Generasi Penamat Rokok (GEG): Serius atau Tidak?

Generasi Penamat Rokok (GEG): Serius atau Tidak? | IKRAM

Menghirup udara yang segar dan bebas daripada pencemaran terutamanya pencemaran asap rokok adalah hak yang perlu dipertahankan oleh semua orang. 

Keinginan untuk melihat generasi Malaysia yang lebih sihat bebas daripada amalan merokok (Smoke Free Nation) menjelang 2040 telah menjadi pencetus kepada gerakan rakyat Malaysia bagi membantu pihak kerajaan dengan mewujudkan satu inisiatif yang agresif iaitu Tobacco End Game.

Tobacco End Game Alliance  atau TEGA yang terdiri daripada beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Green Lung Malaysia, IKRAM Health Malaysia, Medical Mythbuster Malaysia serta Public Health Malaysia telah mempelopori satu kempen yang dikenali sebagai Generasi Penamat Rokok atau Generational End Game (GEG).

Generasi Penamat Rokok

Apa itu GEG? Dengan bahasa mudahnya, GEG adalah satu sasaran untuk mengurangkan prevalen atau perkadaran penduduk yang didapati menghisap rokok dalam kalangan penduduk di Malaysia. Hal ini sepertimana yang telah ditetapkan oleh pakar-pakar kesihatan sedunia.

Antara elemen yang digariskan dalam memastikan keberhasilan kempen GEG ini adalah pengurangan sebanyak 5 peratus prevalen merokok, menamatkan penjualan komersial produk-produk tembakau dan denormalisasi serta menjadikan budaya merokok budaya yang tidak diterima masyarakat.

Selain itu, GEG juga menyasarkan sifar pendedahan serta penggunaan tembakau dan produk merokok kepada kanak-kanak.

Dalam memastikan usaha ini berhasil, beberapa rangka kerja atau ‘framework’ telah digariskan.

Pertama, memantau penggunaan tembakau dan polisi pencegahan. Kedua, melindungi orang awam daripada asap rokok. 

Ketiga, menawarkan khidmat bantuan untuk berhenti daripada penggunaan tembakau dan yang keempat, penguatkuasaan larangan iklan berkaitan tembakau, promosi atau penajaan daripada syarikat tembakau.

Selain itu, memberi amaran tentang bahaya penggunaan tembakau dan peningkatan cukai terhadap tembakau juga antara lain merupakan rangka kerja yang telah digariskan bagi menggerakkan usaha GEG ini.

Keseriusan Pihak Kerajaan

Bagai aur dengan tebing, itulah peribahasa yang mungkin sesuai untuk diguna pakai sebagai simbolik kepada peranan yang harus dimainkan oleh semua pihak dalam memastikan keberhasilan kempen Generasi Penamat Rokok ini. 

Pihak kerajaan seharusnya lebih serius dan berani dalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi kesejahteraan masyarakat Malaysia akan datang. Semua ahli parlimen pula perlu sebulat suara dan tidak gentar untuk menyokong serta menyegerakan pelaksanaan RUU ini. 

Namun, sudah pasti RUU ini akan mendapat tentangan yang hebat daripada beberapa pihak berkepentingan terutamanya pemain industri.

Jika dirujuk kepada anggaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan berdepan dengan kos merawat pesakit akibat merokok sebanyak RM8.7 bilion dan kos rawatan kesan penggunaan rokok elektronik pula RM360 juta menjelang 2030 berbanding kutipan cukai yang dipungut.

Hal ini selari dengan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 yang menunjukkan terdapat peningkatan ketara pengguna rokok elektronik berusia 13 hingga 17 tahun iaitu daripada 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).

Justeru itu, berdasarkan anggaran yang dilaksanakan tersebut, sudah pasti kerajaan tidak akan rugi, malah akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan bagi rawatan penyakit-penyakit yang berbahaya akibat tabiat merokok ini pada masa hadapan.

Sekarang adalah masanya untuk kerajaan membuktikan keseriusan dan komitmen yang tinggi untuk melihat generasi hadapan yang lebih sejahtera dan madani.

Bermula Dari Kita

Melihat kepada statistik yang dikeluarkan menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022, ia seharusnya menyedarkan kita akan urgensi dan kepentingan membendung gejala merokok ini dalam kalangan remaja serta masyarakat Malaysia daripada semakin parah.

Di samping itu, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun berkaitan dengan merokok.

Oleh yang demikian, tidak lain dan tidak bukan, untuk memastikan kempen GEG ini berjaya, ia harus bermula daripada diri kita sendiri sebagai salah seorang anggota masyarakat yang sedar dan prihatin.

Jika ada dalam kalangan kita ini masih lagi seorang perokok, jadikan detik ini untuk mencipta nafas baharu yang lebih segar dengan mula berhenti merokok. Bertindak sekarang kerana hari esok mungkin bukan lagi untuk kita.

Tambahan pula, KKM juga telah menyediakan Klinik Berhenti Merokok di hampir setiap Klinik Kesihatan di seluruh negara bagi memberi peluang kepada perokok untuk berusaha berhenti daripada tabiat merokok ini.

Kunjungi klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan bimbingan serta rawatan berhenti merokok yang lebih teratur dan berkesan.

Anda akan dibimbing oleh pelatih yang bertauliah dan dibekalkan ubatan yang sewajarnya serta pemantauan yang lebih rapi sehingga anda betul-betul berjaya berhenti daripada merokok.

Tetapi yang penting, anda perlulah memberi komitmen yang baik dan bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok.

Di samping itu, anggota masyarakat yang lain seharusnya membantu dengan memberi galakan serta menghormati mereka yang ingin dan sedang berusaha untuk berhenti merokok.

Kebanyakan perokok yang sudah berjaya berhenti merokok tetapi kembali terjerumus dengan aktiviti merokok ini adalah disebabkan faktor kawan atau kenalan sekeliling yang tidak membantu usaha mereka dalam proses pemulihan tersebut.

Mereka terpengaruh dan tergoda dengan ajakan kawan untuk kembali merokok apabila mereka keluar bersama.

Oleh yang demikian, sokongan dan dorongan masyarakat sekeliling terutamanya keluarga dan kenalan rapat amat mempengaruhi keterlibatan mereka dalam aktiviti merokok ini.

Jadilah keluarga, sahabat dan teman yang membimbing ke arah kebaikan dan kesejahteraan semua.

Ayuh kita jalankan tanggungjawab kita untuk menyebarkan risalah kesedaran ini kepada seluruh lapisan masyarakat.

Pastikan setiap anggota masyarakat di setiap pelosok negara kita ini tahu dan sedar akan kepentingan untuk melindungi generasi kita pada masa hadapan daripada produk tembakau.

Semoga pelaksanaan GEG ini akan dapat melindungi generasi kita yang lahir tahun 2007 dan seterusnya daripada bahaya semua produk tembakau. Selamatkan Malaysia dan bebaskan Malaysia daripada asap rokok!

Dr Muhammad Ashrul Affiq Abd Halim
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Telipok, Sabah
Ahli IKRAM Health Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia