Merdeka daripada Politik Ketakutan, Bina Kepercayaan

Merdeka daripada Politik Ketakutan

Hampir tujuh dekad selepas merdeka, cabaran kita bukan lagi mengusir penjajah, tetapi membebaskan masyarakat daripada politik ketakutan dan membina semula kepercayaan antara rakyat.

Mengimbau kembali detik kemerdekaan pada 1957, penduduk Tanah Melayu daripada pelbagai latar bangsa, agama dan budaya berjaya mencapai sesuatu yang luar biasa. Mereka tidak berkongsi agama, bahasa atau budaya yang sama.

Setiap komuniti pula hadir dengan sejarah, kepentingan dan kebimbangan yang tersendiri. Namun, di sebalik segala perbezaan itu, mereka menemukan titik temu dan berkongsi satu impian yang lebih besar iaitu sebuah negara yang bebas dan masa depan yang boleh dibina bersama.

Perjalanan menuju kemerdekaan bukan usaha satu kelompok sahaja. Ia dibina melalui kerjasama, perundingan dan pengorbanan pelbagai pihak daripada latar bangsa, agama dan masyarakat yang berbeza. Ada yang bergerak melalui saluran politik, ada yang memperjuangkan kepentingan masyarakat dan ada yang menyumbang melalui gerakan sosial, pendidikan serta usaha membina kesedaran rakyat. 

Kemerdekaan tidak berlaku kerana semua perbezaan telah hilang. Perbezaan tetap wujud, namun ia dapat diurus dengan baik. Kalau generasi terdahulu mampu mengurus perbezaan untuk membina negara, mengapa kita hari ini semakin mudah melihat perbezaan sebagai ancaman? 

Hari ini, hampir tujuh dekad kemudian, kita berhadapan dengan persoalan yang mungkin lebih sukar daripada mengusir penjajah iaitu “adakah kita sudah benar-benar merdeka daripada rasa takut terhadap satu sama lain?”

Apabila semua merasakan diri terancam 

Sebahagian masyarakat Melayu bimbang kedudukan Islam, institusi Melayu serta hak dan kepentingan Bumiputera semakin terhakis.

Sebahagian masyarakat Cina pula bimbang tentang peluang pendidikan, ekonomi dan masa depan anak-anak mereka. 

Dalam kalangan masyarakat India, masih ada keresahan bahawa komuniti mereka terus tercicir daripada arus pembangunan.

Di Sabah dan Sarawak, persoalan berkaitan pembangunan, autonomi, suara dalam Persekutuan dan pelaksanaan semangat Perjanjian Malaysia 1963 terus mendapat perhatian.

Golongan muda pula berdepan kebimbangan yang merentas kaum. Mereka risau tentang pekerjaan berkualiti, harga rumah, kos kehidupan dan sama ada mereka mampu menikmati kehidupan yang lebih baik daripada generasi sebelumnya.

Semua kebimbangan ini wajar diambil serius. Masalah bermula apabila kita percaya bahawa jika kelompok lain mendapat lebih, kelompok kita pasti kehilangan sesuatu.

Di sinilah politik ketakutan mendapat ruang. Isu pendidikan, agama, bahasa dan ekonomi tidak lagi dilihat sebagai persoalan dasar yang boleh dibahaskan dan diperbaik, tetapi berubah menjadi persaingan antara identiti.

Akhirnya, kemenangan satu kelompok dilihat sebagai kekalahan kelompok lain.

Kemenangan satu kaum dianggap sebagai kekalahan kaum lain.

Mungkin masalah sebenar bukan satu kaum melawan kaum yang lain. Barangkali masalah yang lebih besar ialah krisis kepercayaan, iaitu hilangnya keyakinan terhadap sistem dan semakin rapuhnya kepercayaan sesama rakyat.

Ibrah daripada Madinah

Sirah Rasulullah SAW memberikan satu pengajaran penting tentang pembinaan masyarakat.

Apabila Baginda berhijrah ke Madinah, antara langkah awal yang dilakukan ialah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Muhajirin meninggalkan rumah dan kehidupan mereka di Makkah, manakala Ansar menerima mereka dan membantu membina kehidupan baharu.

Allah SWT merakamkan sikap Ansar melalui Surah al-Hasyr, ayat 9:

“..mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka… dan mereka mengutamakan orang lain atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan.”

Ia adalah kisah pembinaan kepercayaan sosial.

Madinah dihuni oleh pelbagai kelompok dan komuniti. Melalui Piagam Madinah, Rasulullah SAW membentuk kerangka kehidupan bersama yang mengatur hak, tanggungjawab serta kewajipan menjaga keamanan.

Sudah tentu Madinah dan Malaysia mempunyai konteks sejarah yang berbeza. Namun prinsipnya relevan iaitu masyarakat tidak perlu menjadi serupa untuk hidup bersama. Tetapi mereka memerlukan keadilan, kepercayaan dan tanggungjawab terhadap masa depan bersama.

Perbezaan bukan sesuatu yang perlu dihapuskan. Yang perlu dihapuskan ialah prasangka yang menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk saling mencurigai.

Jangan wariskan ketakutan 

Generasi kemerdekaan juga tidak menunggu sehingga semua orang menjadi sama.

Masyarakat Melayu mempunyai kebimbangan tentang Raja-raja Melayu, Islam, bahasa Melayu dan kedudukan orang Melayu. Masyarakat bukan Melayu mempunyai persoalan tentang kewarganegaraan, penyertaan politik dan masa depan mereka.

Namun mereka memilih untuk berunding dan membina jalan tengah.

Hari ini, musuh kita berbeza.

Kita boleh dijajah oleh prasangka, ketakutan dan politik yang mendapat keuntungan apabila rakyat sentiasa mencurigai satu sama lain.

Seorang Melayu tidak sepatutnya melihat kejayaan seorang Cina sebagai ancaman. Seorang Cina tidak sepatutnya merasakan identitinya hanya selamat jika identiti Melayu dilemahkan. Seorang India tidak patut terus berasa masyarakatnya berada di pinggir pembangunan. Rakyat Sabah dan Sarawak pula perlu merasakan bahawa mereka benar-benar rakan dalam pembinaan negara.

Namun perpaduan juga bukan bermaksud menutup mata terhadap ketidakadilan.

Jika ada kemiskinan, ia mesti ditangani. Jika ada komuniti yang ketinggalan, jurangnya perlu dirapatkan. Jika terdapat keresahan tentang agama, bahasa, hak, pendidikan atau peluang ekonomi, ia perlu dibincangkan dengan fakta dan rasa hormat.

Perpaduan bukan meminta semua orang berhenti bercakap tentang masalah. Perpaduan ialah memastikan semua orang percaya masalah mereka boleh dibincangkan secara adil.

Daripada politik ketakutan kepada politik kepercayaan 

Kita perlu belajar melihat perbezaan dengan cara yang berbeza, bukan lagi bertanya, “Apa yang kita akan hilang jika mereka mendapat lebih?” tetapi, “Bagaimana kita memastikan setiap orang mendapat peluang yang adil?”

Daripada mencari siapa yang patut dipersalahkan, lebih baik kita bertanya apa yang perlu diperbaik.

Kita memerlukan institusi yang adil, tadbir urus yang telus, peluang ekonomi yang lebih saksama dan lebih banyak ruang untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang bertemu, bekerja dan menyelesaikan masalah bersama.

Prasangka mudah tumbuh apabila manusia jarang bertemu, tetapi terlalu banyak mendengar cerita tentang satu sama lain.

Generasi terdahulu mewariskan kepada kita sebuah negara yang merdeka. Tanggungjawab kita pula ialah memastikan generasi seterusnya tidak mewarisi ketakutan yang sama.

Dahulu, kemerdekaan menuntut keberanian untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Hari ini, kita memerlukan keberanian yang berbeza iaitu keberanian untuk membina semula kepercayaan antara satu sama lain.

Malaysia tidak akan menjadi lebih kuat apabila satu kaum berasa mereka menang manakala kaum lain berasa mereka kalah.

Malaysia hanya benar-benar menang apabila setiap rakyat dapat berkata:

“Negara ini juga milik aku dan masa depannya ialah tanggungjawab kita bersama.”

“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”

“Wariskan Hormat, Tinggalkan Prasangka”

Basmin Maarof

Pegawai Kanan 

Jabatan Komunikasi Korporat 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia