Jangan selektif banteras rasuah

Sarjana ulung negara, Syed Hussein Alatas dalam bukunya yang berjudul ‘Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi’ menyebut bahawa apabila seseorang yang berjawatan tinggi seperti Perdana Menteri, Presiden atau ketua polis melakukan rasuah, lama kelamaan mereka tidak akan lagi menunjukkan minat terhadap pekerjaan hakikinya, iaitu berkhidmat kepada orang awam atau rakyat. 

 

Persoalan rasuah bukan sahaja dibincangkan dalam pentadbiran negara secara serius tetapi juga melalui filem dan karya-karya sastera.

 

Sebagai contoh, filem ‘Tiga Abdul,’ arahan Allahyarham P. Ramlee pada tahun 1960-an jelas memperlihatkan bagaimana rasuah menular dalam masyarakat pada zaman itu.

 

Begitu juga dengan beberapa karya sastera dulunya yang banyak menulis secara tajam mengenai kritikan terhadap masalah jenayah rasuah dalam kalangan masyarakat tempatan pada ketika itu. 

 

Realitinya, kita berdepan dengan satu krisis yang berterusan, krisis yang saling tidak tumpah seperti pandemik yang berpanjangan iaitu rasuah. Penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, budaya makan suap ini semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan para penjawat awam.

 

Sepertimana penyakit berjangkit yang parah, maka begitu jugalah kita melihat realiti rasuah di negara Malaysia hari ini yang kelihatan seperti penyakit berjangkit yang semakin membarah. 

 

Masalah rasuah sentiasa berlaku dalam masyarakat. Ironinya, rasuah dalam kalangan masyarakat sudah menjadi seperti ‘nilai dan budaya masyarakat’ yang sangat sebati dengan diri mereka.

 

Umpama menyedari bahawa masalah rasuah adalah krisis yang berlaku tidak berkesudahan, maka mengertilah kita mengapa masalah ini telah menjadi antara salah satu keprihatinan utama Syed Hussein Alatas, sehinggakan perbincangan sekitar jenayah rasuah dan korupsi ini telah mula difikirkan oleh beliau sejak berdekad-dekad lamanya.

 

Hal ini dapat dilihat apabila Syed Hussein Alatas sangat sinonim dengan perbincangan mengenai rasuah sehingga menghasilkan tulisan pertamanya mengenai rasuah yang berjudul The Sociology of Corruption (1968), seterusnya buku-buku beliau yang selanjutnya seperti Corruption: Its Nature, Causes and Functions (1990) dan Corruption and the Destiny of Asia (1999).

 

Beliau banyak mengulas secara terperinci berkenaan sosiologi rasuah serta kesannya ke atas masyarakat membangun. Maka ini membawa kita untuk berfikir, mengapakah gejala rasuah ini semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia, yakni dalam konteks masyarakat yang sedang membangun?

 

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah merekodkan bahawa kedudukan Malaysia semakin jatuh, yang menjadi salah satu indikator bahawa berlakunya peningkatan jenayah rasuah dalam negara.

 

Terdapat beberapa faktor yang dikatakan menyumbang kepada penurunan anak tangga tersebut, dan antara yang dinyatakan adalah kegagalan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik serta beberapa pendakwaan rasuah yang digugurkan.

 

Justeru persoalannya, adakah wajar isu jenayah besar seperti rasuah ini digugurkan kes-kes tersebut daripada dibicarakan? Sudah tentu tidak, kerana jika dibiarkan masalah ini begitu sahaja, maka menjadilah budaya rasuah tersebut menyerap ke dalam masyarakat dan buruk padahnya.

 

Ibarat ‘melempar batu menyembunyikan tangan,’ budaya makan suap ini sekiranya tidak dirawat atau segera diatasi, mungkin pada masa yang akan datang kita akan menyaksikan sendiri bagaimana krisis ini menjadi semakin serius. 

 

Menghapuskan rasuah, meminimakan gejala rasuah serta membanteras budaya makan suap secara haram ini harus dilakukan secara kolektif antara pihak berkuasa dan juga entiti masyarakat yang berperanan sebagai semak imbang.

 

Di samping meyakini gerak kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mengatasi krisis ini, maka badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga wajar menjadi ‘pendesak’ yang mendidik masyarakat agar tidak menjadi sebahagian daripada golongan yang memberi-menerima makan suap ini. 

 

Masalah yang serius harus diatasi secara serius juga. Lihat sahaja bagaimana Rodrigo Duterte, Presiden Filipina yang mengambil pendekatan menghapuskan rasuah dengan memberi kebenaran agar mana-mana pegawai kerajaan yang meminta habuan untuk ditembak oleh rakyatnya sendiri.

 

Duterte menjelaskan bahawa tindakan membanteras jenayah rasuah yang semakin mencengkam di negaranya harus dilakukan secara tegas. Masalah rasuah dikatakan setua sejarah manusia. Buktinya di negara China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi memahami konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terbabit.

 

Justeru, kita harus jelas mengerti bahawa masalah yang serius dan parah harus diatasi dengan tindakan yang sewajarnya dan janganlah sekadar seperti melepaskan batuk di tangga. 

 

Tidak pernah rasuah difahami sekadar dari konteks kesannya kepada individu sahaja, malahan ia turut merangkumi kesan kepada masyarakat, negara dan bangsa. Tindakan tidak bermoral ini bukan sekadar tabiat yang dikeji oleh masyarakat, malahan ia juga dilarang keras oleh agama.

 

Dalam sudut kesannya kepada masyarakat dan negara, rasuah turut difahami berupaya menjadi penghalang kepada mobiliti sosial dan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Malahan, rasuah turut menjadi faktor penyumbang kepada hilangnya minat pelaburan asing, di samping menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.

 

Sultan Nazrin Shah pernah bertitah secara tegas bahawa rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Sekiranya tidak ada kesungguhan yang tuntas untuk membanteras rasuah, maka ia akan tumbuh melebar – subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.

 

Tindakan pertama untuk mengatasi masalah rasuah ini adalah dengan menerapkan semula jati diri dan integriti seseorang, kerana hanya dengan integriti yang dipasak teguh dan prinsip akhlak yang kuat, maka seseorang individu itu akan lebih berwaspada agar tidak terjebak ke dalam kancah rasuah dan skandal korupsi ini. 

 

Laporan statistik jenayah Malaysia memaparkan bahawa terdapat enam statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, jenayah maritim, pemulihan dan salah satu daripadanya juga adalah jenayah rasuah.

 

Ini sekali lagi jelas menunjukkan antara indikator lainnya, masalah rasuah di negara Malaysia bukan sahaja semakin meluas dan meningkat, malahan juga sangat membimbangkan.

 

Tanpa disedari, barangkali sifat-sifat yang berasaskan nepotisme, kapitalisme dan sebagainya juga terbit muncul daripada rasuah, yang bermula daripada makan suap kecil-kecilan kepada pencurian harta negara besar-besaran.

 

Kesimpulannya, usaha menangani rasuah wajib memberi penekanan kepada dua aspek utama: pertama, langkah yang tegas dan tidak bersifat selektif dan kedua, langkah preventif dengan mengukuhkan integriti para penjawat awam mahupun kakitangan swasta secara akar umbi.

 

Islam sangat menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah, tidak bersifat tamak haloba, gilakan kuasa mahupun wang ringgit.

 

Tuntasnya, peranan mengatasi jenayah rasuah yang semakin membarah ini tidak tergalas hanya di bahu mereka yang memiliki kuasa, malahan juga tergantung di beban bahu setiap daripada kita untuk turut serta berperanan. 

 

#KitaTolakRasuah

# RasuahBusters

 

Sofiya Tamizi

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia