Lailatulqadar: Mitos dan khurafat

Dalam hadis sahih, ada menerangkan bahawa tanda-tanda lailatulqadar adalah malamnya terasa nyaman, tidak panas dan tidak sejuk serta bulan sabit yang terbit pada malam tersebut seperti potongan bekas simpanan air. Pada paginya pula, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau dan tidak terik.

 

Tetapi, tanda-tanda ini datang beserta tanda-tanda versi lain yang cukup menghairankan. Tanda-tanda ini tidak banyak bezanya dalam cerita kartun. Tanda-tanda itu seperti air menjadi beku, air laut menjadi tawar, pokok-pokok bersujud, anjing tidak menyalak dan macam-macam lagi.

 

Tanda-tanda lailatulqadar versi kartun ini dikembangkan lagi oleh para ustaz dan penceramah-penceramah yang menyebarkannya dalam ceramah dan tazkirah Ramadan dengan disulami ayat-ayat al-Quran dan hadis. Maka, mentaliti umat Islam Malaysia yang menyatakan bahawa ustaz tidak pernah salah menerima bulat-bulat perkara ini.

 

Tidak cukup setakat itu, budaya malam tujuh likur Ramadan menambahkan lagi kekusutan dan kecelaruan beragama umat Islam di Malaysia.

 

Dikatakan pelita atau panjut yang dipasang menjelang akhir Ramadan adalah sebagai keberkatan lailatulqadar. Mereka mempercayai malaikat yang turun ke bumi tidak nampak jalan disebabkan gelap, maka umat Islam membantu dengan memasang lampu bagi menerangi jalan atau sekeliling rumah.

 

Seiring arus kemodenan, lampu pelita atau panjut ditukar dengan lampu LED yang berkelip-kelip dan berwarna-warni. Riwayat yang lain pula, mempercayai malaikat akan mencari rumah mana yang paling terang untuk dilawati dan diberkati.

 

Perkara ini tidak banyak bezanya dengan apa yang dilakukan oleh orang yang beragama Kristian. Pada malam Krismas, orang Kristian menerangi rumah dan pokok-pokok Krismas dengan lampu-lampu bagi menyambut ketibaan Santa Claus yang datang membawa hadiah dan memberkati rumah mereka.

 

Justeru, mitos dan khurafat yang tersebar dalam kalangan umat Islam tentang lailatulqadar ini menjadikan umat Islam yang lemah ilmu agama dan imannya, menganggap seakan-akan lailatulqadar hanya sebuah kisah dongengan menjelang hari raya.

 

Ini yang menjadikan punca mengapa ramai umat Islam tidak bersungguh-sungguh menghidupkan malam terakhir Ramadan disebabkan menganggap ia tidak lebih hanya sekadar dongengan yang menceriakan suasana hari raya.

 

Lain pula halnya bagi umat Islam yang mempercayai tanda-tanda ini.

 

Mereka lebih suka untuk menanti tanda-tanda khurafat daripada melakukan ibadah bersungguh-sungguh seperti menunggu di tepi tasik untuk melihat sekiranya air tasik berubah menjadi beku atau memerhatikan pokok-pokok di halaman rumah yang ‘mungkin’ bersujud pada malam lailatulqadar.

 

Inilah antara cerita-cerita yang diturunkan dari generasi ke generasi. Masyarakat dimomokkan dengan perkara-perkara tahyul walaupun sedang menjalani ibadah puasa.

 

Ibadah Ramadan tercemar dengan masyarakat yang masih belum murni akidahnya lantaran tidak mendalami ilmu dan membersihkan akidah sebelum melangkah ke bulan Ramadan.

 

Akibatnya, umat Islam lebih disibukkan dengan mencari dan menunggu tanda-tanda ganjil daripada menyibukkan diri beribadah pada malam hari.

 

Kerana Tuhan atau lailatulqadar?

 

Sekiranya tahun ini Allah SWT telah menentukan lailatulqadar tiada, adakah kita akan terus tekun dan istiqamah beribadah? Adakah penghujung Ramadan kita akan tetap terisi dengan amal-amal ibadah walaupun lailatulqadar tiada?

 

Maka, kita berbalik semula kepada perkara paling asas seseorang Muslim apabila melakukan amal ibadah: Segalanya kita lakukan hanya kerana Allah!

 

Walaupun lailatulqadar tiada, kita tetap dengan ibadah kita tanpa kurang sedikit pun. Kerana kita tahu, kita beribadah untuk Allah, untuk mendapat reda-Nya. Kita meyakini Allah SWT itu wujud!

 

Maka, marilah kita mengambil peluang dengan masa yang berbaki ini untuk terus menggandakan amal ibadah kepada Allah SWT.

 

Penghujung Ramadan merupakan peluang terakhir kita melakukan pecutan melakukan ibadah dengan tekun. Pada waktu ini, kita sudah memasuki gear terakhir untuk lebih laju dan memperbanyakkan ibadah sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan.

 

Semakin sampai ke penghujung Ramadan, ganjaran dan fadilatnya semakin besar. Tetapi jangan dilupa, godaan dan cabarannya juga semakin kuat menarik kita untuk tersungkur di penghujung Ramadan.

 

Hanya kepada Allah sahajalah kita menyembah dan hanya kepada Dia jugalah kita memohon pertolongan!

 

Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM Muda Sabah

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia