat fitrah

1. Untuk berkasih sayang dengan orang miskin, iaitu mencukupi mereka agar jangan sampai meminta-minta pada hari Aidilfitri.

2. Memberikan rasa sukacita kepada orang miskin supaya mereka pun dapat merasakan gembira pada hari Aidilfitri.

3. Membersihkan kesalahan orang yang menjalankan puasa akibat kata yang sia-sia dan kata-kata yang kotor yang dilakukan selama berpuasa sebulan.

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ.

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat (Aidilfitri) maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara pelbagai sedekah.” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hukum zakat fitrah

Zakat fitrah adalah sedekah yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim pada hari berbuka (tidak berpuasa lagi) dari bulan Ramadan.

Sebagaimana Ishaq bin Rohuyah menyatakan bahawa wajibnya zakat fitrah seperti ada ijma’ (kesepakatan ulama) tentangnya. Bukti dalil wajibnya zakat fitrah adalah hadis Ibnu Umar ra, beliau berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى ، وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

”Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam mewajibkan zakat fitrah dengan satu sho’ kurma atau satu sho’ gandum bagi setiap Muslim yang merdeka mahupun budak, lelaki atau perempuan, anak kecil juga dewasa. Zakat tersebut diperintahkan dikeluarkan sebelum umat Islam keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri.”

Perlu diperhatikan bahawa soghir (anak kecil) dalam hadis ini tidak termasuk di dalamnya janin, kerana ada sebahagian ulama seperti Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa janin juga wajib dikeluarkan zakatnya. Hal ini kurang tepat kerana janin tidaklah disebut soghir dalam bahasa Arab juga secara ‘urf (kebiasaan yang ada).

Yang berkewajiban membayar zakat fitrah

Zakat fitrah ini wajib ditunaikan oleh:

1. Setiap Muslim kerana untuk menutupi kekurangan puasa yang diisi dengan perkara sia-sia dan kata-kata kotor.

2. Yang mampu mengeluarkan zakat fitrah.

Menurut majoriti ulama, batasan mampu di sini adalah mempunyai kelebihan makanan bagi dirinya dan yang diberi nafkah pada malam dan siang hari Aidilfitri. Jadi apabila keadaan seseorang seperti ini bermaksud ia dikatakan mampu dan wajib mengeluarkan zakat fitrah. Orang seperti ini yang disebut ghaniy (berkecukupan) sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ سَأَلَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنَ النَّارِ » فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا يُغْنِيهِ قَالَ « أَنْ يَكُونَ لَهُ شِبَعُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ أَوْ لَيْلَةٍ وَيَوْمٍ

“Barangsiapa meminta-minta, padahal ia memiliki sesuatu yang mencukupinya, maka sesungguhnya ia telah mengumpulkan bara api.” Mereka berkata, ”Wahai Rasulullah, bagaimana ukuran mencukupi tersebut?” Rasulullah SAW bersabda, ”Seukuran makanan yang mengenyangkan untuk sehari semalam.”

Daripada syarat di atas menunjukkan bahawa ketua keluarga wajib membayar zakat fitrah terhadap orang yang ia tanggung nafkahnya. Menurut Imam Malik, ulama Syafi’ie dan majoriti ulama, suami bertanggungjawab terhadap zakat fitrah isteri kerana isteri menjadi tanggungan nafkah suami.

Bilakah seseorang berkewajipan membayar zakat fitrah?

Seseorang itu berkewajipan membayar zakat fitrah jika terbenamnya matahari pada malam hari raya Aidilfitri. Jika ia mendapati waktu tersebut, maka wajib baginya membayar zakat fitrah. Inilah yang menjadi pendapat Imam Syafii.

Alasannya, kerana zakat fitrah berkaitan dengan hari fitrah (Aidilfitri), hari tidak lagi berpuasa. Oleh kerana itu, zakat ini dinamakan demikian (disandarkan pada kata fitrah) sehingga hukumnya juga disandarkan pada waktu tersebut.

Sebagai contoh apabila seseorang meninggal satu minit sebelum terbenamnya matahari pada malam hari raya, maka ia tidak punya kewajipan dikeluarkan zakat fitrah untuknya. Namun, jika ia meninggal satu minit setelah terbenamnya matahari maka wajib baginya untuk mengeluarkan zakat fitrah.

Begitu juga apabila ada bayi yang lahir setelah tenggelamnya matahari maka tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya, tetapi dianjurkan sebagaimana terdapat perbuatan daripada Utsman bin ‘Affan yang mengeluarkan zakat fitrah untuk janin. Namun, jika bayi itu lahir sebelum matahari terbenam, maka zakat fitrah wajib dikeluarkan untuknya.

Bentuk zakat fitrah

Bentuk zakat fitrah adalah berupa makanan utama seperti kurma, gandum, beras, kismis, keju dan seumpamanya. Inilah pendapat yang benar sebagaimana dipilih oleh ulama Maliki, Syafii, dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa. Namun, ulama Hanbali membataskan zakat fitrah hanya pada dalil (iaitu kurma dan gandum). Pendapat yang lebih tepat adalah pendapat pertama, tidak dibataskan hanya pada dalil.

Perlu diketahui bahawa Nabi SAW mewajibkan zakat fitrah dengan satu sho’ kurma atau gandum kerana ini adalah makanan utama penduduk Madinah. Seandainya itu bukan makanan utama mereka tetapi mereka mengambil makanan utama lainnya, tentu baginda SAW tidak akan membebani mereka mengeluarkan zakat fitrah yang bukan makanan yang biasa mereka makan. Sebagaimana juga dalam membayar kafarah yang diperintahkan seperti ini. Allah SWT berfirman:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ

“Maka kafarah (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu.” (Al-Maidah: 89)

Zakat fitrah adalah merupakan bahagian daripada kafarah kerana antara tujuan zakat ini adalah untuk menutup kesalahan kerana berkata kotor dan sia-sia.

Ukuran zakat fitrah

Para ulama sepakat bahawa kadar wajib zakat fitrah adalah satu sho’ dari semua bentuk zakat fitrah kecuali untuk qamh (gandum) dan zabib (kismis) sebahagian ulama membolehkan dengan setengah sho’.

Dalil daripada perkara ini adalah hadis Ibnu Umar yang telah disebutkan bahawa zakat fitrah itu seukuran dengan satu sho’ kurma atau gandum. Dalil lainnya adalah daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau mengatakan:

كُنَّا نُعْطِيهَا فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ ، أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ ، أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ

“Dahulu di zaman Nabi SAW kami menunaikan zakat fitrah berupa 1 sho’ bahan makanan, 1 sho’ kurma, 1 sho’ gandum atau 1 sho’ kismis.”

Dalam riwayat lain disebutkan:

أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ

“Atau 1 sho’ keju.”

Satu sho’ adalah ukuran takaran yang ada pada masa Nabi SAW. Para ulama berselisih pendapat bagaimanakah ukuran takaran ini. Lalu mereka berselisih pendapat lagi bagaimanakah ukuran timbangannya. Satu sho’ daripada semua jenis ini adalah seukuran empat cakupan penuh telapak tangan yang sedang.

Ukuran satu sho’ jika diperkirakan dengan ukuran timbangan adalah sekitar 3 kg. Ulama lainnya mengatakan bahawa satu sho’ kira-kira 2.157 kg. Maksudnya jika zakat fitrah dikeluarkan 2.5 kg, sudah dianggap sah.

Penerima zakat fitrah

Para ulama berselisih pendapat mengenai siapakah yang berhak diberikan zakat fitrah. Majoriti ulama berpendapat bahawa zakat fitrah disalurkan pada lapan golongan.

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus zakat, para mu’allaf yang lembut hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 60)

Waktu pengeluaran zakat fitrah

Perlu diketahui bahawa waktu pembayaran zakat fitrah ada dua macam:

1. Waktu afdal iaitu mula daripada terbit fajar pada hari Aidilfitri hingga dekat waktu pelaksanaan solat Aidilfitri.

2. Waktu yang dibolehkan iaitu satu atau dua hari sebelum Aidilfitri sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Ibnu Umar.

Yang menunjukkan waktu afdal adalah hadis Ibnu ‘Abbas RA, ia berkata:

مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

“Barangsiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum solat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara pelbagai sedekah.”

Sedangkan dalil yang menunjukkan waktu dibolehkan iaitu satu atau dua hari sebelum adalah disebutkan dalam Sahih al-Bukhari:

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ – رضى الله عنهما – يُعْطِيهَا الَّذِينَ يَقْبَلُونَهَا ، وَكَانُوا يُعْطُونَ قَبْلَ الْفِطْرِ بِيَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ

“Dan Ibnu ‘Umar RA memberikan zakat fitrah kepada orang-orang yang berhak menerimanya dan beliau mengeluarkan zakatnya itu sehari atau dua hari sebelum hari raya Aidilfitri.”

Sebahagian ulama berpendapat bahawa zakat fitrah boleh ditunaikan sejak awal Ramadan. Ada pula yang berpendapat boleh ditunaikan satu atau dua tahun sebelumnya. Namun pendapat yang lebih tepat dalam masalah ini, ialah kerana zakat fitrah berkaitan dengan waktu fitrah (Aidilfitri), maka tidak sewajarnya diserahkan jauh hari sebelum hari fitrah.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa zakat fitrah ditunaikan untuk memenuhi keperluan orang miskin agar mereka boleh bersuka ria pada hari Aidilfitri. Jika ingin ditunaikan lebih awal, maka sebaiknya ditunaikan dua atau tiga hari sebelum hari Aidilfitri.

Ibnu Qudamah al-Maqdisi mengatakan:

“Seandainya zakat fitrah telah dikeluarkan lama sebelum Aidilfitri, maka tentu saja hal ini tidak mencapai maksud disyariatkannya zakat fitrah iaitu untuk memenuhi keperluan orang miskin di hari Aidilfitri. Ingatlah bahawa sebab diwajibkannya zakat fitrah adalah hari fitrah iaitu Aidilfitri itu sendiri, hari tidak lagi berpuasa. Sehingga zakat ini pun disebut zakat fitrah. Kerana maksud zakat fitrah adalah untuk mencukupi orang miskin pada waktu yang khusus (iaitu hari Aidilfitri), maka tidak boleh didahulukan jauh hari sebelum waktunya.”

Rujukan:

  1. Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah, 2/8278.
  2. Al-Majmu’, 6/103.
  3. Mughnil Muhtaj, 1/592.
  4. Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah, 2/8278 dan Minhajul Muslim, 230.
  5. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/58.
  6. Sifat Shaum Nabi, 102.
  7. Sahih Fiqh Sunnah, 2/80-81.
  8. Majmu’ Fatawa Ibnu Baz, 14/208-211
  9. Zaadul Ma’ad, 2/17.
  10. Lihat Minhajul Muslim, 231.
  11. Pendapat pelbagai ulama dalam Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah, 2/8284 dan Al-Mughni, 5/494.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia