Hakikat pembelajaran pelajar miskin bandar

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan juga jika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga berminggu atau berbulan akan datang sehingga persekitaran sekolah selamat untuk pelajar kembali meneruskan pembelajaran secara fizikal.

 

Perbincangan mengenai PdPR kali ini adalah berkaitan naratif kehidupan yang dihadapi oleh pelajar dari keluarga miskin bandar. Sebahagian besar daripada data-data dalam penulisan ini adalah daripada dapatan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

 

Sewaktu proses pembelajaran, minat pelajar terhadap mata pelajaran adalah elemen yang sangat penting untuk dimiliki. Menurut kajian yang dikeluarkan pada 2016 oleh PubMed Central (PMC), minat merupakan motivasi paling kuat untuk pelajar lebih aktif dalam kelas, lebih bersemangat sewaktu pembelajaran dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik.

 

Mereka akan lebih aktif bertanya soalan, lebih aktif menyiapkan kerja dan lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh guru. 

 

Sewaktu sesi PdPR, jika seseorang pelajar tiada minat, mereka akan menyertai kelas hanya sekadar cukup syarat, tidak fokus sewaktu pembelajaran malah terdapat juga pelajar yang terus tidak menghadiri kelas. 

 

Dilaporkan bahawa 61 peratus responden mengatakan bahawa anak mereka telah hilang minat untuk belajar. Selain itu, 83 peratus responden mengatakan anak-anak mereka kurang fokus sewaktu pembelajaran. 

 

Tetapi, mengapa masalah-masalah sedemikian berlaku? Pembelajaran dalam talian adalah sangat sukar bagi golongan B40, bermula dari kekangan peranti untuk pembelajaran hinggalah ketiadaan ruangan belajar itu sendiri.

 

Berkenaan masalah peranti yang digunakan, sebuah kajian telah dilakukan pada 2018 mengenai perbezaan keberkesanan pembelajaran dalam talian di antara menggunakan telefon pintar dan komputer. 

 

Kajian ini telah menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai akses kepada komputer mendapat 60 hingga 75 peratus lebih manfaat berbanding  pelajar yang menggunakan telefon pintar.

 

Hal ini kerana partisipasi di dalam kelas melalui komputer adalah lebih mudah berbanding menggunakan telefon pintar. Tambahan juga, saiz skrin yang kecil juga akan menyukarkan pelajar untuk fokus dalam jangka masa yang panjang. 

 

Mengeruhkan lagi keadaan apabila kemampuan untuk keluarga miskin bandar mempunyai telefon pintar yang berkualiti juga rendah. Pelajar akan menggunakan telefon yang sedia ada sama ada telefon ibu mahupun bapanya.

 

Tidak dilupakan juga, terdapat senario yang mereka terpaksa untuk berkongsi peranti elektronik bersama ahli keluarga yang lain kerana ketidakmampuan untuk menyediakan peranti bagi setiap anak yang menjalani PdPR.

 

Mereka akan bergilir-gilir dalam menyertai kelas. Kesannya berdasarkan sebuah kajian oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kehadiran pelajar sewaktu PdPR berada di bawah paras 80 peratus.

 

Kita harus menyedari bahawa banyak keluarga terkesan disebabkan pandemik ini, lebih-lebih lagi bagi keluarga miskin bandar yang ditekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Secara purata, kadar pendapatan bagi isi kajian ini pada Mac 2021 adalah hanya RM2,117.

 

Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mampu untuk menawarkan kemudahan pembelajaran yang baik kepada anak-anak, kerana keutamaan harus diberikan kepada keperluan harian yang lebih penting.

 

Dilaporkan bahawa hanya 29 peratus daripada isi rumah yang mampu menyediakan komputer berbanding 88 peratus daripada isi rumah menyatakan bahawa anak-anak mereka menggunakan telefon pintar untuk pembelajaran.

 

Justeru, usaha kerajaan dalam pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar-pelajar seperti yang dijanjikan pada belanjawan 2021 perlu disegerakan. Dilaporkan setakat April lalu, 13,000 komputer riba telah diedarkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Walaupun begitu, ia masih jauh daripada sasaran yang dinyatakan. 

 

Beralih pula kepada masalah kedua iaitu ketiadaan tempat belajar yang sesuai. Sebanyak 49 peratus daripada isi rumah menginginkan anak-anak mereka kembali ke sekolah kerana ketiadaan tempat untuk belajar di rumah. 

 

Jika mereka mempunyai rumah yang besar dan selesa, ini tidak akan menjadi masalah. Tetapi, realiti kehidupan golongan miskin bandar ini adalah mereka tinggal dalam rumah yang kecil dan sempit. Bagi yang berkeluarga besar, mereka akan berkongsi bilik sesama adik-beradik. 

 

Justeru, gangguan persekitaran dalam rumah menjadi faktor pelajar kurang fokus sewaktu pembelajaran. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang memberi anak-anak mereka tugasan rumah pada waktu pelajar perlu menghadiri sesi pembelajaran dalam talian.

 

Sebelum ini, terdapat juga kemungkinan untuk mengemukakan cadangan untuk pusat-pusat komuniti dilengkapkan dengan komputer dan meja bagi memberi ruang kepada pelajar untuk belajar. Malangnya, perkara ini susah untuk direalisasikan kini kerana peningkatan kes Covid-19 yang sangat membimbangkan.  

 

Lantas, bagi mengatasi masalah ini, ruangan pembelajaran alternatif wajar diperkasakan. Platform siaran Didik TV haruslah lebih bergerak daripada bersifat rancangan kanak-kanak kepada pemfokusan pendekatan yang lebih menekankan silibus pembelajaran. Dilaporkan bahawa 43 peratus daripada isi rumah yang merasakan TV pendidikan tidak membantu kerana kesukaran untuk anak-anak memahami bahan yang diajar.

 

Hakikatnya, pembelajaran secara dua arah masih lagi diperlukan bagi menjawab terus ketidakfahaman pelajar mengenai silibus pembelajaran. TV pendidikan wajar memperkenalkan talian bantuan untuk sokongan pedagogi. 

 

Malah, ia juga berpotensi untuk menjadi medium yang lebih interaktif jika dapat mengumpul soalan secara panggilan telefon, mesej dan media sosial, dan dijawab sewaktu kelas bersiaran langsung.

 

Masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan miskin bandar ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita atasi. Sebenarnya, kita sudah memulakan langkah pertama. Maka, dalam bergerak ke hadapan, kita seharusnya memperkemaskan usaha-usaha semasa agar dapat menyelesaikan isu keperluan para pelajar. 

 

Danial Farook
Persatuan Belia Harmoni Malaysia
Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia