Ketidakadilan membawa kerosakan dalam segala aspek. Sejarah menyaksikan perjuangan menentang ketidakadilan pada akhirnya tidak akan dimenangi oleh pemimpin yang berkuasa semata-mata, namun perjuangan ini akan dimenangi oleh kekuatan rakyat yang mahu bangkit melakukan perubahan.
Justeru, orang-orang biasa pun boleh mencapai perubahan yang dimahukan melalui perjuangan berterusan yang disertai semangat kesatuan.
Semangat perjuangan inilah yang ingin dibawa oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) melalui misi terbarunya, Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla yang menekankan mesej keamanan dan perdamaian.
Kira-kira 1,000 aktivis terpilih dari seluruh dunia telah berkumpul di Istanbul pada Khamis, 18 April 2024 bagi menjayakan pelayaran misi keamanan penghantaran bantuan ke Gaza sebagai protes aman terhadap sekatan Israel yang tidak sah di sepanjang Jalur Gaza dan menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin.
Pelayaran kapal-kapal ini akan dipenuhi 5,500 tan barang bantuan termasuk lapan buah ambulans dan ratusan aktivis kemanusiaan tanpa sebarang senjata, menjadi simbol keamanan dalam misi kemanusiaan mereka ke Gaza.
Malapetaka kemanusiaan
Penduduk Gaza yang telah sekian lama menderita kini berada di ambang kebuluran dan berhadapan dengan malapetaka kemanusiaan yang dahsyat.
Pihak rejim Israel mengawal bantuan kemanusiaan yang sampai ke Gaza dengan mengenakan kawalan keseluruhan di udara, laut dan darat.
Mereka berkuasa secara tidak sah dan menentukan bentuk serta jumlah bantuan yang boleh masuk ke Gaza dengan mengenakan sekatan terhadap ribuan trak bantuan yang ingin masuk ke sana.
Malah, pemimpin tentera dan politik Israel telah berkali-kali mengisytiharkan niat mereka untuk menghukum secara kolektif seluruh penduduk Gaza.
Rejim Zionis menafikan keperluan asas warga Palestin seperti makanan, air yang bersih dan rawatan yang diperlukan untuk kehidupan dan ini merupakan taktik peperangan mereka dalam mengorbankan lebih ramai penduduk Gaza.
Mendiamkan perkara ini tanpa bantahan sama seperti membenarkan tindakan Israel melakukan genosid secara terang-terangan.
Masyarakat antarabangsa harus sepakat bangkit melawan agar sekatan ini gugur dan bantuan sampai secukupnya kepada masyarakat Palestin yang sedang terperangkap, terkepung dan diserang di luar batas kemanusiaan.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam temu bualnya bersama pihak media menyatakan, misi ini adalah usaha bersama masyarakat antarabangsa yang sangat komited.
Termasuk dalam komuniti ini juga adalah golongan bukan Islam yang sangat serius dalam usaha menyedarkan masyarakat dunia tentang kepungan Gaza.
Dalam pada itu, masyarakat Palestin adalah komuniti yang tinggi daya juang hidup mereka. Beberapa hari lepas, kawasan kediaman Pengurus MyCARE di Gaza, Dr Ziad M. Shehada dikepung dan diserang dengan teruk.
Walaupun situasi sangat genting dan berbahaya, Dr Ziad mempertaruhkan nyawanya dengan menggerakkan bantuan kepada mereka yang menghadapi ancaman yang lebih teruk.
Usaha bermula 2008
Menurut Kamarul Zaman, usaha penghantaran bantuan melalui jalan laut telah pun bermula sejak 2008 lagi oleh pelayaran kapal-kapal dari Amerika Syarikat.
Namun dunia mula melihat impak daripada pelayaran apabila pada tahun 2010, berlaku tragedi pencerobohan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang dikecam oleh masyarakat antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau berkata tragedi tersebut walau bagaimanapun tidak mematikan semangat pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Amerika Syarikat, Sweden dan Norway untuk menghidupkan lagi misi pelayaran ini pada 2016 melalui misi Women’s Boat To Gaza.
Malah, penglibatan MyCARE dalam misi bantuan laut pada awalnya adalah sebagai peserta misi, tetapi kemudian diberikan kepercayaan untuk menjadi salah satu penganjur misi flotilla.
Tambah beliau, perancangan asalnya adalah berlayar dengan kapal-kapal kecil seperti misi-misi sebelumnya, namun serangan pada 7 Oktober yang lalu memberi isyarat bahawa mereka perlu melakukan sesuatu yang memberikan impak yang lebih besar.
Jelas beliau, semenjak daripada peristiwa itu, mereka telah memulakan usaha untuk mencari kapal kargo dan kapal penumpang yang besar.
Kesedaran semakin meningkat
Kesedaran masyarakat antarabangsa dalam isu pembebasan Palestin semakin meningkat apabila bilangan permohonan untuk menyertai misi ini mencapai 11,000 orang dari serata pelosok dunia, namun yang terpilih adalah 1,000 orang sahaja dari 30 buah negara.
Peserta ini termasuk 19 peserta dari Malaysia daripada kalangan aktivis, pegawai perubatan dan pengamal media. Kumpulan terpilih ini telah disaring dan akan menjalani kursus antikekerasan selama dua hari.
Para peserta yang mengikuti misi ini pastinya menyedari segala risiko yang akan dihadapi termasuk ancaman nyawa, namun mereka tetap mengikuti pelayaran ini atas prinsip kemanusiaan sejagat.
Saringan terakhir peserta akan dilakukan bagi memastikan peserta yang dihantar untuk berlayar ke Gaza benar-benar memiliki keperibadian yang mampu menghayati mesej keamanan dan kedamaian.
Segala alternatif penghantaran bantuan harus dicuba kerana selagi tidak dicuba, kita tidak akan tahu sama ada cara itu berjaya atau tidak walaupun menghadapi sekatan yang amat sukar.
Kamarul Zaman menekankan, “Sekiranya kita tidak melakukan desakan yang drastik sekarang, berkemungkinan tidak akan ada lagi bantuan akan sampai ke Gaza.”
Namun, beliau turut menegaskan bahawa keselamatan para peserta akan turut diutamakan dan segala perancangan akan diputuskan berdasarkan perkembangan semasa.
“Ini bukan misi bunuh diri dan keselamatan peserta misi tidak akan dikompromi,” terang beliau.
Misi kali ini menyaksikan peningkatan permohonan yang drastik daripada pelbagai negara yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan latar belakang.
Kecanggihan dan kemudahan teknologi terkini telah menyampaikan maklumat dengan cepat dan luas agar mendapat capaian lebih ramai penduduk dunia yang berempati dalam isu kemanusiaan di Palestin menerusi sokongan dan keterlibatan dalam kempen-kempen keamanan.
Terus tekan Israel
Misi Break The Siege harus disebarluaskan hingga ke seantero dunia agar seluruh dunia mengetahui ada pelayaran aman yang hanya ingin membawa barang-barang bantuan ke Gaza dan berharap untuk balik semula dengan aman dan selamat.
Tujuannya agar kesatuan masyarakat dunia berupaya memberikan tekanan besar kepada pihak rejim Israel hingga mereka akhirnya tunduk dan misi flotila Break The Siege berjalan dengan aman dan lancar tanpa sebarang gangguan yang tidak diingini.
Penduduk Gaza telah melalui keadaan tragis ini setiap hari dalam tempoh begitu lama, namun mereka tidak pernah patah semangat.
Maka, menjadi tanggungjawab masyarakat di luar mengumpul segala kekuatan untuk menghentikan segala kezaliman dan penindasan di luar batasan tabii manusia yang sedang berlaku di Gaza menerusi apa jua bentuk usaha dalam kapasiti yang ada.
Sekiranya semua orang berperanan walaupun sedikit, usaha kecil ini mampu memberi kesan berantai dan membawa perubahan pada dunia.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia