Cara Rasulullah Berniaga: Panduan yang Wajar Dicontohi

Cara Rasulullah Berniaga: Panduan yang Wajar Dicontohi

Setiap kali tiba bulan Rabiulawal, hati kita pastinya berbunga-bunga mengingati kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Selain hebat di medan dakwah, tahukah anda bahawa sebelum diangkat menjadi rasul, Baginda telah pun mencipta nama sebagai seorang pedagang yang disegani di seluruh Tanah Arab? Gelaran “Al-Amin” (yang dipercayai) bukan datang secara kebetulan, tetapi hasil daripada rekod bisnes Baginda yang luar biasa jujurnya.

Jual beli adalah aktiviti muamalah yang dihalalkan dan sangat digalakkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud

“… Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Dalam lipatan sejarah umat Islam, perniagaan bukan sekadar medan mengaut keuntungan, bahkan ia telah menjadi simbol amanah, penzahiran tawakal dan jambatan pengembangan dakwah Islam. Oleh itu, mari kita telusuri gabungan rahsia kejayaan peribadi Baginda serta adab-adab Islam yang patut kita teladani.

Rahsia perniagaan cara Rasulullah SAW

Panduan dalam menjalankan perniagaan telah digariskan oleh syarak dan menjadi sebahagian daripada aktiviti yang diraikan oleh Islam. Lima asas penjagaan dalam maqasid syariah telah menjadi panduan lanjut bagi memastikan etika perniagaan difahami oleh masyarakat dengan lebih teliti. Hal ini selaras dengan perbincangan asas-asas maqasid syariah yang dibahaskan dalam buku AISAR terbitan IKRAM.

Salah satu panduan yang dititikberatkan oleh Islam mengenai keseimbangan antara pekerjaan di dunia dan aktiviti perniagaan dan ketaatan terhadap perintah Allah SWT yang menjadi tanggungjawab manusia terdapat dalam Surah al-Jumu’ah. Peristiwa nuzul ayat ke-11 Surah al-Jumu’ah menggariskan ikhtibar mendalam mengenai keutamaan adab dalam ibadah serta disiplin mengimbangi keperluan ekonomi dan spiritual.

Teguran Allah SWT turun apabila sebahagian jemaah Jumaat keluar meninggalkan Rasulullah SAW yang sedang menyampaikan khutbah di atas mimbar demi menyambut rombongan dagangan dan hiburan.

Peristiwa ini menjadi landasan syarak bahawa ketundukan terhadap syiar Allah SWT (solat dan khutbah Jumaat) tidak boleh diketepikan demi mengejar keuntungan duniawi yang bersifat sementara. Allah SWT merakamkan pula firman-Nya yang bermaksud:

“Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad): Pahala (balasan) yang ada di sisi Allah lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Jumu’ah: 11)

Ayat ini tidak bermaksud menolak urusan komersial secara mutlak, sebaliknya menetapkan prinsip keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) dalam syariat:

  • Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa perintah bertebaran di muka bumi untuk berniaga atau menguruskan kelangsungan hidup adalah dituntut dalam Islam, namun ia mestilah dilaksanakan mengikut susunan keutamaan iaitu selepas kewajipan ibadah disempurnakan.
  • Imam al-Qurtubi pula menekankan prinsip tauhid rububiyyah bahawa hakikat penyedia dan pemilik rezeki adalah Allah SWT semata-mata. Usaha manusia hanyalah ikhtiar fizikal, manakala keberkatan dan kecukupan hakiki bergantung pada ketaatan kepada-Nya.

 

Integriti ekonomi dalam syumuliyyah Islam

Mengukuhkan pandangan tafsir tersebut, Imam Hasan al-Banna menerusi karya An-Nahj al-Mubin li Syarh al-Usul al-‘Isyrin meletakkan kesungguhan mencari rezeki dan menguasai kekayaan halal sebagai salah satu prinsip utama syumuliyyah (kesempurnaan) Islam.

Umat Islam dituntut memiliki kemandirian ekonomi dan kekuatan kewangan, namun ikhtiar membina kekayaan tersebut wajib dipandu oleh syariat dan tidak sekali-kali mengatasi kewajipan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT.

Hakikat ganjaran di sisi Allah SWT mendidik jiwa muamalat agar tidak meletakkan dunia dalam hati sehingga menjejaskan ibadah. Sebaliknya, harta dan perniagaan hendaklah diuruskan sebagai sarana untuk menggapai keredaan-Nya melalui jalan yang halal dan berintegriti.

Kejayaan Rasulullah SAW sebagai seorang usahawan ulung bukan sekadar bergantung pada strategi pasaran semata-mata, sebaliknya berpunca daripada keunggulan peribadi Baginda yang menjadi “magnet” semula jadi buat para pelanggan.

Baginda sentiasa melayan sesiapa sahaja dengan senyuman manis dan tutur kata yang fasih, jernih serta lunak didengar, malah rakan niaga Baginda sendiri mengakui bahawa Rasulullah SAW tidak pernah bertengkar dan sentiasa tepat dalam setiap kiraan. Sifat lemah lembut dan bertolak ansur ini dipraktikkan secara konsisten sama ada ketika menjual, membeli, mahupun sewaktu menuntut hutang.

Dari segi strategi jualan, Baginda tampil sangat unik dan telus. Kadangkala Baginda berterus terang menyatakan harga modal, membiarkan pelanggan membayar mengikut kemampuan, malah tidak keberatan melepaskan barangan pada harga kos demi membantu golongan miskin yang benar-benar memerlukan.

Kejujuran Baginda juga tiada tandingan; Baginda pernah menegur peniaga yang menyembunyikan buah yang basah di bahagian bawah bertumpuk seraya menegaskan bahawa penipuan dan sumpah palsu demi melariskan jualan hanya akan menghapuskan keberkatan rezeki.

Pada akhirnya, perniagaan bagi Rasulullah SAW bukanlah tentang mengejar kekayaan peribadi, melainkan satu wadah untuk mengukuhkan ekonomi masyarakat dan memperjuangkan agama secara berhemah.

Kerangka utama etika dan syariat perniagaan 

Selain rahsia peribadi, keberkatan perniagaan juga dipandu oleh pematuhan kepada asas fiqh dan syariat. Terdapat lima kerangka utama yang melengkapi urus niaga seorang Muslim:

  • Asas Spiritual (Ilmu, Takwa & Ibadah): Saidina Umar al-Khattab berpesan agar peniaga mesti berilmu agama (faqih) dalam bab jual beli agar tidak terjerumus ke dalam riba. Selain itu, jangan biarkan kesibukan di kedai melalaikan solat serta rajinlah bersedekah untuk menyucikan hasil jualan daripada sumpah dan laghwu (perkara sia-sia).
  • Integriti Operasi (Timbangan & Kualiti): Peniaga dilarang menjual barangan haram atau yang mempunyai unsur ketidakpastian (gharar). Jagalah sukatan, lebihkan timbangan untuk pelanggan (mengelak ancaman Surah al-Mutaffifin), dan dedahkan sebarang kecacatan barang dengan telus.
  • Akhlak Santun Sesama Pesaing & Pekerja: Islam mengharamkan amalan menindas. Jangan “sailang” (menjual atas jualan rakan), elakkan najsy (pakatan bidaan palsu), dan jauhi ihtikar (menyorok barang keperluan). Hak pekerja juga wajib dijaga; jangan sesekali menahan atau menunda pembayaran upah titik peluh mereka.
  • Pengurusan Keuntungan & Menjauhi Jerat Hutang: Tiada had margin keuntungan tetap dalam Islam asalkan tidak menekan pembeli dan wujud sifat saling meredai. Yang paling penting, hindarilah budaya berhutang jika tidak terdesak. Jika berhutang, niatkan untuk melunasinya segera kerana roh mukmin akan tergantung selagi hutangnya tidak berbayar.
  • Tidak menggunakan nama agama untuk meraih keuntungan. Gesaan ini menurut kod kandungan 2022 yang telah digubal melalui Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang bertujuan menyekat salah guna dan unsur eksploitasi agama dalam pengiklanan. 

 

Secara tuntasnya, perniagaan adalah salah satu lubuk pahala yang sangat luas jika dipandu oleh kompas syariat. Gabungan rahsia peribadi mulia Rasulullah SAW dan kepatuhan yang ketat terhadap etika perniagaan Islam akan melahirkan sebuah perniagaan yang rahmah dan berkat.

Buat para usahawan di luar sana, teruskan usaha anda! Terapkan sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Semoga perniagaan kita semua diberkati, dijauhi daripada amalan yang dimurkai Allah, dan akhirnya menjadi asbab kita berkumpul bersama role model agung kita di syurga kelak. Wallahua’lam.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman (SRFP)
Koordinator MBA & MIBF
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia