Integriti merupakan nilai yang sangat penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang sejahtera dan bermoral. Ia melambangkan ketulusan, kejujuran dan keikhlasan seseorang dalam melakukan sesuatu perkara.
Individu yang mempunyai integriti akan sentiasa berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai murni dalam setiap tindakannya, tanpa mengira situasi atau keadaan yang dihadapi.
Bukan seperti ketika dirinya tidak punya kuasa, lantang berkata itu ini tentang yang benar tetapi apabila sampai ketika telah punya kuasa, dirinya seakan-akan terpicing mata dan terbisu mulut untuk menyatakan sebagaimana yang dicanang sebelumnya bagi memikul sesuatu tanggungjawab itu.
Apakah integriti itu?
Integriti ditakrifkan sebagai prinsip moral yang kukuh dan bersikap jujur serta benar dalam semua keadaan. Dalam erti kata lain, mereka yang berintegriti ialah orang yang amanah dan boleh dipercayai. Integriti adalah nilai yang sangat penting dimiliki dalam kehidupan seseorang kerana ia membantu individu itu menjadi orang yang baik.
Apabila seseorang itu mempunyai integriti, tentunya untuk membuat keputusan, dia sentiasa bersikap rasional dalam apa jua keadaan, bertindak dengan sikap yang sewajarnya, melayan orang lain dengan hormat serta paling utama ialah tidak menyalahi etika yang telah ditetapkan.
Tanpa integriti, seseorang itu boleh menjadi tidak jujur atau licik ke arah melakukan sesuatu yang tidak wajar apalagi menindas sesuatu pihak mahupun kakitangan di bawahnya. Barangkali lebih mudah untuk orang lain mengambil kesempatan daripada orang yang tidak berintegriti.
Sebagai contoh, apabila berlaku ketidakjujuran dalam urusan kerja, tentunya kakitangan akan sering ditindas hingga berlakunya konflik yang lain antara mereka dengan majikannya. Yang pasti, jika seseorang itu ingin menjalani kehidupan yang mulia dengan integriti, terdapat banyak perkara boleh dilakukan.
Kepentingan nilai integriti
Integriti sangat penting, antaranya:
- Ia membantu membina kepercayaan antara diri seseorang dengan seseorang yang lain. Orang ramai lebih cenderung untuk mempercayai seseorang yang berintegriti yang boleh membantu mereka dalam kedua-dua kehidupan peribadi dan profesional mereka.
- Integriti boleh membantu anda kekal setia kepada diri sendiri. Mudah untuk terperangkap dalam perkara yang orang lain inginkan atau harapkan daripada anda, tetapi jika anda mempunyai integriti, anda akan dapat mengekalkan nilai dan kepercayaan anda sendiri
- Integriti boleh membawa kepada kejayaan secara profesional dan peribadi. Jika anda melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat, orang akan perasan. Jika anda melakukan perkara yang anda tahu salah kerana ia boleh memberi manfaat kepada anda, akhirnya orang akan mengetahui, dan kemudian mereka tidak akan menghormati anda.
Untuk memiliki kerjaya yang cemerlang, adalah penting untuk memastikan bahawa kerja anda mencerminkan siapa anda dan bukan orang lain yang anda inginkan.
Sebagai contoh, katakan anda ditawarkan kenaikan pangkat di tempat kerja. Anda berpendapat bahawa kerja baharu ini akan menuntut terlalu banyak komitmen masa, jadi anda menolak tawaran itu.
Ketidaktelusan yang sering terjadi
Pada hakikatnya, siapa pun akan marah apabila mendengar ada ahli politik menggunakan kuasanya demi menjaga tembolok diri dan kroninya. Tetapi apabila dia sendiri memegang kuasa, rupa-rupanya dia juga mengamalkan perkara yang sama sebagaimana pihak yang dibencinya sebelum itu.
Dalam sesebuah masyarakat yang mementingkan integriti, setiap individu akan saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain. Hal ini akan mewujudkan suasana yang harmoni dan aman.
Setiap orang akan berasa selamat dan terjamin. Apabila kepercayaan wujud dalam sesebuah masyarakat, ia akan memudahkan proses kerjasama dan interaksi sosial berlaku dengan lebih lancar.
Belum lagi disentuh bab pengurusan yang tidak telus, penindasan hak dan kebajikan pekerja juga beberapa contoh lainnya di institusi tertentu. Ada yang lantang terhadap sesuatu isu tetapi dari sudut implementasi sangat jauh sekali daripada yang dicanangkan.
Integriti dalam organisasi atau institusi
Sedarkah kita bahawa integriti adalah faktor penting dalam memastikan keberkesanan sesebuah organisasi atau institusi?
Pemimpin dan pekerja yang mempunyai integriti yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Mereka tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti organisasi tersebut.
Dalam bidang pendidikan juga, integriti memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berlaku dengan berkesan.
Guru dan pensyarah yang mempunyai integriti akan sentiasa berusaha menyampaikan ilmu pengetahuan dengan jujur dan telus. Mereka tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka sebagai pendidik.
Integriti juga merupakan faktor penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah negara. Pemimpin negara yang mempunyai integriti akan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin. Mereka tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kepentingan dan masa depan negara.
Oleh itu, integriti merupakan nilai utama yang sangat penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang sejahtera dan bermoral. Ia merupakan tunjang kekuatan sesebuah masyarakat dan negara.
Justeru, setiap kita sebagai masyarakat berilmu lagi bertamadun perlu berusaha untuk memupuk dan mempertahankan integriti dalam setiap tindakan demi kebaikan bersama. Segalanya perlu bermula sejak awal agar ia dapat tumbuh dan subur selamanya.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM