Mesyuarat juga membincangkan usaha terbaru Israel yang ingin membahagikan sempadan Masjid Al-Aqsa dan menguatkuasakan sebahagian kawasan laman Masjid Al-Aqsa sebagai kawasan jajahan Israel.
Di akhir mesyuarat, beberapa perkara telah dimuktamadkan:
• Pentingnya usaha berterusan di peringkat negara dan global dalam menyokong bandar suci Jerusalem dan penduduknya.
• Menegaskan Jerusalem sebagai satu garisan merah, di mana semua negara dan mereka yang mencintai kebebasan di seluruh pelusuk dunia, tidak harus terus membiarkan jenayah ini berlalu di hadapan mata.
• Perlunya semua jawatankuasa dan kumpulan-kumpulan di pelbagai peringkat di negara masing-masing membuat persiapan untuk aktiviti Global March to Jerusalem dan untuk bersama-sama dengan keputusan PBB yang menamakan tahun 2014 ini sebagai Tahun Solidariti Bersama Rakyat Palestin atau International Year of Solidarity with the Palestinian People, membantah secara aman penjajahan rasis ke atas Jerusalem dan penduduknya.
• Mesyuarat The GMJ International Central Committee (GMJ-ICC) telah memutuskan GMJ pada tahun ini diadakan pada 6-7 Jun 2014, serentak dengan demonstrasi antarabangsa besar-besaran memperingati penaklukan Jerusalem Timur pada 1967 dan sebagai bantahan terhadap pengyahudian dan amalan rasis yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap kota suci, penduduknya dan warisan antarabangsa.
Berikut adalah pendirian MyGMJ terhadap Baitul Maqdis dan Palestin:
1. Palestin dari Sungai Jordan sehingga Laut Mediterranean dan dari utara hingga ke selatan adalah wilayah rakyat Palestin seutuhnya, tanah air mereka dan hak mutlak mereka. Rakyat Palestin tidak akan menggadaikan walau satu inci dari negara Palestin.
2. Seluruh negara Palestin adalah wilayah yang utuh. Ia mempunyai kaitan yang rapat dengan tamadun dan tanah suci umat Islam. Ia mempunyai kedudukan yang istimewa di hati masyarakat antarabangsa dan umat Islam, di samping mempunyai kedudukan yang mulia dan penghormatan bagi semua agama.
3. Kami tidak akan mengiktiraf pendudukan Israel. Ia adalah pendirian yang berpaksikan prinsip dan moral. Kami tidak akan mengiktiraf Israel atau kehadirannya di mana-mana bahagian dari bumi Palestin tanpa mengira berapa lama pendudukan itu berlangsung. Kami yakin pendudukan ini akan berakhir. Apa juga yang berlaku di bumi Palestin termasuk pendudukan, pembinaan penempatan haram, pengyahudian, pengubahsuaian lanskap dan penipuan fakta adalah salah dan mesti dihentikan.
4. Pembebasan Palestin adalah usaha dan tanggungjawab yang sah bagi rakyat Palestin dan umat sejagat. Ia juga adalah usaha kemanusiaan yang selari dengan prinsip kebenaran dan keadilan.
5. Penentangan adalah pendekatan yang betul, tulen dan sah bagi pembebasan wilayah Palestin dan mengembalikan hak rakyat Palestin. Penentangan ini mesti seiring dengan inisiatif politik, diplomatik, media dan perundangan. Seluruh kekuatan bangsa Palestin mesti dijana ke arah pembebasan bumi Palestin.
6. Kami tidak menentang penduduk Yahudi kerana mereka berbangsa Yahudi. Kami sebaliknya menentang Zionis yang menduduki bumi Palestin. Seluruh masyarakat antarabangsa akan menentang siapa sahaja yang merampas hak rakyat Palestin tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
7. Projek Zionis adalah agenda rasis, permusuhan dan pengluasan wilayah dengan cara-cara yang tidak sah dan keganasan. Oleh kerana itu mereka adalah musuh rakyat Palestin dan ancaman ke atas keselamatan mereka. Bahkan ia adalah musuh kemanusiaan dan ancaman ke atas kesejahteraan sejagat.
8. Kami akan pertahankan Baitul Maqdis dan kesucian Islam dan Kristian di sana. Kami bersama rakyat Palestin untuk mempertahankan hak rakyat Palestin, sejarah mereka, masa lalu dan masa depan mereka. Baitul Maqdis adalah pusat dan ibu negara Palestin dan disanjung di hati rakyat Palestin dan umat Islam sebagai satu kemuliaan. Israel tidak ada hak sedikit pun ke atas Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya bahkan pada mana-mana bahagian dari negara Palestin. Kesemua jenayah penyahudian, penempatan dan penipuan dan perampasan tidak dapat diterima sama sekali.
9. Kami berdiri teguh ke atas hak rakyat Palestin yang berada di khemah pelarian dan di luar untuk pulang ke kampung halaman dan tanah air mereka. Mereka diusir dari rumah rumah mereka dan dihalang untuk kembali samada pada tahun 1948 atau 1967. Kami menyokong rakyat Palestin yang tegas tidak berkompromi sedikit pun dalam hal ini. Di masa yang sama kami menolak semua projek penempatan semula rakyat Palestin di luar Palestin.
10. Pendirian ini menggambarkan prinsip-prinsip yang tidak akan berubah atau diubah dengan perkembangan politik yang sedang dan akan berlaku di Palestin.
Oleh itu, dengan pelancaran kempen GMJ di peringkat antarabangsa dan MyGMJ dilaksanakan di peringkat Malaysia, semoga 10 prinsip-prinsip ini dapat ditonjolkan agar perjuangan pembebasan bumi Palestin dapat diperkasakan.
Dr Tahir Abdul Rahman
Pengerusi MyGMJ
*Foto: Sidang media pelancaran MyGMJ di Hotel Flamingo, Ampang
*Sumber: https://www.facebook.com/MalaysiaGMJ