Kelebihan Puasa Sebagai Terapi Kesihatan Mental

Selamat datang Ramadan, bersyukur kepada mereka yang masih berpeluang bertemu lagi bulan yang mulia ini pada 2024. Kewajipan berpuasa telah dimaktubkan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Sebagai hamba yang diciptakan oleh Allah, perlu disedari bahawa setiap perintah yang disyariatkan oleh Allah SWT sudah pasti mempunyai hikmah dan kebaikan yang tersendiri untuk hamba-Nya. Perbincangan kali ini akan memfokuskan impak berpuasa dari perspektif kesihatan mental.

Sebelum perbincangan diteruskan dengan lebih terperinci, perlu difahami apakah kesihatan mental dan gangguan mental itu. Kesihatan mental meliputi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial yang mempengaruhi cara kita berfikir, merasa dan bertindak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan bahawa kesihatan mental merujuk kepada keadaan sejahtera seseorang dapat menyedari potensi diri, menangani tekanan hidup yang normal, bekerja secara produktif dan menyumbang kepada masyarakat.

Kesihatan mental sangat penting tanpa mengira tahap berumur bermula daripada kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa. Kesihatan mental menjadi tunjang kepada pemikiran, pembelajaran, komunikasi, ketahanan dan keyakinan diri yang sihat.

Mental tidak sihat atau terganggu boleh membawa kepada penyakit mental yang juga dikenali sebagai gangguan mental. Gangguan mental boleh menimpa sesiapa sahaja dan melibatkan perubahan dalam pemikiran, emosi atau tingkah laku, atau gabungan ketiga-tiganya yang menyukarkan seseorang untuk menghadapi tuntutan dan rutin harian.

Mental illness atau mental disorder disebut juga sebagai gangguan mental atau jiwa atau gangguan terhadap fungsi otak. Gangguan ini pula boleh menjejaskan daya pemikiran dan kewarasan, perasaan serta tingkah laku seseorang individu. Penyakit gangguan mental ini amat berbeza dengan masalah kesihatan mental. 

Saranan Islam terhadap pemerkasaan mental

Sekiranya melihat kepada maqasid asy-syariah, kesihatan mental ini berada di bawah kategori keperluan asas (dharuriyyat) iaitu hifz al-‘aql yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya. Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan fizikal yang merupakan satu nikmat daripada Allah SWT. Nabi SAW bersabda :

“Sesiapa antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badan dan ketenangan pada dirinya serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia diberi segala nikmat dunia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 2346, Hasan)

Kesihatan mental yang disarankan oleh Rasulullah SAW memberi penekanan kepada lima aspek iaitu:

(a) Rohani yang perlu diisi dengan pengabdian kepada Allah.

(b) Amalan minda atau akal yang perlu diisi dengan pengetahuan. 

(c) Amalan fizikal yang perlu diisi dengan riadah. 

(d) Amalan pemakanan yang perlu diisi dengan perkara yang halal. 

(e) Gaya hidup yang perlu diisi dengan amalan yang sihat. Kesihatan mental yang baik berkait rapat dengan kesejahteraan rohani dan jiwa. Individu yang terlibat dalam perkara-perkara yang mencemarkan rohani dan jiwanya lebih cenderung untuk mengalami gangguan mental.

Puasa sebagai terapi

Puasa bukan sekadar alternatif dalam merawat masalah kesihatan mental, tetapi juga terbukti meningkatkan tahap kesedaran spiritual dalam kalangan mereka yang berpuasa. Kesihatan yang baik hasil daripada berpuasa ini seterusnya menyumbang kepada peningkatan kesihatan mental.

Sepanjang tempoh berpuasa, pelbagai amalan kerohanian dilakukan seperti bertadarus al-Quran, menunaikan solat tarawih, bersabar, berzikir, beriktikaf di masjid, mengerjakan solat sunat malam, bersedekah dan memberi makan kepada golongan fakir miskin.

Kesemua aktiviti ini mendorong individu untuk melakukan kebaikan dan menyihatkan minda. Oleh itu, ibadah puasa merupakan satu bentuk terapi bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental seperti keresahan, serangan panik, kemurungan dan sebagainya kerana tumpuan mereka lebih terarah kepada aspek kerohanian.

Hubungan antara puasa dengan kesihatan mental bukan sahaja melibatkan aspek menahan lapar dan dahaga, tetapi juga merangkumi latihan dari segi psikologi, mental dan biologi fizikal. 

Dari sudut psikologi, individu yang berpuasa akan memiliki jiwa dan tingkah laku yang lebih sihat, kerana mereka berusaha menjauhkan fikiran dan perbuatan daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Tingkatkan daya tumpuan

Puasa bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan fizikal, tetapi juga mampu meningkatkan daya tumpuan dan memberi kesan positif kepada otak. Semasa berpuasa, otak menjadi lebih tenang dan tidak mudah dipengaruhi oleh emosi negatif seperti kemarahan.

Puasa berupaya menurunkan tahap adrenalin dalam badan. Ketika dalam keadaan marah, jumlah adrenalin boleh meningkat sehingga 20-30 kali ganda.

Adrenalin akan mengecilkan kontraksi otot hempedu, menyempitkan pembuluh darah, meningkatkan tekanan darah serta menambah jumlah darah ke jantung dan kadar degupan jantung.

Adrenalin juga mampu membentuk kolesterol daripada lemak protein berkepadatan rendah. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit pembuluh darah, jantung, strok dan lain-lain. 

Oleh itu, apabila adrenalin dapat dikawal melalui puasa, mental menjadi lebih tenang, lebih sabar, tidak mudah melenting dan kita dapat memberi tumpuan kepada tugasan harian.

Minda lebih tenang

Berpuasa dapat menstabilkan paras gula dalam darah, yang memberi kesan positif terhadap minda. Amalan membaca al-Quran dan berzikir semasa berpuasa juga meningkatkan ketenangan jiwa dan memori.

Kajian oleh Dr Alan Cott pada tahun 2004 menunjukkan mereka yang kerap berpuasa memperoleh markah kecerdasan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berpuasa.

Hal ini kerana ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak, membolehkannya berfungsi dengan lebih baik. Sebaliknya, ketika tidak berpuasa, tenaga dan darah tertumpu kepada sistem pencernaan, menjadikan otak kurang berkeupayaan untuk berfikir secara optimum.

Justeru, berpuasa memberi peluang kepada kita untuk melaksanakan aktiviti mental dan fizikal dengan lebih berkesan hasil daripada minda yang lebih tenang, damai dan cerdas.

Otak kekal segar

Puasa memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesegaran dan kesihatan otak serta melambatkan proses penuaan. Ia dicapai melalui proses autofagi apabila sel-sel otak menghancurkan protein dan organel yang rosak dalam neuron tertentu.

Pengumpulan protein rosak dalam neuron boleh menjejaskan fungsinya dan menyumbang kepada penyakit neurodegeneratif seperti alzheimer, parkinson, huntington, dan amyotrophic lateral sclerosis (ALS).

Apakah autofagi? Ia merupakan sel tubuh mengalami kitar semula. Autofagi ditemui oleh saintis Jepun, Yoshinori Ohsumi dalam fisiologi atau perubatan. Beliau mendapati autofagi merupakan satu proses rangsangan apabila tubuh badan berada dalam keadaan lapar.

Menurutnya, ketika seseorang berpuasa selama 8 hingga 10 jam, proses autofagi akan berlaku. Sel-sel lapar akan memecahkan protein dan komponen rosak untuk menghasilkan tenaga serta memusnahkan virus dan bakteria dalam tubuh. Autofagi yang berfungsi dengan baik juga dapat memperlahankan proses penuaan dan menghasilkan sel-sel baharu yang sihat dan kuat.

Sebaliknya, gangguan autofagi boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit, termasuk penyakit berjangkit, kanser, penyakit neurodegeneratif dan demensia.

Oleh itu, puasa bukan sahaja mampu mengurangkan risiko penyakit-penyakit ini, tetapi juga meningkatkan daya ingatan, mengurangkan kematian sel-sel saraf dan meremajakan sel-sel saraf yang baru, seterusnya memastikan otak kekal segar dan melambatkan penuaan.

Pelindung otak daripada kecederaan sederhana

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Kentucky yang diketuai oleh Patrick Sullivan (2008) mendapati bahawa berpuasa selama 24 jam dapat mengurangkan kesan negatif dan mempercepatkan proses penyembuhan pada pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak.

Ini mungkin disebabkan oleh kehadiran keton (ketones) dalam darah individu yang berpuasa. Keton berperanan dalam melahirkan sel-sel otak baharu di bahagian hippocampus (satu struktur dalam otak yang memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran, daya ingatan dan navigasi spatial iaitu kebolehan untuk memproses dan menggunakan maklumat berkaitan ruang, arah, kedudukan dan hubungan antara objek dalam persekitaran) serta bertindak sebagai sumber tenaga untuk sel-sel otak tersebut.

Selain itu, keton juga memainkan peranan dalam mencegah proses kerosakan yang berlaku pada sistem saraf.

Penemuannya juga mendapati berpuasa merangsang pengeluaran hormon endorfin, iaitu sejenis hormon tabii yang berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates). Hormon ini berkesan dalam menghilangkan kesakitan dan mendamaikan minda, seterusnya membantu mencegah serangan penyakit mental.

Terdapat pelbagai hikmah di sebalik suruhan Allah ini kepada umatnya. Manfaat puasa ini bukan sahaja kepada kesihatan fizikal dan spiritual malah memberi impak kepada mental.

Dari segi kesihatan mental, dapat dirumuskan bahawa berpuasa meningkatkan kecerdasan otak, mental, membentuk disiplin diri, menyuburkan pemikiran empati serta menggalakkan ketenangan minda melalui refleksi dan ibadah.

Kesimpulannya, berpuasa adalah amalan yang holistik, memberi manfaat kepada kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual individu serta masyarakat secara keseluruhan.

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia