Bulan Muharam: Kelebihan, Kisah Nabi dan Pengajaran

awal muharram

Setiap kali jarum jam melangkah masuk ke saat pertama bulan Januari, dunia menyambutnya dengan penuh meriah. Bunga api memercik dan menerangi langit, azam baru diucapkan dan semangat segar terasa mengalir.

Namun bagi umat Islam, ada tahun baharu yang lebih bermakna, lebih sarat dengan sejarah dan lebih kaya dengan pengajaran. Itulah 1 Muharam, permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijriah yang sering berlalu tanpa sambutan, tanpa renungan, malah mungkin tanpa kesedaran.

Muharam bukan sekadar penanda awal tahun baharu Islam. Allah SWT memuliakan bulan ini secara khusus dalam al-Quran melalui Surah at-Taubah ayat 36, yang menyatakan bahawa antara dua belas bulan dalam setahun, terdapat empat bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.

Pada bulan-bulan ini, segala amalan soleh akan beroleh pahala yang berlipat ganda manakala mereka yang melakukan dosa, lebih berat timbangan akibatnya.

Rasulullah SAW menyebut Muharam sebagai Syahrullah iaitu bulan Allah dan menyatakan sesiapa yang  berpuasa pada bulan ini sebagai puasa terbaik selepas Ramadan. Hal ini dijelaskan oleh Baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah puasa pada bulan Allah, Muharam.” (Riwayat Muslim, no. 1163)

Kisah di sebalik bulan yang mulia 

Di sebalik kemuliaan bulan Muharam, tersimpan kisah-kisah besar yang Allah rakamkan dalam sejarah umat manusia. Kisah-kisah ini bukan sekadar catatan masa silam, malah cermin yang merakamkan kenyataan dan realiti hidup manusia pada setiap zaman.

Antara kisah yang dirakam pada bulan Muharam ialah Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikutnya daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya pada 10 Muharam. Sebagai tanda syukur atas keselamatan itu, Nabi Musa a.s. berpuasa pada hari tersebut yang dikenali sebagai puasa Asyura.

Rasulullah SAW kemudiannya memerintahkan umat Islam turut berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda memperingati perjuangan Nabi Musa dengan sabdanya yang bermaksud: “Kami lebih berhak meneladani Musa.” (Sahih Bukhari, no. 2004 dan Muslim, no. 1130). 

Puasa Asyura ini dijanjikan dapat menghapuskan dosa sebagaimana sabda Rasulullah SAW daripada Abu Qatadah r.a. (Sahih Muslim, no. 1976).

Pada hari yang sama, Allah SWT telah menenggelamkan Firaun dan seluruh tenteranya di Laut Merah, sekali gus menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikutnya yang sebelum itu dikejar tanpa henti. Ketika mereka tiba di tepi laut, keadaan kelihatan seolah-olah tiada jalan untuk melepaskan diri.

Namun dengan izin Allah, laut terbelah lalu Nabi Musa a.s. dan pengikutnya menyeberang dengan selamat, manakala Firaun dan tenteranya tenggelam dilanda ombak. Peristiwa ini dirakamkan dalam Surah asy-Syu’ara, ayat 63 – 66 yang bermaksud:

“Lalu Kami wahyukan kepada Musa, Pukullah laut itu dengan tongkatmu. Maka terbelahlah laut itu, dan Kami selamatkan Musa dan pengikutnya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain.”

Kisah ini membuktikan bahawa pertolongan Allah pasti tiba pada saat yang paling genting bagi hamba-Nya yang teguh keimanan, walaupun pada zahirnya keadaan kelihatan tiada penyelesaian.

Kitab-kitab turath Islam turut merakamkan kisah para nabi lain yang dikaitkan dengan bulan Muharam. Antaranya taubat Nabi Adam AS yang diterima Allah sebagaimana dalam Surah al-Baqarah ayat 37, Nabi Ibrahim a.s. yang diselamatkan daripada api apabila Allah memerintahkan api itu menjadi sejuk sebagaimana dirakamkan dalam Surah al-Anbiya’ ayat 69, Nabi Yusuf a.s. yang dibebaskan daripada penjara lalu diangkat menjadi orang berkedudukan tinggi dalam Surah Yusuf ayat 54, serta Nabi Ayub a.s. yang disembuhkan daripada penyakit selepas berdoa dengan penuh kesabaran sebagaimana dijelaskan Surah al-Anbiya’ ayat 83 – 84.

Kesemua nabi ini tidak sedikit pun berganjak keimanannya, malah terus kekal mantap. Jika diteliti, kesemua kisah ini berkongsi satu persamaan yang jelas. Setiap nabi berdepan ujian yang berat dan keadaan yang seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Namun setiap satunya berakhir dengan pertolongan Allah yang tiba pada saat yang paling tepat, lalu mereka dibebaskan daripada kesukaran dan diangkat darjatnya.

Pengajaran untuk masyarakat kini 

Apakah signifikan kisah ini untuk masyarakat Malaysia hari ini? Jawapannya memerlukan kita merenung pengajaran kisah para nabi melalui mata hati. 

Masyarakat kini menghadapi cabaran dan ujian yang berbeza bentuknya daripada zaman para nabi. Ada dalam kalangan mereka yang dihimpit tekanan ekonomi yang tidak berkesudahan.

Ada anak muda yang hilang pedoman lalu tenggelam dalam arus hedonisme serta kekosongan makna. Ada keluarga yang retak akibat krisis kepercayaan dan kehilangan nilai. Ada juga individu yang memendam tekanan emosi dan kemurungan bertahun-tahun tanpa nampak jalan keluar.

Muharam mengingatkan bahawa keadaan yang menghimpit bukanlah tanda Allah telah meninggalkan hamba-Nya. Nabi Musa a.s. tetap melangkah walaupun lautan luas terbentang di hadapannya. Nabi Yusuf a.s. tetap berdoa walaupun terkurung dalam penjara.

Nabi Ayyub a.s. tetap bersyukur walaupun ditimpa penyakit yang berpanjangan. Pertolongan Allah bukan untuk mereka yang berputus asa lalu berhenti, tetapi untuk mereka yang terus berusaha sambil bertawakal kepada-Nya. 

Bulan Muharam turut membuka ruang yang praktikal untuk memulakan perubahan. Puasa Asyura pada 10 Muharam yang diriwayatkan dapat menghapuskan dosa merupakan titik permulaan yang amat bermakna. Amalan ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi latihan jiwa untuk melepaskan beban lama dan melangkah ke hadapan dengan hati yang lebih bersih dan tenang.

Muharam bukan sekadar tarikh 

Umat Islam perlu mengubah cara memandang Muharam. Bulan ini bukan sekadar pertukaran angka tahun dalam takwim sahaja. Muharam adalah undangan Allah kepada setiap Muslim untuk berhenti sejenak, menilai diri, melepaskan apa yang perlu dilepaskan dan bangkit semula dengan bekalan iman yang lebih kukuh.

Kisah para nabi pada bulan Muharam bukan sekadar catatan sejarah. Kisah mereka menjadi panduan meneruskan kehidupan untuk setiap Muslim yang sedang bergelut dengan ujian kehidupan. Selagi ada Allah, selagi ada doa yang dipanjatkan dengan penuh keyakinan dan selagi ada langkah yang terus diayunkan dalam iman, pertolongan itu pasti tiba dengan izin-Nya. 

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi, 

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 

Open Universiti Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia