Punca-punca Masalah Kesihatan Mental

Punca-punca Masalah Kesihatan Mental | IKRAM

Kehidupan sekarang bergerak pantas, seiring dengan kelajuan perkembangan teknologi digital.

Pada era digitalisasi, kebanyakan urusan dapat diselesaikan lebih laju di hujung jari sahaja. Teknologi Internet sudah tidak lagi menjadi satu pilihan, tetapi keperluan.  Dunia menjadi semakin kecil dan dekat.

Sedar tidak sedar, kelajuan dan kepantasan ini telah menyebabkan manusia menjadi lebih cepat penat, emosi dan fizikal.

Kebanyakan urusan diharapkan dapat disiapkan lebih awal, pantas dan sempurna. Ruang peribadi juga sering dicerobohi apabila komunikasi telah banyak beralih ke alam maya. 

Apabila lesu dan penat sering menguasai diri, ia mengundang pula emosi yang memberi tekanan mental seperti mudah marah, cemas, kecewa dan murung. 

Perhubungan sosial akan terjejas dan lebih teruk lagi, tekanan melampau boleh mewujudkan niat untuk membunuh diri. 

Barangkali disebabkan itu, buku-buku bertemakan ‘healing’ (pemulihan) menjadi begitu popular sehingga berminggu-minggu tersenarai sebagai carian popular di kedai dan pesta buku. 

Banyak kajian telah mendapati merosotnya kesihatan mental akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang termasuk mengakibatkan gangguan kesihatan badan. 

Ia turut mengakibatkan antaranya kelesuan berpanjangan, sakit kepala, gangguan tidur dan penyakit gastrik. 

Secara tidak langsung, keadaan ini akan mengurangkan produktiviti dalam pekerjaan dan aktiviti harian. Terdapat segelintir orang yang terdorong mencari jalan keluar melalui penyalahgunaan dadah dan arak sebagai tempat mencari nikmat sementara. 

Namun sekiranya menjadi tabiat, ini boleh menyebabkan masalah yang lebih kritikal dalam jangka panjang yang akhirnya memakan diri.

Menyumbang Kes Jenayah

Dalam waktu yang sama, kegagalan menguruskan kesihatan mental turut menyumbang kepada kes-kes jenayah seperti penderaan, pembunuhan akibat menanggung emosi yang melampau.  

“Keadaan stres yang berpanjangan dan konflik yang dibiarkan berlarutan boleh mengurangkan keupayaan fungsi mental yang akhinya mencetuskan penyakit mental,” pakar psikologi klinikal, Pn Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar.

Mutakhir ini, negara dikejutkan dengan pembunuhan tragis melibatkan pemangsa yang mengalami penyakit mental. 

Pada 12 Mac lalu, seorang budak 3 tahun dibunuh dengan tangannya diikat dan kepalanya tersepit antara dua pokok. Pemangsa didapati positif dadah dan juga kurang siuman. 

Turut menggemparkan negara baru-baru pada 5 Mac lalu ialah kes yang melibatkan seorang anggota polis yang telah menembak mati isterinya, dipercayai mengalami gangguan mental.

Terdapat juga laporan pada 20 Februari lalu bahawa seorang individu yang menembak diri sendiri, dipercayai berpunca daripada masalah peribadi.

Jelas sekali isu kesihatan mental dan penyakit mental tidak boleh dipandang enteng.  

Menurut Azlina yang juga aktivis Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), kes kesihatan mental semakin bertambah saban tahun dan perlu ada tindakan berkesan mengatasi pertambahan angka kes yang meningkat. 

“Beban penyakit mental menyebabkan ketidakmampuan seseorang individu bekerja dan berfungsi dalam keluarga dan masyarakat.”

“Banyak punca yang menjadi pencetus stres, antaranya ialah faktor keluarga, kehidupan, pekerjaan, penderaan fizikal termasuk mental, gangguan seksual atau konflik yang berpanjangan.”

Faktor-faktor ini dianggap seperti kuman yang menyerang dan perlu diatasi. Maka sewajarnya, individu yang menghadapi kemerosotan mental perlu mendapatkan rawatan yang dapat memberi kekebalan kepadanya bagi menghadapi atau menghilangkan ‘kuman’ ini daripada kehidupannya. 

Mengulas lanjut, beliau menyatakan kesedaran berkenaan kesihatan mental masih belum mencukupi untuk menyelesaikan kemelut beban isu mental yang sedang ditanggung. 

“Keprihatinan tentang isu ini sering kali bermusim, perlu sentiasa ditingkatkan kesedaran dari masa ke masa di pihak kerajaan, swasa, agensi, NGO, komuniti dan lain-lain.” 

Kesihatan & Penyakit Mental

Tahukah anda, kesihatan mental dan penyakit mental adalah berbeza? Namun kedua-duanya juga boleh wujud serentak dalam diri seseorang. 

Menurut pakar psikologi organisasi, Dr Alizi Alias menerusi bukunya ‘Penat,’ kesihatan mental merujuk pada keadaan kesejahteraan mental seseorang (sama ada penyakit mental ataupun tidak) tanpa kecuali.

Manakala penyakit mental pula merujuk pada penyakit mental (sebagaimana didiagnosis oleh pakar) yang memberi kesan pada pemikiran dan tingkah laku seperti kemurungan, kecelaruan bipolar dan kecelaruan personaliti.

Beliau mengatakan, rawatan untuk meningkatkan kesihatan mental juga berbeza dengan dengan pesakit yang mengidap penyakit mental.

Bagi pesakit mental, mereka perlu menjalani rawatan psikoterapi dan mungkin juga perlu  mengambil ubat-ubatan untuk menguruskan simptom penyakit bagi meningkatkan kualiti kehidupan. 

Berbanding dengan pemeliharaan kesihatan mental pula, amalan gaya hidup sihat adalah kunci utamanya.

Ini termasuk tabiat makan makanan yang seimbang dan berkhasiat, bersukan serta mendapat tidur yang mencukupi. Jauhi diri daripada mengambil bahan terlarang yang merosakkan seperti vape, rokok, arak dan dadah. 

Penting juga mempunyai interaksi sosial positif yang dapat membantu seseorang berasa lebih dihargai, termotivasi dan diiringi perasaan bahagia. Letakkan keutamaan pada diri sendiri untuk ada ruang berehat dan bersantai. 

Aktiviti seperti membaca, berkebun, menulis atau apa-apa hobi yang menyeronokkan boleh membantu melepaskan ketegangan di samping memberikan ruang untuk refleksi diri.

Uruskan keperluan diri dengan baik. Bagi masyarakat Muslim, aktivit ibadah seperti solat, zikir dan membaca al-Quran dapat berikan ketenangan diri sepertimana firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:

“Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.”

Dapatkan Bantuan & Sokongan

Jangan sesekali berasa malu mencari bantuan jika perlu.  Sekiranya berasa tidak mampu menguruskan kesihatan mental diri sendiri, cari bantuan pakar kesihatan mental atau orang yang dipercayai.

Mereka boleh memberikan sokongan dan bantuan bagi mencari jalan keluar. Rawatan awal akan mencegah daripada kesihatan mental melarat menjadi sakit mental.

Namun hakikatnya, masyarakat masih lemah pemahaman dan penghayatan terhadap kesihatan mental. Ini terbukti apabila pesakit yang ada simptom penyakit mental acap kali dirujuk kepada bomoh terlebih dahulu.

Ramai pesakit mental dibiarkan atau membiarkan diri menanggung penderitaan bertahun-tahun lamanya tanpa rawatan yang sepatutnya.

Akhirnya apabila dibawa berjumpa doktor, tahap kesihatan mental yang dialami telah menjadi rumit untuk dirawat dan pesakit sukar untuk sembuh sepenuhnya. 

“Secara umum, penduduk di kawasan bandar mempunyai kesedaran lebih tinggi berkenaan isu kesihatan berbanding masyarakat di luar bandar,” ujar Azlina. 

“Namun, stres di kawasan bandar lebih banyak menyumbang kepada statistik penyakit mental.” 

Jelasnya, sokongan keluarga dan masyarakat sangat penting membantu memulihkan pesakit. Melabelkan sakit mental sebagai gila merupakan stigma yang menjadi racun dan antara halangan utama bagi pesakit mendapatkan rawatan. 

Menurut Azlina lagi, kerajaan perlu memperbanyakkan sokongan kesihatan mental sehingga menembusi masyarakat secara lebih meluas.

Kaunselor dan pakar terlatih perlu lebih ramai lagi agar dapat mengatasi isu lambat menunggu rawatan dan perkhidmatan lebih berkualiti.

Birokrasi juga perlu menjadi lebih mesra masyarakat agar memudahkan urusan pesakit mendapatkan bantuan yang sewajarnya pada waktu yang sepatutnya. 

Kita tidak akan selamanya sihat. Ketika sakit, ubat dan rehat menjadi penawar. Teman sejati yang setia berkhidmat di sisi menjadi penenang dan mempercepatkan proses pemulihan.

Begitulah juga yang diperlukan oleh mereka yang diuji dengan kesihatan mental yang tidak kelihatan lukanya.

Mereka turut perlukan rawatan sewajarnya dan rehat yang secukupnya. Berikan sokongan dan fahami keadaan mereka.

Dengan keprihatinan kerajaan dan kesedaran masyarakat dalam memelihara kesihatan mental, negara mampu memacu keharmonian dan kesejahteraan rakyat dengan lebih seimbang. 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia