Dalam kalangan ahli politik pembangkang, fokus utama adalah beberapa peruntukan yang mencurigakan seperti RM85 juta untuk JASA, iaitu satu unit propaganda kerajaan yang telah dihapuskan semasa kerajaan PH memerintah.
Di samping itu, kritikan ditujukan kepada pemotongan peruntukan dalam sektor tertentu seperti perubatan, walaupun ini dinafikan oleh Menteri Kewangan sendiri dengan penerangan yang terperinci.
Jika cadangan-cadangan balas pihak pembangkang supaya kerajaan menambahkan lagi beberapa peruntukan, kemungkinan besar saiz belanjawan negara akan bertambah daripada RM322.5 bilion yang diperuntukkan sekarang.
Jika pendapatan negara pada tahun hadapan tidak setinggi yang diramalkan oleh kerajaan, kemungkinan besar defisit belanjawan akan melebihi RM84.84 bilion dan peratusan berbanding GDP (KDNK) juga mungkin akan melebihi 5.4 peratus.
Di pihak rakyat, ramai yang akan bergembira dengan pelbagai bantuan yang diperuntukkan, seperti bantuan minuman susu setiap hari kepada pelajar sekolah, komputer percuma kepada 150,000 pelajar, serta bantuan kewangan kepada golongan yang terkesan teruk akibat COVID-19. Senarai bantuan-bantuan adalah sangat panjang dan semua adalah amat baik dan perlu disokong.
Namun, satu perkara yang perlu disedari ialah tahun ini adalah kali ke-22 berturut-turut kerajaan membentang belanjawan yang defisit. Yakni sudah 22 tahun semenjak tahun 1998 kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatan yang diperolehi dan oleh itu, memaksa kerajaan untuk berhutang lagi.
Akibatnya, jumlah terkumpul hutang kerajaan terus bertambah. Seolah-olah kerajaan langsung tidak mempunyai niat atau rancangan untuk melangsaikan hutang tersebut.
Pada tahun 1970, hutang kerajaan adalah lebih kurang RM5 bilion sahaja. Sekarang ini jumlahnya telah melebihi RM874 bilion atau 60.7 peratus berbanding KDNK.
Jika hutang badan-badan yang berkait dengan kerajaan seperti PTPTN, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam juga diambil kira, jumlahnya adalah lebih dari RM1.2 trilion atau 85.5 peratus berbanding KDNK.
Kerajaan persekutuan terpaksa berbelanja hampir RM34.0 bilion hanya untuk membayar bunga di atas hutang kerajaan pada tahun ini akibat dari hutang yang banyak ini.
Pakar ekonomi, Profesor Kenneth Rogoff dan Professor Carmen Reinhart daripada Universiti Harvard mengatakan bahawa kajian mereka menunjukkan jika hutang kerajaan meningkat ke paras 90 peratus berbanding KDNK, kesannya ialah ekonomi akan sukar untuk berkembang.
Oleh kerana paras hutang kerajaan kita sudah menghampiri paras tersebut, kita juga harus bimbang jika pada masa akan datang, ekonomi negara kita juga akan sukar berkembang. Tambahan pula paras hutang di sektor lain juga sangat tinggi. Hutang sektor korporat dan juga sektor isi rumah adalah kedua-duannya melebihi RM1 trilion.
Dalam keadaan keberhutangan yang sangat tinggi ini, daya tahan ekonomi negara (economic resiliency) akan menurun. Akibatnya sebarang kejutan ekonomi (economic shock) seperti COVID-19 dan yang seumpamanya akan senang menghasilkan krisis ekonomi atau krisis kewangan kerana banyak organisasi dan ramai individu akan mengalami masalah kewangan yang teruk.
Sekarang ini, ramai dari kalangan rakyat dalam keadaan keberhutangan yang tinggi dan terpaksa bergantung kepada kerajaan untuk bantuan. Tetapi oleh kerana kerajaan kita juga dalam keadaan keberhutangan yang tinggi, ini bermakna kita sekarang berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan.
Lambat laun satu krisis ekonomi yang lebih teruk akan berlaku, terutama sekali jika badai COVID-19 yang ketiga atau keempat melanda negara kita lagi atau bencana lain timbul. Jelas bahawa keadaan yang wujud sekarang adalah sebenarnya getir dan perlu diubah supaya masa depan negara adalah lebih stabil dan kukuh.
Kita perlu sedar bahawa di bawah sistem yang wujud sekarang ialah matawang baru sentiasa dicipta oleh sektor perbankan setiap kali hutang diberikan kepada pelanggan. Akibatnya nilai matawang menjadi lebih rendah dan oleh kerana itulah rakyat merasakan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk membiayai kehidupan mereka.
Inilah apa yang dikatakan sebagai masalah kos sara hidup. Jika kerajaan terpaksa melaksanakan kembali sistem percukaian GST untuk membiayai hutangnya, sudah tentu rakyat akan lebih tertekan.
Keadaan sekarang sebenarnya hanya menguntungkan satu golongan kecil masyarakat sahaja iaitu golongan kaya, terutama sekali yang memiliki saham dalam sektor perbankan atau mempunyai simpanan yang banyak di dalam bank atau tabung kewangan seperti EPF (KWSP) dan tabung lain. Mereka ini lah yang akan untung kerana merekalah yang membekalkan hutang kepada ekonomi kita.
Golongan lain dalam masyarakat, termasuk M40 dan sudah tentu dari kalangan B40 akan terus sengsara jika keadaan ini berterusan. Jika kerajaan cuba untuk mengurangkan perbelanjaan pada masa akan datang atau melaksanakan GST, atau menaikkan kadar cukai, rakyat biasa dari kalangan B40 dan M40 yang akan paling sengsara dan akan menjadi marah.
Di beberapa negara lain, ia telah pun berlaku di mana rakyat merusuh apabila kerajaan cuba untuk mengurangkan perbelanjaan demi menyelesaikan masalah kewangannya atau menaikkan kadar cukai.
Oleh kerana itulah kebanyakan pemimpin politik akan mengambil jalan senang iaitu dengan berbelanja dengan lebih banyak dengan menggunakan dana hutang, demi memastikan mereka akan kekal popular di mata masyarakat. Tetapi sebenarnya ini hanya penyelesaian jangka pendek dan akan hanya merumitkan masalah dalam jangka panjang.
Sebenarnya ini adalah bencana akibat kita sudah puluhan tahun beramal dengan sistem riba di mana industri hutang menjadi paksi kepada sistem ekonomi kita. Sesuatu yang diharamkan dan dibenci oleh Allah mustahil akan dapat menjamin kesejahteraan kepada masyarakat.
Kita mesti ingat balik kepada pesanan Allah SWT:
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah asy-Syura: 30)
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum: 41)
Sudah sampai masa kita merubah sistem yang sedia ada supaya kebergantungan kerajaan dan rakyat kepada industri hutang dapat dikurangkan. Sebaliknya kita perlu bangunkan institusi Islam seperti zakat dan wakaf supaya institusi riba dapat dihapuskan terus satu hari nanti, demi untuk menjamin kesejahteraan masyarakat terutama dari kalangan generasi yang akan datang.
Tetapi perubahan ini mustahil akan dapat dilakukan tanpa berlaku juga perubahan nilai dalam kalangan masyarakat dan pemimpin negara supaya sikap kebendaan dan terlalu mengejar keduniaan digantikan dengan nilai Islam yang sebenar di mana ahli masyarakat suka hidup dengan cara bersederhana serta berlumba-lumba untuk saling bantu membantu dengan berderma dan menginfakkan harta mereka.
Kalau hutang diberikan kepada golongan yang susah, ia adalah juga untuk tujuan membantu dan bukan untuk mendapat keuntungan.
Usaha dakwah dan tarbiah yang lebih gigih perlu dilakukan oleh semua pihak, terutama sekali NGO dakwah. Semoga dengan itu Allah akan membantu kita supaya balik ke pangkal jalan supaya kita dan juga generasi akan datang akan selamat di dunia dan juga di akhirat.
Prof Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya