Pada pertengahan bulan Mac 2023, Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank di Amerika Syarikat telah gagal dan terpaksa memberhentikan operasi. Ia merupakan kegagalan syarikat perbankan yang kedua dan ketiga terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan rakyat Amerika bahawa simpanan wang mereka di dalam bank akan lenyap jika lebih banyak bank di Amerika menghadapi masalah yang sama.
Jika semua pendeposit dalam sistem bank Amerika membuat keputusan untuk mengeluarkan semua deposit mereka, terutama dalam bentuk kertas, sistem perbankan Amerika pasti akan menjadi kacau-bilau.
Ini kerana, sebenarnya wang kertas hanya merupakan kurang dari lima peratus daripada jumlah wang yang ada dalam sistem kewangan.
Yang selebihnya tidak wujud secara fizikal kerana ia dicipta melalui proses memberi hutang oleh industri perbankan dan hanya merupakan catatan elektronik dalam komputer.
Keadaan ini telah memaksa Joe Biden, Presiden Amerika sendiri membuat pengumuman di kaca TV pada 13 Mac 2023 untuk menyatakan bahawa simpanan pendeposit rakyat Amerika dalam semua bank adalah selamat.
Kerajaan Amerika bernasib baik rakyat Amerika mempercayai kata-kata beliau.
Hakikat sebenar ialah jika semua pendeposit telah tidak mempercayai beliau dan masih mahu mengeluarkan semua deposit mereka, seluruh sistem perbankan di Amerika akan runtuh dan ekonomi Amerika dan juga dunia akan mengalami krisis.
Faktor Krisis SVB
Sebenarnya, punca kepada krisis ini adalah tindak-tanduk industri perbankan Amerika sendiri, termasuk bank pusat Amerika (Federal Reserves) kerana banyak memberi pinjaman kepada pelanggan semasa dan susulan daripada berakhirnya pandemik Covid-19.
Pada masa itu, kadar bunga adalah rendah akibat daripada usaha Federal Reserves untuk merangsangkan ekonomi. Banyak pihak meningkatkan hutang untuk tujuan berbelanja dan melabur.
Sementara itu, pihak yang memiliki dana yang banyak telah melaburkan dana mereka dalam sektor teknologi tinggi, terutama sekali syarikat permulaan (juga dipanggil `start-ups’).
Dana yang diterima oleh syarikat-syarikat ini disimpan dalam bank seperti SVB yang banyak memberi fokus perkhidmatan mereka kepada sektor teknologi tinggi dan syarikat permulaan.
Walau bagaimanapun, peningkatan besar dalam jumlah deposit di SVB menimbulkan masalah kepada SVB kerana dana ini tidak semua dapat disalurkan sebagai hutang kepada peminjam untuk menjana keuntungan kepada pihak SVB.
Sementara itu, bagi dana yang disimpan dalam bentuk deposit tetap, SVB terpaksa membayar bunga kepada pendeposit.
Labur Dana ke Bon Kerajaan
Oleh itu, SVB telah membuat keputusan untuk melaburkan dana itu ke dalam bon kerajaan Amerika iaitu satu bentuk instrumen kewangan atau hutang jangka panjang untuk mendapatkan pulangan bunga pada kadar tetap walaupun rendah.
Sementara itu, pakej rangsangan ekonomi telah menghasilkan keadaan inflasi dan ini membimbangkan pihak Federal Reserves. Untuk meredakan masalah ini, Federal Reserves telah menaikkan kadar bunga supaya aktiviti ekonomi akan menjadi perlahan.
Namun, satu kesan langkah ini ialah peningkatan naik deposit berbentuk simpanan tetap dalam bank termasuk SVB, kerana tertarik dengan pulangan bunga yang tinggi sekali gus meningkatkan jumlah tanggungan SVB.
Pada masa yang sama, ramai pihak telah menjual bon kerajaan Amerika untuk untuk melabur dalam sektor di mana kadar bunga adalah lebih tinggi.
Kejatuhan nilai bon menghasilkan masalah kepada SVB kerana jumlah nilai asetnya menjadi lebih rendah berbanding tanggungan. Secara teknikal, SVB menghampiri keadaan muflis.
Oleh itu, SVB membuat keputusan untuk juga menjual bon kerajaan Amerika yang dimilikinya walaupun pada harga yang rendah dan mengalami kerugian.
SVB mengharapkan hasil daripada jualan bon tersebut boleh dilaburkan ke dalam aset yang memberi pulangan kadar bunga yang lebih tinggi.
Malangya, berita berkenaan tindakan SVB telah menjejaskan keyakinan pendeposit dalam SVB. Akibatnya, hampir kesemua daripada mereka telah membuat keputusan untuk mengeluarkan deposit mereka daripada SVB atau memindahkan ke akaun di bank lain secara dalam talian.
Oleh kerana kebanyakan dana deposit mereka itu telah dilaburkan oleh SVB sebelum itu untuk membeli bon kerajaan, SVB gagal memenuhi semua permintaan pendeposit, sekali gus terpaksa diambil alih oleh pihak berkuasa kewangan Amerika.
Untuk meredakan keadaan dan menaikkan kembali keyakinan rakyat Amerika kepada sistem perbankannya, pihak berkuasa kewangan Amerika telah memulangkan semua pendeposit SVB jumlah dijamin iaitu USD250,000 bagi setiap akaun.
Ini bukan masalah kepada bank pusat Amerika kerana wang sekarang adalah bukan berbentuk fizikal dan boleh dicipta dengan senang oleh bank pusat Amerika iaitu hanya dengan menambahkan beberapa angka kepada akaunnya di komputer.
Namun, tindakan ini boleh mengakibatkan masalah inflasi menjadi lebih teruk pada masa akan datang.
Sistem Riba Bermasalah
Pengajaran utama daripada apa yang telah berlaku ialah sistem kewangan yang berasaskan kepada industri hutang atau perbankan adalah sangat tidak stabil.
Salah satu puncanya ialah kerana wang dan aset kewangan adalah tidak dalam bentuk fizikal tetapi dalam bentuk rekod digital sahaja, yang dicipta apabila sesebuah bank memberi pinjaman kepada pelanggan.
Apabila wang banyak dicipta, masalah inflasi dan kos sara hidup akan berlaku yang akan menzalimi ramai pihak terutama yang berpendapatan rendah.
Namun, langkah menyelesaikan masalah inflasi dengan menaikkan kadar bunga boleh mengakibatkan kegagalan bank yang banyak melabur dalam bon kerajaan seperti SVB.
Pendek kata, dalam sistem riba yang mana ‘interest’ atau bunga dibenarkan sebagai pulangan kepada aset hutang dan aset hutang boleh dijual beli, banyak masalah yang tidak dijangkakan boleh timbul.
Sebagai rumusan, sistem kewangan yang berasaskan riba dan industri hutang adalah secara tabii bermasalah. Ia akan mengakibatkan ramai pihak menghadapi kesengsaraan dalam kehidupan mereka, terutama sekali mereka yang daripada golongan berpendapatan rendah.
Sebenarnya ia adalah sesuatu yang tidak menghairankan kepada mereka yang mengetahui akan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 276:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.”
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya
Pakar Perunding Kluster Kemakmuran Ekonomi, Pertubuhan IKRAM Malaysia