Sejak kecil, ramai lelaki dibesarkan dengan pesanan yang sama: “Jadi kuat, lelaki tidak boleh menangis.” Pesanan ini diulang di rumah, di sekolah dan di tempat kerja. Lama-kelamaan ia menjadi peraturan tidak bertulis bahawa lelaki harus sentiasa tenang, sentiasa mampu dan tidak pernah meminta tolong.
Bersempena dengan Bulan Keluarga ini, kita ingin mengajak pembaca berfikir semula tentang peraturan tersebut. Setiap lelaki sedang belajar menjadi hero untuk keluarganya, termasuk belajar hadir, bertanggungjawab dan mengakui apabila diri sendiri sedang dan keadaan yang tidak baik.
Lelaki juga perlu ‘gua’ untuk bermuhasabah
Dalam buku ‘Men Are From Mars, Women Are From Venus,’ John Gray menggambarkan lelaki yang tertekan sebagai individu yang cenderung menarik diri ke dalam “gua” untuk menyelesaikan masalah sendirian dan senyap.
Gray juga menyebut bahawa lelaki sering memerlukan ruang untuk berdikari, lalu kembali mendekati orang lain apabila sudah bersedia. Pola ini digambarkannya seperti gelung getah, lelaki menjauh seketika, kemudian kembali mendekat.
Pola ini bukanlah satu kelemahan. Menyendiri untuk berfikir dan menenangkan diri adalah perkara yang sihat. Masalahnya timbul apabila “gua” itu bertukar menjadi penjara emosi, iaitu tempat lelaki memendam perasaan sehingga terasing daripada keluarga dan rakan.
Dalam Islam, tradisi uzlah dan khalwat dalam bentuk yang positif mengajak kita menyendiri untuk bermuhasabah, berzikir dan bertafakur. Namun bersendirian yang sihat ini sepatutnya membawa seseorang kembali kepada keluarga dengan jiwa yang lebih tenang, bukan jauh dan memakan diri sendiri.
Gelung getah yang terlalu lama meregang boleh putus. Apabila lelaki terus menjauhkan diri daripada sistem sokongannya kerana kemurungan yang tidak dirawat, akibatnya bukan sahaja dirasai olehnya, tetapi juga oleh keluarga.
Takut dianggap gagal
Gray menyatakan bahawa lelaki didorong oleh keperluan untuk berasa cekap, berguna dan dipercayai untuk menyelesaikan masalah.
Dalam masyarakat, peranan ini sering digambarkan sebagai pemberi penyelesaian, iaitu orang yang sentiasa diharap memberi jalan keluar. Apabila lelaki sendiri berhadapan masalah, mereka takut kehilangan status ini dan merasakan meminta bantuan sebagai tanda gagal.
Ketakutan inilah yang menghalang ramai lelaki daripada berjumpa kaunselor, meluah kepada rakan atau bertanya khabar kepada ahli keluarga.
Stigma ini sering disalah faham sebagai sebahagian daripada konsep qawwam, iaitu tanggungjawab lelaki sebagai pelindung dan penyara keluarga (an-Nisa’ 4: 34), padahal qawwam tidak bermakna lelaki wajib memikul segalanya seorang diri. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Baqarah (286):
“Allah tidak membebani seseorang kecuali menurut kesanggupannya.”
Beban yang dipikul dengan dada yang sesak dan tanpa sokongan boleh membawa kepada kepenatan, kemarahan dan akhirnya menjejaskan keluarga yang ingin dilindungi.
Dalam sirah, Rasulullah SAW sendiri seorang insan yang penuh emosi. Ketika putera baginda, Ibrahim, meninggal dunia, Nabi SAW menangis. Baginda bersabda bahawa mata menangis dan hati berdukacita, tetapi baginda tidak mengucapkan apa yang mendukakan Tuhan (riwayat al-Bukhari).
Ketika wahyu pertama turun dan baginda pulang dalam keadaan menggigil, baginda menceritakan pengalaman itu kepada isterinya, Khadijah r.a., yang menenangkan baginda dan mengingatkan akhlak mulia baginda. Baginda bersandar kepada orang yang dipercayai.
Mengakui takut, sedih atau letih bukan tanda lemah iman. Ia adalah tanda kejujuran fitrah.
Meminta sokongan itu ikhtiar
Dalam Islam, berusaha dan berikhtiar adalah sebahagian daripada tawakal. Apabila badan sakit, kita mendapatkan rawatan. Begitu juga, hati dan fikiran yang tertekan wajar mendapat perhatian.
Meminta nasihat daripada orang yang soleh lagi amanah, berbincang dengan pasangan, mendapatkan khidmat kaunselor atau bertemu pakar psikologi bukanlah tanda menjauhi Allah. Itu adalah cara yang diizinkan untuk memelihara diri.
Rasulullah SAW bersabda bahawa sebaik-baik kamu ialah yang terbaik kepada keluarganya (riwayat at-Tirmizi). Kebaikan kepada keluarga bermula daripada diri yang sihat, tenang dan jujur dengan perasaannya.
Cara lelaki meminta sokongan tanpa rasa kekok
Gray menjelaskan bahawa lelaki sering berkomunikasi secara fakta dan penyelesaian, dan jarang menyebut secara terus “saya sedang sedih dan perlukan sokongan.” Cara meminta bantuan perlu disesuaikan dengan gaya lelaki tanpa mengurangkan maknanya.
- Meluah sambil melakukan aktiviti bersama. Berjalan kaki, bersukan atau memandu bersama rakan baik sering lebih selesa berbanding duduk berhadapan dalam sesi formal.
- Mulakan dengan fakta, kemudian perasaan. Contohnya: “Kerja memang banyak minggu ni, dan saya rasa penat sangat. Boleh kita bincang sekejap?”
- Pilih seorang yang dipercayai. Tidak perlu meluah kepada semua orang. Satu orang yang jujur sudah cukup untuk membuka pintu.
- Tahu bila perlu bantuan profesional. Jika sukar tidur, hilang minat atau sering marah berlebihan selama beberapa minggu, dapatkan bantuan lebih awal.
Justeru, tanggungjawab ini bukan hanya di bahu lelaki. Isteri, ibu dan anak perempuan boleh membantu dengan memberi ruang tanpa menghakimi, tidak cepat memberi penyelesaian sebelum lelaki selesai bercerita, dan tidak mengejek apabila lelaki mengaku letih.
Masjid, surau dan institusi pendidikan juga boleh menormalkan perbincangan tentang kesihatan emosi dalam khutbah, kuliah dan program keluarga.
Setiap lelaki sedang belajar menjadi hero keluarganya. Hero yang sebenar bukan lelaki yang tidak pernah jatuh, tetapi lelaki yang berani bangun, berani mengaku dan berani membiarkan orang yang disayangi membantunya. Hero juga perlu tempat bersandar, dan tempat bersandar itu boleh bermula di rumah.
Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman (SRFP)
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam




