Catatan awal sejarah dunia menunjukkan kesedaran manusia mengenai hak asasi kemanusiaan ini telah mula dibincangkan seawal tahun 1776 iaitu melalui Deklarasi Kemerdekaan Amerika yang menekankan bahawa setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang tidak boleh dipisahkan.
Demikian pula pada tahun 1789, Deklarasi Hak-hak Lelaki (The Rights of Man) telah dimeterai yang dikaitkan dengan Revolusi Perancis. Deklarasi tersebut juga turut memperakui bahawa setiap manusia yang lahir adalah kekal bebas dan setara dari segi hak.
Rentetan daripada itu, telah wujud pelbagai lagi deklarasi dan konsensus yang dibuat demi mencapai makna hak asasi kemanusiaan. Dalam dunia moden, satu deklarasi bersifat sejagat telah diangkat oleh pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948 yang disebut sebagai Universal Declaration of Human Rights (UDHR).
Kelompongan UDHR
Dalam satu artikel yang ditulis oleh Riffat Hassan bertajuk Are Human Rights Compatible with Islam?, beliau menyebut bahawa Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia atau UDHR ini telah menjadi seperti Bible kepada faham dan gerakan hak asasi manusia dunia semasa.
Menurut Riffat Hassan lagi, UDHR walaupun dinamakan sebagai “sejagat“, namun pada hakikatnya ia dihasilkan mengikut aliran persejarahan yang dialami oleh dunia Barat sepanjang tiga abad lepas.
Ia kemudiannya diwajarkan pula oleh suatu antropologi falsafah yang berdasarkan faham kemanusiaan yang bersifat individualistik. Oleh itu, apa yang diutarakan oleh beliau ini menunjukkan kepada kita sekurang-kurangnya terdapat dua ciri yang menjelaskan kelompongan deklarasi tersebut.
Pertama, deklarasi yang dimeterai tidak mewakili konsensus suara dunia yang bersifat sejagat, sebaliknya hanya bernaratifkan pengalaman dunia Barat melalui perjalanan sejarahnya yang panjang.
Kedua, hakikatnya deklarasi ini lebih bersifat sekular iaitu bercirikan kebendaan tanpa mengambil kira sudut kepercayaan dan pegangan hidup beragama. Hal ini menjadikan deklarasi tersebut tidak bersifat sejagat kerana tidak mengambil kira sudut pandangan kepercayaan beragama.
Definisi hak asasi manusia
Dalam kita berbicara mengenai hak asasi manusia, adalah sangat penting juga untuk kita memahami apa yang dimaksudkan dengan terma hak asasi manusia.
Seperti kata Burns H. Weston dalam satu artikelnya bertajuk Human Rights yang diterbitkan oleh The New Encyclopedia Britannica, beliau menyatakan bahawa hak asasi manusia merujuk kepada hak-hak yang menjadi milik individu atau kumpulan individu semata-mata kerana mereka adalah manusia.
Selain itu, ada pula yang melihat hak asasi manusia ini sebagai indera semula jadi dalaman manusia yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana kuasa atau autoriti.
Weston turut menyebut, hak asasi manusia juga merujuk kepada suatu ruang yang luas tentang nilai atau daya upaya yang dianggap dapat meningkatkan kemanusiaan insan yang bersifat sejagat, yang boleh dituntut dan dinikmati oleh seluruh manusia secara sama rata.
Dalam pada itu, menurut Kofi Annan yang juga merupakan mantan Setiausaha Agung PBB sejak Januari 1997 hingga Disember 2006, hak asasi manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia.
Sejarah kemunculan idea dan konsep hak asasi manusia ini telah bermula sejak zaman klasik yang berakar dari tamadun purba Yunani (Greek) dan tamadun Romawi sejak 750 sebelum Masihi. Pada zaman tersebut, konsep natural law antara terma yang rancak diperkatakan sehingga muncul suatu aliran falsafah yang dikenali sebagai Stoicisme.
Setelah itu, dunia yang kian berubah wajah menuju pula era zaman pertengahan atau moden, isu hak asasi manusia kekal relevan diperdebatkan oleh umat manusia. Pada zaman pertengahan ini, muncullah tokoh-tokoh hebat seperti St. Thomas Aquinas dan Hugo Grotius.
Zaman pertengahan ini menampakkan sesetengah ajaran agama menjadi rigid dan bertentangan dengan hukum rasional akal selain para penguasa telah melakukan kezaliman yang jelas melanggar norma-norma natural law.
Keadaan ini sedikit sebanyak telah membuatkan wacana mengenai natural law telah berubah kepada perbincangan mengenai natural rights.
Setelah beberapa abad berlalu, perdebatan mengenai hak asasi manusia masih kekal relevan diperkatakan dan pada abad ke-20, UDHR atau Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia mula diangkat sekali gus menjadi rujukan utama masyarakat dunia.
Hak asasi manusia menurut Islam
Islam yang datang dengan syariat (peraturan dan undang-undang) yang sempurna telah memperlihatkan beberapa perspektif terkait dengan hak asasi manusia. Secara umumnya, perkara-perkara yang berkaitan hak asasi manusia juga terkandung dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis baginda Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu, Islam melihat persoalan yang berbangkit mengenai hak asasi manusia ini berdasarkan petunjuk wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Umat Islam tidak perlu bergantung kepada deklarasi tersebut untuk memahami hak asasi manusia.
Sebelum usaha pemeteraian deklarasi yang dikatakan bersifat sejagat ini dibuat, Nabi SAW telah menggagaskan Piagam Madinah yang dianggap oleh ramai sarjana sebagai perlembagaan bertulis pertama di dunia.
Menurut Abdul Monir Yaacob dalam sebuah karyanya yang berjudul Hak Asasi Manusia Menurut Islam, beliau menjelaskan, Piagam Madinah sebagai satu dokumen undang-undang yang meletakkan beberapa asas penting dalam pembentukan negara yang bersifat multietnik dan multiagama.
Maka sebelum deklarasi UDHR dicipta, sudah wujud satu dokumen perlembagaan bertulis pertama yang turut meletakkan asas kepada jaminan hak asasi manusia.
Intipati ajaran dalam Islam sebelum deklarasi hak asasi manusia diperkatakan lagi, telah menggariskan beberapa panduan terpenting. Antara lain yang ditekankan dalam Islam ialah berkenaan hak.
Perkataan hak berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud benar. Kebenaran pula merujuk kepada suatu keadaan, nilai atau sesuatu yang bersifat saksama, wajar, adil, benar, elok dan sesuai.
Oleh itu, apa sahaja yang pada sudut moral atau agama dilihat salah, ia bukanlah sesuatu hak yang boleh diperjuangkan. Sebagai contoh, gaya hidup LGBT adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar etika agama, maka kita tidak boleh perjuangkan golongan ini dengan nama hak asasi manusia.
Selain itu, Islam telah membahagikan hak kepada dua iaitu hak kepada Allah dan hak sesama manusia. Keadaan ini memperkuat hubungan kerohanian selain memperkukuh ikatan hubungan kemanusiaan.
Kebebasan dan keadilan
Dalam pada itu, Islam juga menekankan nilai kebebasan. Kebebasan menurut Islam adalah merupakan sesuatu yang bersifat ikhtiyari yang bermaksud keupayaan membuat pilihan.
Ungkapan “ikhtiyari” berasal daripada kata “khayr” yang bermaksud baik. Justeru, kebebasan dalam Islam bermakna bebas untuk memilih sesuatu yang baik atau yang lebih baik, lebih benar, lebih elok atau yang terbaik antara semua pilihan yang wujud.
Ia bermakna kebebasan dalam Islam ialah memilih yang baik dan bukannya bebas memilih apa sahaja tanpa mempertimbangkan kesan baik buruk yang dipilihnya. Islam juga menggariskan bahawa kebebasan yang dimiliki oleh manusia bukanlah bersifat mutlak.
Ertinya, kita bukanlah bebas hingga mengikut telunjuk nafsu. Kebebasan itu memerlukan juga kita membuat pertimbangan menurut neraca syariat agama Islam.
Selain itu, Islam juga menekankan konsep keadilan. Keadilan dalam Islam bukanlah bermakna persamaan walaupun tidak dinafikan nilai persamaan itu sebahagian daripada aspek keadilan.
Menurut al-Attas dalam sebuah karyanya berjudul “Islam and Secularism”, keadilan merujuk kepada keadaan atau suasana harmoni iaitu segala sesuatu diletakkan pada tempatnya yang wajar dan sesuai.
Misalnya, Islam mengiktiraf persamaan gender antara lelaki dan wanita. Namun dalam beberapa aspek tertentu, Islam memberikan kelebihan kepada lelaki sesuai dengan tempatnya.
Contohnya, lelaki mendapat bahagian harta pusaka yang lebih berbanding wanita dan hal ini bukan bermakna Islam merendahkan martabat wanita. Ada pula pada keadaan tertentu, Islam melebihkan wanita, seperti kedudukan tinggi dan mulia seorang ibu melebihi kedudukan seorang ayah.
Oleh itu, menurut Islam, terma keadilan bukanlah mengenai kuantiti tetapi soal kualiti yang sesuai dengan tempat dan kedudukannya di sisi syarak.
Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis




