Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius berkenaan isu penularan video tarian di atas pentas yang melibatkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang sewaktu dalam Majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di Kota Kinabalu baru-baru ini.
IKRAM menggesa agar para pemegang jawatan penting dalam negara khususnya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang untuk lebih sensitif dalam memelihara penampilan awamnya agar tidak menimbulkan keraguan rakyat terhadap kewibawaan dan integritinya.
Walaupun majlis tersebut adalah sebuah majlis makan malam tradisi yang dihadiri oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang perundangan (hakim, pendakwa raya, peguam dan sebagainya) setiap tahun, namun kemesraan yang ditunjukkan oleh Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang sewaktu sedang menari bersama boleh menimbulkan kesangsian dalam memastikan doktrin pemisahan kuasa dalam negara ini dapat dilaksanakan dengan adil tanpa dipengaruhi antara satu sama lain.
IKRAM ingin mengingatkan bahawa keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, namun ia hendaklah dilihat ditegakkan. IKRAM berpandangan bahawa tanpa menyentuh hak kebebasan individu untuk berhibur, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan pemegang jawatan penting dalam negara yang berpotensi terlibat dalam percanggahan kepentingan (conflict of interest) hendaklah mengelakkan daripada menonjolkan kemesraan bersama-sama di khalayak awam.
Tambahan pula, seorang Hakim adalah terikat dengan Kod Etika Hakim 2009 yang digubal di bawah Fasal (3B) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang menuntut seseorang Hakim mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman Hakim semasa menjalankan aktiviti luar kehakimannya menurut tajuk Seksyen 8 Kod Etika Hakim tersebut.
Menurut Kod Etika Hakim 2009 tersebut, seseorang Hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah (Item 8(2)) dan seseorang Hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang Hakim (Item 8(7)) yang mana ia adalah amat relevan dalam isu tarian ini.
IKRAM juga ingin mengingatkan bahawa dalam era Malaysia Baharu ini, rakyat adalah lebih cakna dan sensitif berkenaan isu-isu yang melibatkan kewibawaan dan integriti para pemimpin negara yang mana setiap pimpinan negara hendaklah mengambil serius berkenaan isu ini ke arah memastikan kelancaran pembinaan Malaysia Baharu.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia