Istimewanya Ramadan: Rebut Ganjaran Sebelum Berlalu

Istimewanya Ramadan: Rebut Ganjaran Sebelum Berlalu

Ibadah puasa pada bulan Ramadan memiliki darjat yang tersendiri di sisi Allah SWT. Allah SWT akan mengurniakan pahala berlipat ganda sesuai dengan kualiti puasa yang dilakukan oleh seseorang hamba itu.

Kiraan mudahnya ialah semakin berkualiti puasa hamba tersebut, semakin besar pahala yang bakal ia peroleh jika dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. Rasulullah SAW juga bersabda dalam sebuah hadis qudsi bermaksud:

“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku. Dan Aku (Allah) sendiri yang akan mengurniakan ganjarannya.” (HR al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan keistimewaan ibadah puasa yang dikurniakan pahalanya oleh Allah SWT sendiri dan hanya diketahui oleh-Nya. Namun, ramai antara kita sering terlepas pandang bahawa tujuan utama puasa itu hakikatnya bukan sekadar menahan diri daripada makan minum semata-mata.

Sebagaimana yang terkandung dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.”

Adab dan etika yang perlu dijaga

Perkara sedemikian terjadi kerana terdapat sebilangan antara kita bersifat tidak menghiraukan adab serta etika yang seharusnya dijaga ketika berpuasa. 

Sebagai contoh, banyak berlaku dalam masyarakat kita apabila tiba bulan Ramadan, mereka sanggup menahan lapar dan dahaga, namun tuntutan wajib seperti ibadah solat fardu diabaikan. 

Sikap tidak acuh seperti ini sudah pasti tidak akan memberikan sebarang makna di sisi Allah SWT kerana meninggalkan teras utama dalam ibadah itu sangat besar kesannya, sedangkan umum mengetahui bahawa solat itu adalah tiang agama. 

Selain itu, terdapat juga yang tidak dapat membezakan Ramadan dengan bulan-bulan yang lain. Mereka mungkin memahami bahawa puasa itu cukup sekadar tidak makan dan tidak minum pada siang hari dalam bulan Ramadan. 

Pemahaman sebegini perlu dibetulkan bagi menyedarkan diri untuk menjaga tingkah laku semasa berpuasa kerana Ramadan merupakan bulan yang mempunyai seribu satu keistimewaan dan fadilat di dalamnya. 

Orang yang berpuasa itu perlu memelihara dan menjaga keperibadian diri mereka seperti tidak melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti mengumpat, bercakap kosong yang tidak mendatangkan manfaat, menghina orang lain atau mengeluarkan kata-kata berunsur perkara negatif. 

Terdapat beberapa riwayat hadis yang menggesa kita menerapkan akhlak yang baik ketika berpuasa. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“…maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa.” (HR al-Bukhari)

Tinggalkan perbuatan keji

Walaupun kita merasakan seolah-olah adil apabila seseorang mengatakan kita bodoh, lalu kita pula membalas balik dengan mengatakan orang tersebut juga bodoh. Tetapi ketika sedang berpuasa, kita seharusnya menahan diri dan bersabar.

Menahan diri itu bukan bermakna hanya daripada makan dan minum semata-mata, tetapi dalam konteks yang lebih luas. Kita disuruh menahan diri daripada melakukan sebarang perbuatan keji bahkan daripada perbuatan-perbuatan ‘lagha.’

Malangnya hari ini, manusia seolah-olah tidak berasa berdosa apabila rata-rata antara kita tidak merasa bersalah sedikit pun untuk memfitnah, mencaci dan berkata dusta sehingga perkara-perkara seperti ini seakan menjadi norma kehidupan masyarakat. 

Amat wajar untuk direnungi sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan seakan dengannya, maka Allah tidak berhajat langsung kepada puasanya daripada makan dan minum.” (HR al-Bukhari)

Apakah maksud Allah tidak berhajat langsung kepada puasanya itu? Imam as-Sindi dalam Hasyiahnya menerangkan: “Ia merupakan kiasan kepada tidak diterima puasa tersebut di sisi Allah SWT. Puasanya menjadi sia-sia dan pelakunya pula tidak memperoleh pahala.”

Jelaslah bahawa ibadah puasa bukan sahaja melibatkan hubungan manusia dengan Allah SWT sahaja, malah juga hubungan manusia sesama manusia. 

Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Perit jerih bangun bersahur pada awal pagi seolah tiada makna.

Maka, menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar dalam membentuk seorang Mukmin yang bertakwa dan beramal soleh. 

Tidakkah kita ketahui bahawa dalam al-Quran sendiri Allah menjelaskan ciri-ciri golongan Mukmin yang berjaya? Antaranya ialah mereka yang menjauhi perkara sia-sia sebagaimana firman Allah yang mafhumnya:

“Sesungguhnya orang Mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha ataupun sia-sia.” (Surah al-Mukminun: 1-3)

Malah, jika kita benar-benar tahu menjaga peribadi dengan sebaiknya, sudah pasti kita tahu perbuatan-perbuatan tersebut adalah suatu larangan Allah SWT sepanjang masa dan tidak hanya tertakluk ketika bulan Ramadan sahaja. 

Selain itu, berbelanja secara boros semata-mata mahu memenuhi kehendak selera ketika berbuka mahupun ketika bersahur juga adalah antara perkara yang perlu kita elakkan.

Ramai orang menjadikan puasa pada bulan Ramadan seolah-olah pesta makan. Puasa sebenarnya mendidik kita supaya sentiasa hidup dalam kesederhanaan. 

Justeru, tidak wajar waktu berpuasa dijadikan medan balas dendam untuk makan dan minum semahunya selepas seharian menahan peritnya rasa lapar dan dahaga.

Dalam bulan Ramadan ini juga, kita tidak boleh bersikap malas seperti sentiasa mahu melebihkan aktiviti tidur atas alasan penat dan mengantuk hanya kerana tidak dapat makan dan minum seperti kebiasaannya.

Perbanyak amalan kebaikan

Apa yang seharusnya dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini ialah memperbanyak amalan sunat seperti bertarawih dan bertadarus al-Quran. Inilah masanya untuk kita memenuhi ruang masjid atau surau.

Sangat rugi mereka yang melepaskan amalan solat tarawih biarpun statusnya hanya amalan sunat, tambahan pula ia hanya ada ketika pada bulan Ramadan sahaja. 

Hal ini kerana kita tidak mengetahui sama ada masih berpeluang lagi ataupun tidak untuk bertemu Ramadan pada tahun yang akan datang. Barangkali ini adalah Ramadan terakhir buat kita.

Jadi, penuhilah setiap saat pada bulan Ramadan ini untuk meraih sebanyak mana ganjaran pahala. 

Ketahuilah juga bahawa puasa bukan sekadar dapat melindungi pelakunya daripada melakukan dosa semasa di dunia, malah puasa juga akan melindungi pelakunya daripada azab di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang bermaksud: “Puasa itu adalah perisai daripada api neraka.” (HR Ahmad)

Oleh yang demikian, keikhlasan beribadah ini perlu didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah agar setiap kita mampu terus beristiqamah. 

Ingatlah bahawa ramai yang mampu berpuasa, namun puasanya tidak ke mana. Ia hanya sekadar lapar dan dahaga semata-mata. 

Renung-renungkan dan bangkitlah untuk menjadikan kualiti ibadah pada bulan puasa kali ini jauh lebih baik dan sempurna daripada tahun-tahun sebelumnya, insya-Allah.

Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin
Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia