Jaga Tutur Kata, Ramadan Didik Jiwa Takwa

Jaga Tutur Kata, Ramadan Didik Jiwa Takwa | IKRAM

Sempena kedatangan Ramadan yang dinanti-nantikan, marilah kita menjadikan bulan mulia ini sebagai madrasah jiwa yang akan mendidik kita menjadi hamba yang lebih bertakwa.

Sesungguhnya Ramadan bukanlah sekadar tempoh menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ruang untuk kita menyucikan jiwa dan membaiki akhlak dengan mengamalkan nilai-nilai kebaikan.

Seorang Muslim bukan sahaja perlu beriman, tetapi juga perlu menjadikan takwa sebagai agenda utama dalam kehidupan. Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 102 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Demi menjadi seorang Muslim yang bertakwa, kita hendaklah bertindak selari dengan keredaan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Hal ini termasuklah meninggalkan dosa-dosa yang disebabkan oleh pertuturan kita. 

Dunia hari ini menyaksikan kehidupan yang lebih mencabar. Kita sering diuji dengan pelbagai situasi yang menguji kesabaran dan kebijaksanaan dalam bertindak.

Ada ketikanya, kita tersadung dalam arus perdebatan yang tidak ada kesudahan serta tergelincir dalam lingkaran kata-kata yang boleh merobek hati dan ukhuwah sesama insan. 

Sebagai Muslim yang beriltizam dengan nilai-nilai Islam yang telah disebarkan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, kita perlu mengangkat martabat pertuturan yang baik serta menghindari perbalahan yang merugikan ummah. Pertuturan yang santun mencerminkan keperibadian seseorang serta menjadi cerminan akhlak yang luhur.

Dewasa ini, kata-kata tidak hanya dilontarkan secara nyata, bahkan diungkapkan juga secara maya melalui tulisan yang dibaca. Oleh itu, kita mestilah lebih berhati-hati dalam melontarkan perkataan kerana mutakhir ini sebarannya lebih luas dan pantas. 

Kepentingan menjaga pertuturan dijelaskan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar dan sopan) kerana sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan antara mereka.”

Ayat ini menegaskan kepentingan bertutur secara berhikmah dan berhemah. Setiap kata yang kita lontarkan mempunyai kesan yang mendalam, sama ada membina atau meruntuhkan ukhuwah sesama saudara.

Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada agar lidah tidak menjadi alat yang menimbulkan fitnah, umpatan atau persengketaan yang sia-sia.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menzahirkan satu prinsip penting dalam kehidupan seorang mukmin. Bertutur dengan santun bukan sahaja menunjukkan kebijaksanaan, tetapi juga menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang.

Jika sesuatu perkataan tidak membawa manfaat, maka lebih baik diam agar tidak menjerumuskan diri ke dalam kancah dosa.

Dalam realiti kehidupan, perselisihan pendapat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, Islam mengajar kita untuk menangani perbezaan dengan bijaksana. Perbalahan yang tidak berlandaskan adab dan ilmu hanya akan membawa kepada perpecahan serta meruntuhkan keharmonian dalam masyarakat.

Ketika menghadapi sesuatu perbezaan pendapat, kita disarankan mengamalkan pendekatan musyawarah serta bersikap terbuka dalam menerima pandangan yang berbeza.

Meskipun mempunyai pendapat yang bertentangan dengan orang lain, utamakanlah perdamaian berbanding mempertahankan ego dalam perdebatan yang sia-sia. Mengalah bukan bermakna lemah, sebaliknya menunjukkan ketinggian budi dan kedewasaan dalam menghadapi perbezaan.

Sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan, fikirkan dahulu natijahnya. Jika tidak ada kebaikan dalam kata-kata itu, adalah lebih baik kita berdiam diri dan beristighfar. Tidak rugi jika kita berfikir dahulu sebelum berkata-kata, malah boleh mengelakkan kebinasaan yang disebabkan oleh mulut. 

Biasakan diri untuk bertutur dengan lembut, sopan dan penuh ketertiban. Sesungguhnya cara kita berbicara mencerminkan keperibadian dan intelektualisme diri kita sendiri. Sebaik-baiknya, hindari umpatan dan fitnah yang boleh merosakkan ukhuwah dan menjadi punca perpecahan dalam masyarakat.

Pada era digital ini, berhati-hatilah dalam menulis komen atau berkongsi maklumat. Jangan sesekali membiarkan emosi menguasai diri dan mempengaruhi kata-kata yang bakal diluahkan. 

Membangunkan jiwa takwa bukan hanya terbatas kepada amalan ibadah khusus seperti solat dan puasa, tetapi juga merangkumi aspek interaksi sosial yang penuh hikmah. Menjaga pertuturan dan mengelakkan perbalahan adalah cerminan kepada ketakwaan seseorang.

Perkataan yang baik umpama jambatan yang mampu menyatukan hati dan menyebarkan kasih sayang dalam masyarakat. Sebaliknya, perkataan yang kasar dan perbalahan yang tidak perlu hanya akan menimbulkan kebencian dan permusuhan. 

Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjaga lidah, mengelakkan pertelingkahan yang tidak berfaedah dan meletakkan keharmonian sebagai matlamat utama dalam setiap interaksi kita.

Dengan cara ini, kita dapat membina peribadi Muslim yang berintegriti, menegakkan ukhuwah antara saudara seagama dan mendekatkan diri kepada reda Allah SWT.

Perjuangan kita untuk mencapai takwa dengan menerapkan nilai-nilai kebaikan seperti menjaga pertuturan tidak seharusnya berakhir pada penghujung Ramadan

Setiap seorang daripada kita hendaklah beristiqamah dalam mentarbiah hati pada bulan-bulan yang lain juga sehingga akhir hayat. 

 

Hanim Ghani
Penulis Upahan

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia