Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara Barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi.
“Trend ini kami dapati antara kesan dan pengaruh sekularisme yang menjadikan agama bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang suci.”
Beliau berkata, agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression).
Perbuatan ini mengingatkan kepada firman Allah SWT berkenaan golongan yang mengejek-ejek agama dalam Surah at-Taubah ayat 65;
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
Haram dan Berdosa Besar
Menurutnya, daripada penjelasan ini, maka jelaslah perbuatan sama ada menyindir, mempermain, mengejek-ejek dan menjadikan agama sebagai bahan jenaka adalah haram dan berdosa besar.
“Perbuatan mengejek sesuatu amalan atau kepercayaan dalam agama ini pastinya bersumber kejahilan yang tidak dapat tidak hanya boleh diubati dengan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengajian atau merujuk kepada mereka yang lebih berpengetahuan,” jelas Dr Luqman.
Tambahnya lagi, dengan sebab kejahilan itulah, maka tidak ada lagi rasa segan silu untuk mengeluarkan kata-kata melalui senda gurau, momokan, jenaka dan mempersenda yang hanya mengesahkan lagi kejahilan yang selama ini tersembunyi di dalam diri.
“Setiap orang Islam yang prihatin dengan agamanya sudah tentu tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan marah apabila melihat ada dalam kalangan kita yang bertindak menghina, mempersenda dan memalukan agama Islam di depan khalayak ramai,” katanya.
Tambahnya, perbuatan sebegini jelas menunjukkan wujudnya kecelaruan dari segi cara berfikir sehingga bertindak melampaui batas.
Tegasnya lagi, orang yang benar-benar cintakan agamanya tidak akan sanggup membiarkan agamanya dipersendakan dan ditertawakan oleh orang lain.
“Nasihat daripada saya kepada mereka yang berkenaan, segeralah bertaubat dan mohonlah keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya perbuatan sedemikian hanyalah akan memalukan serta merugikan diri sendiri di kemudian hari.”
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar sama-sama membimbing mereka yang berkenaan agar kembali ke jalan yang benar dengan penuh sabar dan berhikmah.
“Kita juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berasaskan undang-undang yang sedia ada dalam negara kita dan menyelesaikannya dalam kerangka perundangan,” jelas Luqman lagi.
Sebelumnya, seorang wanita ditangkap dan didakwa atas kesalahan menghina Islam susulan tular video persembahan lawak pentas di sebuah kelab komedi oleh wanita berkenaan dengan berpakaian menjolok mata, sambil mengatakan bahawa beliau seorang yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran.
Perbuatan tersebut telah mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini kerana dilihat sengaja mempermain dan menyindir ajaran Islam berkenaan kewajipan menutup aurat dan menggambarkan seolah-olah mereka yang menghafal al-Quran juga boleh sahaja berpakaian yang menjolok mata.
Berikutan itu, bermula daripada insiden tersebut, telah tular banyak lagi video-video persembahan jenaka oleh individu lain di kelab berkenaan yang sebahagian kandungannya dilihat sengaja menjadikan isu-isu agama sebagai bahan jenaka.